Mulu Pinnacles

Gunung Mulu National Park ialah salah satu tempat yang diiktiraf sebagai World heritage Area oleh UNESCO. Banyak tempat yang menarik yang boleh dilawati dan pelbagai aktiviti menanti pelawat di sana. Dalam entri ini aku ingin bercerita tentang pengalaman kami mendaki Mulu Pinnacles.

Sebenarnya, pendakian ke Mulu Pinnacles telah lama dimasukkan dalam senarai aktiviti kami. Namun disebabkan kesibukan, ianya sentiasa tertangguh kerana program ini memerlukan beberapa hari, dan ramai yang berminat. Menyusun jadual yang melibatkan ramai dan tempoh yang panjang ternyata susah. Akhirnya kami menetapkan tarikh dan hanya 3 orang saja yang menyertai expedisi – Adnan, Wijay dan aku sendiri.

Pesawat ATR75-200 yang digunakan oleh MasWings

Dari Johor Bahru kami menaiki penerbangan Air Asia dan bermalam di Miri. Di sana, kami membeli bekalan dan kelengkapan untuk dibawa ke Mulu. Jadual yang ketat di hujung semester menyebabkan persiapan awal tidak dapat dibuat, termasuk persiapan fizikal. Keesokannya kami menaiki pesawat ATR ke Mulu dalam penerbangan yang mengambil masa hanya 30 minit. Dari lapangan terbang, kami menaiki “teksi” dengan bayaran RM5 seorang untuk jarak yang tidak begitu jauh.

Tanda selamat datang menyambut kami di lapangan terbang Mulu

Sampai di Park Headquarters, kami melapor diri dan diberikan penginapan di Longhouse 2, di bilik Deer Cave yang mempunyai 4 katil bujang, sebuah tandas dan 2 bilik mandi. Bilik yang mempunyai penghawa dingin itu juga bersih dan mempunyai keperluan membuat teh dan kopi. Oleh kerama kami mempunyai 2 malam di park HQ, kami terus merancang jadual dengan merujuk kepada Mulu Discovery Plan.

Peta menunjukkan tempat-tempat menarik di Gunung Mulu National Park.

Antara lain kami dipesan supaya bersedia untuk menolak bot dalam perjalanan ke Camp 5 kerana paras air yang rendah ekoran kemarau. Jadi kamipun membeli “Adidas Kampung” dari sebuah “kedai Runcit” yang dimiliki oleh Dick Manny di tepi sungai, lebih kurang 20 minit dari Park Headquarters. Sebenarnya, di sepanjang sungai itu memang mempunyai penempatan-penempatan Orang Ulu yang kebanyakannya dari suku Berawan dan Tring, namun ada juga mereka yang dari suku yang lain – Penan, Kenyah, Kayan, Kelabit dan sebagainya. Sekali lihat, memang tidak dapat dibezakan.

Membeli Adidas Kampung (kasut getah berstud), maggi dan air dari kedai runcit di tepi sungai.

Perjalanan Ke Kuala Litut

Dari Park Head Quarters, kami menaiki bot panjang. kumpulan kami terdiri dari 7 orang – kami bertiga, pasangan dari Belgium (Thejs dan Mieka) dan pasangan dari Netherland (John dan Suzanne). Mereka dianggarkan berusia di hujung 20’an atau awal 30’an. Dalam perjalanan kami berhenti di penempatan orang Penan dan di dua buah gua – Clear Water Cave dan Wind Cave.

Menaiki bot ke Kuala Litut – Mieka, Thejs, Suzanne and John dalam satu bot dan kami bertiga dalam bot yang lain.

Selepas itu perjalanan diteruskan ke Kuala Litut. Nasib kami baik kerana kesan kemarau dikurangkan oleh hujan lebat dua malam sebelum kami bertolak. Maka kami tidak perlu turun ke sungai menolak bot. Alhamdulillah.

Memulakan Trekking selepas solat Zuhur & Asar di tepi sungai

Kami sampai di Kuala Litut lebih kurang jam 1 tengahari. Setelah berbincang, kami mencadangkan mereka berempat meneruskan perjalanan terlebih dahulu kerana kami ingin berjalan santai. Lagi pun kami ingin bersolat terlebih dahulu. Selepas solat jama’ Zuhur dan Asar kami memulakan perjalanan sejauh 8.8 km. Oleh kerana kami membawa bekal makanan dan air minuman, beg terasa berat terutama apabila perjalanan semakin jauh.

