Eid Mubarak

Di kesempatan ini, pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara semua kerana kita telah berjaya melalui satu sesi latihan dalam madrasah ramadan tahun ini. Semoga segala apa yang dijanjikan Allah untuk hambaNya itu diperoleh kita semua. Kullu aamin wa antum bikhair. Selamat menyambut eidil fitri.

Di kesempatan ini juga saya ingin memohon ribuan ampun dan maaf atas segala kesilapan dan kekurangan yang saya lakukan selama ini. Kesemuanya berpunca dari kelemahan diri saya sendiri yang sememangnya serba kekurangan. Allahlah yang paling mengetahui tentang perkara ini, dan Allahlah yang boleh mengubahnya. Saya memohon kepada Allah SWTagar segala kekurangan itu diganti dengan kebaikan dengan rahmatNya. Marilah kita sama-sama berdoa supaya sentiasa diberi petunjuk oleh Allah yang Maha Agung dan ditambah kekuatan untuk digembleng bagi mempertingkatkan kesejahteraan ummah di dunia dan akhirat.

Saudara,

Allah berfirman dalam al-quran :

Dan (demi) jiwa dan Yang menyempurnakannya. Maka (lalu) diilhamkannya (oleh Allah jalan-jalan) kejahatan dan (jalan-jalan) takwa. Sungguhnya telah mendapat kemenanganlah orang yang membersihkannya (dari pada segala dosanya). Dan sungguhnya mendapat kerugianlah orang yang mengotorinya (dengan maksiat).

(As-Syams:7-10)

Alhamdulillah, ramadan telah memberi kita peluang yang banyak untuk membersihkan jiwa. Pelbagai amalan telah kita lakukan dan saya yakin, jiwa kita telah dibersihkan – kalau tidak sepenuhnya, pasti sebahagian. Kini, kita mula melangkah ke bulan yang baru, meninggalkan ramadan yang penuh barakah itu.

Saudara,

Kita telah menekan nafsu untuk meninggalkan kepentingan duniawi dan memberi laluan kepada kepada amalan yang menambah bekalan ukhrawi. Jika diimbau kembali, banyak juga amalan dapat kita lakukan dengan mudah walaupun sebulan sebelumnya ia tidak semudah itu. Ramadan merupakan masa yang terbaik untuk mendidik jiwa kerana di sepanjang ramadan syaitan telah diikat.

Kita telah menahan lapar dan dahaga serta mengawal diri dari perkara yang melalaikan sebagaimana yang dianjurkan oleh adab berpuasa. Perginya ramadan tidak bermakna tamatnya aktiviti berpuasa kerana kita sentiasa dianjurkan untuk berpuasa sunat – 6 hari di bulan syawal, setiap isnin dan khamis, puasa di hari-hari tertentu seperti hari arafah dan sebagainya. Sesungguhnya dalam berpuasa itu ada bekalan.

Di sepanjang ramadan, ramai yang memenuhkan masjid, di siang dan malam hari. Solat berjamaah dilakukan 5 kali sehari. Begitu juga dengan qiamulail, sama ada dilakukan bersendirian di rumah atau di penjuru-penjuru masjid ataupun secara berjamaah dalam program anjuran masjid. Subhanallah, masjid dan surau sentiasa dipenuhi jamaah walaupun pada waktu subuh. Alangkah baiknya jika perkara ini terus berlaku di bulan-bulan yang lain. Saya menyeru kepada diri saya dan saudara sekelian supaya kekal mengerjakan solat berjamaah di masjid dan membanyakkan solat sunat.

Di sepanjang ramadan umat Islam begitu pemurah. Pelbagai rayuan ramadan dianjurkan di pejabat, masjid ataupun di mana-mana, hasil usaha individu ataupun pertubuhan-pertubuhan amal. Bagi setiap rayuan ini, banyak jumlah wang yang dikumpulkan. Hati merasa mudah untuk memberi kerana secara fitrah, hati kita memang suka dengan perkara kebaikan.  Tambahan pula Allah telah berfirman:

Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa saja yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui. (al-baqarah:261)

Marilah kita teruskan amalan itu. Sikap pemurah perlu ditanam dan dibaja supaya sentiasa subur. Lihatlah di sekeliling anda, jika diteliti, pasti anda akan temui mereka yang memerlukan. Begitu juga di tempat lain. Umat Islam ditindas di merata tempat dan mereka perlukan bantuan sama ada di Palestin, Iraq atau di mana-mana. Mari kita pulangkan hati kepada fitrahnya kerana ia akan menjadi tenang. Bukankah hati yang tenang, yang kita mahukan?

Bulan ramadan mempunyai hubungan istimewa dengan al-quran kerana ianya bulan di mana al-quran diturunkan. Sepanjang ramadan, hati terpaut pada al-quran. Ada di antara kita yang khatam membaca al-quran sekali, dua kali ataupun lebih. Ada yang bertadabbur dengan al-qur’an setiap malam. Di bulan-bulan selain ramadan, al-quran juga sama pentingnya buat manusia kerana di sana ada petunjuk, ada garis-panduan hidup dan ada kisah tauladan yang boleh mendidik jiwa. Bila diimbas kembali pengalaman ramadan, untuk menamatkan satu juzuk dari al-quran, seseorang hanya memerlukan antara 30-60 minit sahaja. Ini bermakna dengan memberikan masa tidak sampai satu jam sehari, kita boleh khatam al-quran sekali dalam sebulan. Setidak-tidaknya, dengan 15-20 minit sehari, kita boleh khatam membaca al-quran sekurang-kurangnya dua bulan sekali. Adakah ini terlalu susah untuk kita teruskan?

Begitu juga dengan zikrullah. Sama ada dengan membaca al-quran ataupun dengan mugucapkan wirid-wirid zikir yang dipetik dari al-qur’an dan sunnah, ianya telah memberikan ketenangan jiwa kepada kita sesuai dengan firman Allah:

(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan menginga Allah hati menjadi tenteram. (Ar-Raad:28)

Selepas meninggalkan ramadan, kita masih memerlukan ketenteraman jiwa dan amat perlu meneruskan zikrullah. Teruskanlah amalan membaca zikir al-ma’thurat setiap pagi dan petang serta wirid-wirid zikir yang lain. Sesungguhnya tidak ada yang lebih baik untuk diri kita selain hati yang tenteram.

Saudara,

Esok kita akan menyambut kedatangan Eidil Fitri. Ambillah kesempatan ini untuk mengeratkan silatur-rahim dengan menziarah sanak-saudara dan sahabat-handai kerana inilah peluang terbaik sebelum masing-masing pulang ke dunia profesional yang penuh kesibukan. Rasulullah bersabda dalam hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah memuliakan tamunya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah mempereratkan kekeluargaannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah berkata yang baik atau berdiam.” (Muttafaq ‘alaih)

Akhir kata, sekali saya ucapkan kullu aamin wa antum bikhair. Eid Mubarak. Selamat Hari Raya Eidil Fitri, maaf zahir batin.

Dr. AA

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a comment