Refleksi Orang Tua

Kuliahku tamat jam 10.30 malam ini, tetapi terus didatangi beberapa orang pelajar yang ingin mendapatkan penjelasan. Setelah beberapa minit berbincang, akupun melangkah ke kereta untuk pulang. Dalam perjalanan, fikiranku melayang jauh, teringat saat manis beberapa tahun yang lalu. Ia manis kerana aku menyaksikan kejayaan anak sulungku yang telah menamatkan pengajian diplomanya dengan cemerlang. Ia manis kerana itulah kali pertama aku merasakan perasaan seorang ayah melihat anaknya berjaya melangkah ke alam dewasa untuk terus ke tahap yang seterusnya.

Kemudian, ketika Tan Sri Arshad Ayub melangkah ke hadapan pentas dan berucap dengan refleksi ITM, hatiku amat tersentuh. Aku yakin, ucapan Pro-canselor UiTM tanpa teks itu membuat ramai ibu bapa yang menitiskan air mata. Mungkin graduan yang merupakan generasi Y tidak dapat menghayatinya.

Dia bercerita kisah bermulanya ITM.  Apa semangat mereka ketika itu. Dia bercerita tentang anak-anak desa dikumpul dan disusun dalam program-program akademik,  kemudian dididik sehingga berjaya memasuki kerjaya. Ianya usaha berasaskan semangat perjuangan. Ingin mengubah sebuah generasi. Itulah semangat yang mendorong usaha ke arah kejayaan.

Dia bercerita tentang penarik beca. Ketika itu aku teringat seorang sahabat,  anak seorang penarik beca. Aku pernah melihat bagaimana ayahnya mengayuh beca meninggalkan rumah dan pulang di petang hari. Ibunya pula membakar kuih yang dihantar ke kedai untuk dijual bagi menampung kehidupan. Ayahnya seharian berpanas di jalan, mengutip hasil walaupun sedikit. Anak penarik beca itu berjaya belajar ke luar negara dan berjaya pula dalam kerjaya.

Dia bercerita tentang seorang penjaja. Terbayang pula seorang sahabat yang dibesarkan oleh bapa saudara yang tinggal di rumah rakit. Rumah itu diikat di tebing sungai. Setiap hari mereka menjual air tebu di tepi jalan bagi mendapatkan rezeki yang halal. Usaha itu juga membuahkan hasil. Sahabatku kini juga berjaya dalam kerjaya.

Dia juga bercerita tentang seorang penoreh getah. Ketika itu aku terbayang penoreh getah yang mengayuh basikal di awal pagi di atas jalan tanah merah menuju ke ladang tempat bekerja. Walaupun matahari belum meninggi, bajunya sudah basah kuyup dengan peluh yang menitis dari kepala, muka dan seluruh tubuh. Dia pulang ketika matahari sudah tegak di langit. Dan di petang hari pula dia memikul jala menuju ke sungai atau memikul lukah ke hutan untuk menangkap ikan bagi menambahkan pendapatan keluarga. Memang jerih. Tapi jerih dan lelah itu jugalah yang membesarkan anak-anaknya yang ramai sehingga berjaya.

Sebab itu aku amat marah apabila melihat anak yang tidak menghormati ibu bapa. Sebab itu hatiku tidak senang apabila anak meninggikan suara kepada ibu ataupun bapa. Ingatlah anak, bukan muda ayah dan ibu membesarkan kamu. Mungkin engkau tidak perasan. Mungkin engkau tidak ingat. Setiap fasa kehidupanmu dari lahir hingga dewasa, banyak sekali pengorbanan ibu bapamu.

Suatu hari seorang bapa bercerita kepadaku. Dengan nada bersyukur dia membuat refleksi ringkas perjalanan hidupnya membesarkan anak-anak. Memang sukar dan perlukan banyak pengorbanan. Tapi didorong keazaman, dia mampu bertahan hingga anak-anaknya berjaya. Dia bercerita, “Hari ini aku rasa puas hati. Hilang penat selama ini.” Apakah, tindakan itu. Aah rupanya dia merasa amat bahagia kerana anak-anaknya sama-sama berkongsi memberikannya rawatan yang terbaik kepadanya dan berkongsi membayar bil hospitalnya yang tinggi. Muafakat adik beradik itu menjadi penghibur kepada bapa tua itu.

Mungkin anak-anak generasi Y dan Z tidak faham. Terutama bagi mereka yang mempunyai ibu bapa dari kelas menengah. Dilihat ayahnya berkereta, ibu juga berkereta. Ada yang berkereta mewah. Dia tidak dapat membayangkan kesusahan ibu bapa membesarkannya.

Dilihat ibu-bapa sentiasa mempunyai wang bila diminta. Walaupun kadang-kadang ibu berleter suruh berjimat, namun akhirnya dia dapat juga apa yang diminta. Dia tidak faham pengorbanan ibu bapanya itu. Dia tidak dapat mengerti bahawa pensyarah yang mengajar 6 jam sehari di hujung minggu selepas memandu selama 4 jam untuk mendapatkan pendapatan tambahan itu memerlukan kegigihan. Dia juga tidak menjiwai kejerihan ibu bapa yang terperangkap oleh kesesakan jalan raya sehingga lewat sampai ke rumah. Dia tidak dapat memahami letihnya ibu bapa yang terpaksa bertugas hingga ke malam dan ditambah pula dengan mesyuarat di hujung minggu.

Ibu bapa hari ini juga letih membesarkan anak-anaknya. Mereka juga terpaksa membuat pelbagai pengorbanan, walaupun tidak sama bentuknya dengan apa yang dilakukan oleh penarik beca, penjaja atau penoreh getah. Cabaran kerjayanya memang jauh berbeza tetapi ia juga meletihkan dan memerlukan pengorbanan, di samping keliru dengan kerenah anak di zaman yang berbeza berbanding ketika mereka masih kecil.

Itulah sebabnya Tan Sri Arshad Ayub berkata, “Anak-anak, ciumlah ibu bapamu. Mungkin dia berpeluh dan baunya tidak enak. Tapi dialah yang telah berjasa sehingga kamu berjaya pada hari ini“. Sebagai ahli akademik aku memang banyak menghadiri konvokesyen, termasuk berdiri di atas pentas menyaksikan graduan beratur mengambil ijazah. Tetapi itulah ucapan konvokesyen yang terbaik yang pernah kudengar. Terima kasih Tan Sri.

 

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback, Opinion and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s