Terdapat 2 buah jambatan gantung dalam perjalanan dari Kuala Litut ke Camp 5

Pemandangan di sepanjang perjalanan juga menarik dengan pelbagai spesis pokok hutan dan bunyi burung dan serangga. Trek yang dilalui sentiasa redup dan mendatar kerana kami merentasi kawasan hutan. Di perjalanan ini juga terdapat dua buah jambatan gantung bagi menyeberangi sungai.

Berehat selepas membuang pacat dari kaki

Di suatu tempat Wijay meminta tolong untuk membuang pacat dari kakinya. Aksi yang ditunjukkan olehnya yang seriau dengan pacat amat kelakar dan membuatkan kami tergelak besar. Amat menghiburkan. Err… hiburan dalam penderitaan orang lain!!!

Camp 5 – mempunyai kelengkapan yang “basic” tapi selesa

Kami sampai di Camp 5 selepas berjalan lebih kurang 3 jam setengah, satu jam lebih lama dari tempoh yang kami ambil dalam perjalanan pulang 2 hari kemudiannya. Camp 5 mempunyai kelengkapan asas yang baik. Terdapat 5 buah bilik tidur (sebenarnya ruang terbuka dengan separuh berdinding) dan di dalam setiap bilik ada 2 pangkin kayu yang dipisahkan oleh laluan selebar 1 m. Setiap pangkin boleh menempatkan 8 orang dan tilam sponge (nipis dan keras) bersalut fabrik PVC disediakan untuk setiap seorang. Jadi bilik yang boleh menempatkan 16 orang itu hanya digunakan oleh kami bertujuh.

Wijay membelek kakinya yang berdarah akibat gigitan pacat (dalam bilik No 5)

Camp 5 menyediakan perkakas memasak yang mencukupi termasuk dapur gas, pinggan mangkuk dan periuk. Kawasan untuk memasak dan makan juga luas dan selesa. Bilik air juga bersih dan bekalan air dipam dari sungai. Air minum disediakan dengan mendidihkan air sungai dan disimpan di dalam bekas besar yang boleh diguna umum. Kelengkapan bilik mandi dan tandas juga baik (tapi janganlah harapkan air panas). Bekalan elektrik diperoleh dari solar cell.

Syura Kumpulan

Pada malam itu hujan turun dengan lebat. Lucas (guide kami yang berbangsa Penan) memberitahu jika hujan tidak berhenti sehingga jam 7 pagi esok, pendakian terpaksa dibatalkan. Dan keesokannya, pada jam 7, hujan masih turun. Apabila aku masuk ke bilik selepas sarapan, kelihatan Lucas sedang berbincang dengan kumpulan kami. Mieka memberitahu, “we are going”, John pula berkata, “we’re open to discussion”. Sejurus kemudian Adnan pun sampai dan kami membuat keputusan untuk meneruskan pendakian dan berjanji akan berpatah balik jika hujan lebat di atas gunung. Maka pada jam 7.30 pagi, 7 Julai 2012 (1 jam lebih lewat dari jadual), ketika hujan masih turun renyai-renyai kami (Thejs, Mieka, John, Suzanne, Adnan, Aku dan Lucas) memulakan perjalanan. Alhamdulillah, dalam perjalanan hujan berhenti.

Memulakan pendakian selepas 100 m trek mendatar.

Pendakian bermula dengan jalan mendatar sejauh 100 m. selepas itu pendakian bermula. Pendakian dan pendakian tanpa henti. Sampai di 300 m, sudah terasa penat. Bila sampai di 600 m, pakaian semuanya sudah basah. Thejs menegurku “You’re really warmed up”, dan aku menjawab “I’m enjoying every moment of torture”.

Mini Pinnacles

Apabila sampai ke Mini Pinnacles, 900 m telah dilalui dan perjalanan masih mempunyai memerlukan 1500 m. Kami berehat di situ sebentar. Kelihatan 2 pasangan kenalan baru kami itu sedang menunggu ketibaan kami.

