Memori Andalusia 8 – Epilog

Nostalgia Andalusia

Perjalanan menelusuri kesan-kesan sejarah silam di Andalusia amat mengesani jiwaku. Dengan memandu kereta sewa di bumi asing berdua bersama isteri, kami dapat menikmati keindahan pemandangan yang melegakan perasaan kerana di merata tempat kami dapat melihat keindahan yang bertemakan bumi hijau luas yang dicorakkan oleh  tompokan pohon renek dan muka bumi beralun. Di kawasan tanah tinggi, jalan yang dilalui merentasi gaung dan lurah serta terowong yang menembusi gunung batu yang gagah. Mmm… Seminggu itu, fikiranku lapang, jauh dari segala masalah rumit dan sasaran pencapaian tinggi yang ditetapkan oleh majikan. Aku merasa bebas. Insya Allah, aktiviti seperti ini yang sememangnya telah menjadi kelazimanku di usia muda akan diulang lagi di kesempatan akan datang.

Tetapi perjalanan kali ini lebih dari itu kerana kami juga menelusuri sejarah, menyingkap peristiwa silam. Merenung kembali kehebatan dunia Islam yang suatu masa dulu merupakan kuasa dunia yang disegani dan digeruni menjana nostalgia dengan pelbagai perasaan. Ya, dunia Islam ketika itu bukan seperti hari ini, begitu mudah dibuli dan disusun seperti bidak-bidak di papan catur.

Ketika melihat tembok-tembok batu yang berdiri gagah di lereng-lereng bukit, aku dapat membayangkan kekuatan ketenteraan serta teknologi dunia Islam suatu masa dulu. Ketika menempuh jalan berliku di pergunungan aku membayangkan ketulinan kesungguhan mereka dalam meluaskan pengaruh. Ya, jalan-jalan itu berliku-liku dan di ketika itu tentulah jalannya lebih sukar…

Semangat Tariq Ibn Ziyad

Itulah semangat Tariq Ibn Ziyad, panglima Berber yang memimpin ekspedisi pada tahun 711. Dengan keazaman tinggi yang luar biasa, dia telah meluncur laju maju sehingga menawan Toledo yang merupakan pusat pemerintahan Raja Roderick dan meluaskan kuasa Islam di bumi Andalusia. Satu demi satu bandar dikuasai sehingga tertegaknya kerajaan yang berpusat di Cordoba.

Kilafah Umayyah yang juga merangkumi hampir keseluruhan Semenanjung Iberia termasuk Sepanyol, Portugal dan sebahagian dari Perancis

Kilafah Umayyah yang juga merangkumi hampir keseluruhan Semenanjung Iberia termasuk Sepanyol, Portugal dan sebahagian dari Perancis

Runtuhnya Khilafah Cordoba

Sejarah Andalusia juga penuh dengan cabaran, mendedahkan pelbagai warna-warna sifat manusia yang penuh kelemahan – cinta kepada kekuasaan dan kemewahan, irihati dan dengki, lalai dengan hiburan – yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan melemahkan kerajaan. Apabila Khilafah Umayyah diganti oleh Abbasiyah, Abdul Rahman III membuat keputusan untuk “bebas” dari Khilafah yang berpusat di Baghdad dan menubuhkan khilafahnya sendiri berpusat di Cordoba di sekitar tahun 929.

Khilafah Umayyah Di Cordoba

Khilafah Umayyah Di Cordoba

Khilafah Umayyah di Cordoba ini pula kemudiannya berpecah kepada kerajaan-kerajaan kecil di sekitar tahun 1032. Maka lahirlah kerajaan-kerajaan kecil (Taifa) Islam yang terpisah antara satu sama lain seperti di Saragossa, Toledo, Seville, Malaga, Granada, Almeria, Denia and Valencia.  Perpecahan menyebabkan mereka menjadi semakin lemah.

Toledo jatuh ke Alfonso VI dari Castille pada tahun 1085. Ketika itu hampir separuh dari semenanjung Iberia telah mula ditawan oleh kerajaan kristian.  Zaragosa tumpas pada tahun 1118. Lisbon ditawan pada 1147. Valencia ditawan pada 1200. Selatan Portugal jatuh pada 1231. Cadiz dan Cordoba ditawan pada 1236 dan Masjid Besar Cordova ditukar menjadi cathedral. Seville pula dikepung selama 15 bulan dan akhirnya tumpas pada 1248. Seterusnya pada 1249 pula Faro  jatuh ke tangan Raja Alfonso III dari Portugal. Akhirnya, pada tahun 1252, yang tinggal hanyalah kerajaan Granada di bawah kekuasaan Ibn Ahmar, putera kabilah Nasiri. 

