Lamunan KTX

Melihat sawah padi terbentang luas di bumi Korea, hatiku begitu riang. Terbayang nostalgia lama. Kisah di zaman kanak-kanak. Lalu kocoretkan perasaan itu sambil aku bersandar di dalam keretapi KTX dari Seoul menuju ke Gwangju. Aku kini dalam perjalanan ke Gwangju untuk menghadiri Work=ld Hydrogen Energy Conference.

sawah korea

Tetapi memori sawah padi itu juga menyingkap peristiwa pemergian ibuku yang tersayang. Tiba-tiba terbayang bagaimana di pagi itu isteriku menyampaikan berita yang telah diterimanya mengenai pemergian ibuku. Aku tergamam. Emak telah pergi, diambil Penciptanya di pagi hari. Aku bersyukur kerana dia pergi dengan mudah dan tidak melarat. Aku juga bersyukur kerana aku di rumah, sedangkan beberapa jam sebelum itu aku masih di luar negara. Memang seminggu sebelum itu emak di hospital dan aku hampir membatalkan perjalanan menghadiri persidangan di luar negara. Tetapi dia sempat pulih dan dibawa ke Kuala Lumpur supaya menyambut eidil adha bersama keluarga yang ramai di sana. Rupa-rupanya ajalnya telah ditetapkan di Kuala Lumpur beberapa hari kemudian, sebelum tiba eidil adha. 

Ketika berita diterima, aku seolah-olah berhenti dari berfungsi. Tidak berfikir dan tidak berkata apa-apa. Hanya terdiam, termanggu, kosong, terawang-awang. Isteri yang bertindak, membuat persiapan. Dia ke sekolah mengambil anak, dan menyediakan bekal untuk perjalanan pulang. Aku hanya bergerak perlahan ke sana kesini buat seketika.

Ibu tua yang amat kusayangi akhirnya pergi mengikut ketetapan. Dialah sumber pendorong kejayaan kehidupanku selama ini. Semasa kecil  aku banyak berbicara dengan ibu. Ketika menemaninya membakar kuih baulu ketika menjelang hari raya dan di banyak ketika lain. Mungkin banyak janji yang telah kulafazkan, tidak mustahil jika banyak telah dilupa dan tidak ditunai. Semoga Allah mengampuni segala kelemahanku dalam berbakti kepada orang tua yang banyak berjasa.

Saat ini, di dalam keretapi yang meluncur merentasi sawah padi hatiku merasa sayu, kerana terbayang laksana ditayang ceritanya, aku teringat sketsa-sketsa kehidupan lampau. Awal pagi emak menyalakan api di dapur kayu, menyediakan roti canai atau kuih pau untuk sarapan, kedua-duanya amat kugemari. Terbayang pula ketika aku dimarahi kerana tidak mahu ke sekolah, dan emak menghantar aku sampai ke pagar sekolah. Terbayang juga pujukan emak supaya aku tidak malas menghantar bekalan dan menolong bapa di ladang getah semasa cuti penggal persekolahan. Bagaimana dia sering membayangkan betapa besar pengorbanan bapa yang bermandi peluh di ladang getah di pagi hari dan di sawah padi atau paya dan sungai menangkap ikan di petang hari. Jarang sekali dia menyebut pengorbanannya sendiri sedangkan dialah yang menyediakan makanan di awal pagi di bawah cahaya malap pelita minyak tanah, dia jugalah yang memberus pakaian berdaki yang kupakai, dan di musim menanam padi, dia juga seharian berpanas di dalam lumpur. Hidup susah diharungi dalam membesarkan kami. Kata-kata perangsang yang ditanam amat mengesani kami semua  – inspirasi yang akhirnya mengeluarkan kami dari kemiskinan desa.

Aah… keretapi kini memasuki bandar Gwangju, tempat berlangsungnya World Hydrogen Conference 2014. Wahai Tuhan yang Maha Penyayang, rahmatilah ibu dan bapaku, ampunilah kesalahan dan kelemahan mereka. Masukkanlah mereka ke dalam syurgaMu, dan janganlah disiksa mereka itu lantaran kesalahan mereka di masa hidup. Ameen…

Kepada anak muda yang membaca luahan ini, aku ingin berpesan…

Berbaktilah kepada ibu bapamu semasa ada kesempatan. Biarpun sukar, biarpun sibuk, biarpun terasa lelah, biarpun sempit wang. Semua perkara memerlukan pengorbanan, dan pengorbanan untuk ibu bapa itu amat penting untuk kau hayati. Suatu hari nanti, apabila mereka telah tiada dan timbul kerinduan kepada mereka, kau pasti menyesal jika tidak mengutamakan mereka dalam mengurus kehidupan.

 

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Buatmu Sahabat, Happening, Opinion and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s