Di Mini Pinnacle – John dan Suzanne membelek kaki masing-masing yang luka akibat terjatuh.

John dan Suzanne

John dan Suzanne berasal dari Netherland. John adalah pegawai kerajaan yang bertugas di agensi Alam Sekitar dan kini sedang menyiapkan thesis PhD dalam tajuk berkaitan sukarelawan. Suzanne pula merupakan seorang guru. Mereka kelihatan lebih serius dan suka kepada perancangan yang teratur. Destinasi seterusnya ialah Kuching, Pulau Pinang, genting dan Pulau Tioman. Bila berbincang tentang tempat-tempat itu, John ternyata telah membuat banyak bacaan awal.

Thejs dan Mieka

Pasangan dari Belgium ini pula amat berbeza. Mereka kelihatan seperti “seasoned backpacker”. Mereka hanya membawa satu beg galas yang besar ke mana-mana secara bergilir. Untuk ke Pinnacle, Thejs membawa beg dalam perjalanan ke atas dan Mieka pula membawanya semasa turun. Mereka minat dengan budaya dan aspek kemasyarakatan. Semasa singgah di perkampungan Penan, mereka menziarahi salah sebuah rumah di sana dan berbual dengan tuan rumah.

Pada malam selepas turun dari Pinnacle, Mieka datang ke meja makan kami dan bertanya. “I have many Muslim friends in my previous work, and I learned that Muslims have to pray five times a day. However, I noticed that you pray only 3 times.” Kami tersenyum dan menerangkan tentang solat jamak dan keringanan untuk mengqasarkan solat ketika bermusafir. Dia mendengarnya dengan penuh minat. Dalam hati, aku mendoakan mereka semua diberi hidayah oleh Allah swt kerana mereka adalah anak muda yang sopan dan pandai menghormati budaya orang lain.

Aku juga menceritakan pengalaman kami solat subuh di puncak Kinabalu kerana solat Subuh tidak boleh digabung dengan yang lain. Selepas itu dia menceritakan pengalamannya dengan orang islam di bulan Ramadan di tempat kerja dan kami tergelak besar.

Menikmati keletihan dalam perjalanan naik. Enjoying every moment of torture…

Tahap 1200 m

Tahap 1200 m ialah pertengahan perjalanan. Di situ kami meninggalkan sebotol air untuk perjalanan pulang. Aku meninggalkan baki air dalam botol besar yang sebahagiannya telah diminum dalam perjalanan ke situ dan membawa sebotol besar yang penuh untuk perjalanan seterusnya.

Ada 15 tangga bagi membantu pendakian tebing yang cerun.

Jalan Yang Curam

Sepanjang pendakian, trek yang diikuti semuanya curam kecuali amat sedikit yang mudah. Jadi secara keseluruhan, trek ini amat sukar dan memerlukan persediaan latihan. Oleh kerana aku tak sempat, berlatih, maka aku merasa habuan sepenuhnya. Err, padan muka aku…

Oleh kerana kami mendaki menembusi kabus dan awan (malam sebelumnya hujan sampai pagi), seluruh pakaian sentiasa dibasahi peluh, malah peluh menitik jatuh dari baju dan seluar, seolah-olah berjalan dalam hujan. Ini menyebabkan kami mengalami sakit otot terutama di paha dan memberi isyarat mahu kekejangan. Alhamdulillah Adnan membawa gel gosok. Jadi dari semasa ke semasa kami menggosok paha dan betis bagi mengelakkan kekejangan.

Terdapat banyak tebing yang curam. Ada yang memerlukan bantuan tali bagi memanjat

Kita perlu sentiasa berhati-hati terutama kerana ada beberapa tempat yang amat merbahaya. Ini lebih penting semasa perjalanan turun. Ada tebing yang curam 90 darjah tetapi tidak begitu tinggi. Ada pula tebing yang begitu tinggi dan memerlukan anda menarik nafas panjang atau berehat sebelum memulakan pendakian.

Banyak tebing yang curam seperti ini.

Sampai ke destinasi – The Mulu Pinnacles

Akhirnya selepas 3 jam 45 minit, kami tiba di puncak. Mereka yang lain telah sampai lebih kurang 15 minit lebih awal.

Puas walaupun penat !