Dalam era yang sama juga, Monggol mula menakluki Asia Tengah dan akhirnya menyerang Khilafah Abasiyah yang berpusat di Baghdad

Sepanyol pada tahun 1492 - Yang Tinggal Hanya Kerajaan Islam  Granada

Sepanyol pada tahun 1492 – Yang Tinggal Hanya Kerajaan Islam Granada

Ferdinand & Isabella

Ketika perkahwinan Isabella, anak Raja John II dari Castille dengan Ferdinand, anak Raja John I dari Aragon pada 1469, pemerintahan Islam telah bertapak di Sepanyol, Portugal dan sebahagian dari Perancis selama lebih dari 700 tahun. Perkahwinan itu menggabungkan dua kuasa sehingga membentuk  kerajaan monarki katolik yang semakin kukuh.

Bermula pada tahun 1482, kerajaan Islam Granada diserang oleh Ferdinand dan Isbella. Ronda di bahagian barat ditawan pada tahun 1485. Selama 5 tahun (1483-1488) Malaga digempur dan apabila Malaga tumpas, ia dikatakan seperti “mata kerajaan Granada telah dicungkil”.

Pada tahun 1491, Granada akhirnya dikepung. Akhirnya kerajaan Islam menyerah kalah dengan dimeterai perjanjian Granada pada tahun 1492 yang memberikan kelonggaran kepada umat Islan. Namun perjanjian itu kemudiannya dicabuli dengan dasar tidak toleran agama yang diperkenalkan. 

Dasar Tidak Toleran Monarki Sepanyol

Jika diamati, pemerintah raja katolik Sepanyol sering mengambil sikap tidak toleran terhadap agama lain. Apabila mereka menguasai sesebuah bandar, penganut agama lain dibunuh atau dihalau. Kalaupun ada perjanjian damai, ianya juga tidak dihormati. Maka walaupun Islam telah begitu lama di sana, umat Islam yang ditewaskan itu ramai yang dibunuh, dan ramai juga yang meninggalkan Semenanjung Iberia. Mereka dipaksa menganut Kristian Katolik atau dihukum.

Selepas menguasai Sepanyol sepenuhnya, mereka telah membiayai pelayaran Cristopher Columbus, yang kemudiannya menjadi pemangkin kepada peluasan pengaruh Sepanyol ke dunia luar, jauh di Amerika Selatan sehingga ke Filipina di Asia Timur. Ke mana sahaja kuasa diluaskan, dasar tidak toleran kepada agama juga diteruskan, sekaligus menyebabkan kuatnya pengaruh Kristian dan juga semakin pupusnya pengaruh agama lain.

Kesan Kepada Nusantara

Peristiwa sedih yang berlaku di Nusantara seperti jatuhnya kerajaan Islam Melaka di tangan Portugis dan Filipina ke tangan sepanyol, ada kaitannya dengan persengketaan umat Islam di Andalusia. Dari kelemahan merekalah berkembangnya pengaruh Ferdinand dan Isabella. Setelah menguasai semenanjung Iberia, mereka mula meluaskan pengaruh ke luar. Begitu juga Portugis. Kedua-dua negara, Portugan dan Sepanyol adalah sebahagian dari dari kerajaan Islam di bawah pemerintahan Khilafah Umayyah.

Mungkin sejarah Filipina perlu diamati dengan lebih mendalam. Kerajaan Islam di sana akhirnya tumpas dan umat Islam ditukar menjadi Kristian dengan pelbagai cara. Suatu hari aku bertanya kepada seorang peserta latihan dari Filipina yang kukendalikan di industri, “cuba terangkan maksud namamu”. Dia pun menceritakan bagaimana nama-nama Islam yang digunakan dahulu ditukarkan kepada perkataan-perkataan Tagalog yang membawa maksud pelbagai objek di persekitaran. Ianya dibuat oleh nenek moyang mereka bagi mengelakkan siksaan atau pembunuhan oleh penjajah Sepanyol kepada orang Islam di Filipina ketika itu.

Penutup

Banyak pengajaran yang boleh didapati dari Andalusia. 700 tahun pemerintahan Islam telah membawa banyak manfaat kepada Eropah terutama dari segi teknologi dan peradaban. Sebahagian kesannya telah kulihat sendiri. 

Namun dasar pembersihan penganutan agama yang diamalkan oleh Ferdinand dan Isabella serta gereja Katolik Sepanyol ketika itu dan selepas dari itu telah menyebabkan banyak pembunuhan serta pengusiran umat Islam dari semenanjung Iberia. Kesan peninggalannya, walaupun telah banyak diubah masih lagi menggambarkan kebesaran kerajaan Islam suatu ketika itu.

Aaah, kenapalah lagu rock Isabella begitu popular di Malaysia suatu ketika dulu??? 

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening, Opinion and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s