Tiada perkataan yang dapat menjelaskan perasaan aku ketika itu – puas, syukur, gembira, terpegun – berbagai-bagai. Melihat batu-batu yang dihakis menjadi struktur tajam yang tinggi seolah-olah tumbuh dari tanah di tengah hutan belantara di puncak gunung amat menakjubkan. Subhanallah, itu hanya sedikit saja dari kebesaran Allah, Tuhan Maha Pencipta.

Puas hati bila sampai, walaupun Adnan mengalami kejang di kaki

Beberapa minit kemudian awan mula menyelubungi kami dan penglihatan menjadi sedikit kabur. Jadi kamipun bersiap untuk turun setelah berehat lebih kurang 20 minit di situ sambil mengisi tenaga dengan menjamah bekalan makan tengahari sebelum memulakan perjalanan turun.

Sampai di Camp 5

Dalam perjalanan turun aku bergerak perlahan bagi mengelakkan kecederaan. Adnan yang lebih laju semasa turun terpaksa memperlahankan rentaknya. Di belakang sekali ialah Lucas, guide kami yang mesti berada di belakang semasa turun mengikut SOPnya.

3 jam 45 minit semasa naik dan 4 jam semasa turun. Ni kira “average” punya speed. Lucas beri kami “thumbs up”.

Wijay tersenyum menanti ketibaan kami dengan kamera untuk merakan ketibaan kami dan mengumumkan kami lewat lebih kurang setengah jam dari John dan Suzanne dan lebih kurang 1 jam lewat dari Theja dan Mieka. Selepas berehat seketika, kami berendam di dalam sungai yang jernih, sejuk dan deras di Camp 5. Mmm sungguh menyegarkan. Aku cuba berenang melawan arus dengan kuak dada. Apabila berhenti, aku tewas -1 m oleh arus yang deras, dan berhenti sambil berpaut di batu besar.

Sungai Melinau di Camp 5

Petang itu kami mencuci pakaian. Malamnya kami berehat dan berbual panjang. Kumpulan yang baru juga telah sampai. Menurut Marita (wanita Iban yang bertugas di situ), kini “peak season” telah bermula dan setiap hari akan ada kumpulan baru yang sampai.

Bergambar bersama Thejs dan Mieka sebelum bertolak meninggalkan Camp 5

Thejs dan Mieka yang telah bersedia untuk bertolak pulang menunggu kami bersiap dengan sabar untuk sesi bergambar bersama. Selepas itu kami meninggalkan camp 5 – tempat penuh dengan pengalaman manis (dan misteri – yang ini tak mahu cerita di sini).

Pendakian ini amat bererti bagiku dan ianya menjadi satu lagi warna dari warna-warna kehidupan. Walaupun ada masanya (semasa mendaki) mungkin aku berkata pada diri sendiri, “what the hell am I doing here?”, namun jika ditanya sama ada aku mahu datang lagi, hati akan berkata “I think so”. Malah kami telah mula berfikir untuk ke “Mulu Summit” yang memerlukan 5 hari 4 malam.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

18 Responses to Mulu Pinnacles

  1. Anonymous says:

    pendakian yang sangat menarik! Syabas! Haraf2 yang mengikut, tapi tak sampai kepuncak, diberikan semangat untuk menjejaki kejayaan kawan2 yang berdua… Btw, saya sangat teruja nak tahu MISTERI yang dinyatakan. Ada jumpa hantu???????

    • Dr. AA says:

      Banyak juga cerita menarik kalau tanya housekeeper di situ. Kami ok aja tapi tahu ada something menganggu kami nak tidur, sebab pagi esoknya semua bercerita yang sama. Biasalah, tempat berkelah di dalam hutan. Baca doa sebelum tidur. Kalau amal adab tidur sepenuhnya lagi baik. ada wuduk, hembus ke tangan baca 3 Qul dan dan sapu ke badan, baca doa etc. Tapi setiap malam ada orang datang, so, shouldn’t be a problem.

  2. hashim says:

    Mendaki adalah aktiviti lasak yang bukan semua orang sanggup buat.

  3. fadd says:

    waah… saya juga dah sampai ke pinnacle.. Januari 2011. Semua ahli kumpulan seramai 8 orang adalah perempuan. Pendakian yang lebih mencabar berbanding G. Kinabalu. Byk sangat pengalaman yang tak dapat dilupakan. Menunggu May 2013, untuk menakluk Mulu Summit, InsyaAllah jika diizikan Allah.

  4. sham says:

    Sy dan kwn2 aku ke sana sabtu ini…so nak tanye di camp 5. …ok tak kalau x bawak sleepin bag n mat?

    • Dr. AA says:

      Sham, Tilam sponge ada di Camp 5. Tapi Sleeping bag kena bawa sendiri sebab sejuk. Kalau pergi dengan package, kena check dia orang provide atau tidak. air sungai jernih dan sejuk. Bekalan air minum (air sungai yg dimasak) ada di dapur. Camp 5 is nice.The pinnacles are nicer.Good luck.

  5. Menarik, dan perkongsian yang bermanfat , munkin kami akan sampai juga, melihat kebesaran ciptaan Allah.

  6. Amirul says:

    Salam tuan..terima kasih atas post tuan..agak susah utk cari info mcm ni di dalam internet.. cuma yang ingin saya tanya, tuan pergi ni melalui pakej atau pergi sendiri?
    Saya plan nk pergi sendiri ke mulu then sampai di sana baru cari guide..ok ke tuan?

    • Dr. AA says:

      Saya arrange dengan park headquarters untuk book slot ke sana. Limited place di camp 5. So, better book awal.
      Boleh masak sendiri di Camp 5. Air dan dapur ada. pinggan mangkuk dan periuk juga ada.

      ada juga package yang provide semua tapi mahal sikitlah.

  7. ciam says:

    Salam, Dr.,
    untuk book, ada minimum pax ke?sbb saya sorang.dan lagi, 4hari 3 malam, cukup ke, untuk aktiviti ni.terima kasih.

    • Dr. AA says:

      Kalau seorang, boleh aja join other groups. Normally setiap group ada maximum number dan kita kena book berdasarkan slot yang ada. Dulu kami 3 orang, jadi bergabung dengan 2 orang Belgium dan 2 orang belanda. Untuk ke Mulu pinnacle perlu 2 malam di camp 5. Jadi 4 hari 3 malam tu possible, tapi kena check dengan flight yang ada. kalau dapat flight pulang lewat petang then memang sesuai, sebab elok juga ada satu malam di park headquarters, boleh tengok kelawar masa sunset.

  8. nurul says:

    assalamualaikum dr…

    terima kasih atas perkongsian dr. Insya ALLAH pada jan 2016 akan datang saya dan kawan2 akan ke sana…persiapan fizikal sedang dilakukan…semoga tidak pancit semasa hari kejadian…Insya ALLAH…

    • Dr. AA says:

      Good luck Nurul.
      Believe it or not, I am considering another trip to the pinnacle. Missed the great feeling the moment I saw the pinnacles in front of my very own eyes.

  9. Norhayati Mohamed Noor says:

    Askum.. sonok baca cite dr.. sj jek cari2 info. Sbb 17 hgg 23hb mac 2016 ni kami ke mulu. Dah book semua flight n pakej mdaki dgn agensi sana. Mahal jgk rm970. Tp tulah sya nak cek blik sama ada mknn di camp 5 provide atau kena masak sndiri. Mcm2 nk pikir ni.. kasut klengkapn dan lain2… sejuk ke kat sana dr?
    Hrp dr dpt kongsi… tq

    • Dr. AA says:

      Makan etc bergantung pakej. Kami dulu masak sendiri. Kalau ada kudapan untuk sembang malam2 pun bagus juga.
      Kasut sangat penting kalau nak naik ke pinnacle sebab banyak batu2 tajam. kalau jalan basah, masa turun pula licin. Bagi saya cuaca tak sejuk, sikit saja beza dengan di camp headquarters.

  10. Ajiq says:

    Assalamualaikum dr.

    trimas sangat² atas perkongsian pengalaman masa mendaki. InshaaAllah next two week (14-18/10/2016) kmi akan ke sana. national park yg terkenal sbg pusat tarikan pelancong kami gunakan untuk membuat latihan. alhamdulillah semua sampai ke puncak inshaaAllah finalley trip to Mulu nak sampai kepuncak jugak. harap xpancetlah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s