Gotong Royong Kampung Krubong

Kg Krubong dari udara. kelihatan tasik buatan berhampiran dengan rumah emak. Dahulunya kawasan itu sawah padi

Teperanjat aku, malu pun ada!, kata seorang kawan. Dia terkejut kerana sumbangan yang diberi kepada tuan rumah dicatit di dalam buku ketika menghadiri  kenduri kahwin di Melaka. Bayangkan jika anda mengalami suasana itu dan sumbangan yang diberi ialah RM5 ? Haha, hilang keikhlasan dan jadi segan. Itulah keluhan yang pernah kudengar. Itu suasana dahulu, kini ianya jarang berlaku.

Baru-baru ini ketika aku singgah menziarah emak ketika dalam perjalanan puang dari majlis pernikahan anak sulungku di Seremban,  emak bercerita tentang isu ini. Dia bercerita tentang cara hidup masyarakat di Krubong yang banyak mengamalkan semangat gotong royong. Suasananya berbeza dari kampung ibuku yang berhampiran dengan bandar Melaka.

Dalam urusan kenduri kahwin, sistem yang digunakan adalah begini. Jika seseorang akan mengadakan kenduri kahwin untuk anaknya, masyarakat kampung akan datang bertanya, “kau nak beras?” atau “kau nak telur”, atau daging, atau minyak, atau apa-apa lagi. Tuan rumah akan buat keputusan apa yang dia perlukan. Jadi Mak Ngah A akan bagi beras 20 kg, mak cik B bagi beras 30 Kg, Mak Long C bagi minyak masak 3 Tong, Pak Uteh D pula bagi telur rebus 200 biji dan sebagainya. Perbuatan ini dipanggil “menanam” atau apa lagi istilah yang aku tak ingat. Sumbangan ini akan dibalas semula oleh tuan rumah tadi apabila penyumbang-penyumbang yang “menanam” itu mengadakan kenduri kahwin. Mereka yang ingin memulangkan “tanaman” kepada tuan rumah juga memberitahu tuan rumah tersebut. Jadi tuan rumah dapat menyediakan bajet, menerima atau menolak sumbangan baru. Semua diurus dengan semangat kerjasama dan gotong royong.

Selain dari barang-barang, sumbangan wang juga direkod dengan semangat yang sama. Namun, anda tidak perlu beritahu bila nak menyumbang, kerana wang dikira bonus. Kadang-kadang jumlah yang “dipulang” kepada yang “menanam” juga lebih. Jadi ianya bukan “hutang” tetapi lebih berbentuk sumbangan dalam semangat gotong royong. Sebab itu ianya direkod bagi memastikan kita akan membalas budi yang yang telah menanam budi, walaupun jumlahnya tidak sama.  Apa macam? Boleh faham?

Jadi ada kalanya, seseorang yang mengadakan kenduri kahwin itu mempunyai lebihan duit kerana pulangan dari barang-barang dan wang yang diberi di samping “tanaman” baru orang lain yang diperolehi itu banyak. Jadi ia adalah system yang baik untuk masyarakat kampung yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

Ya, Kg. Krubong pada masa dulu dikira terpencil kerana jalan raya mati di situ. Perkhidmatan teksi amat sukar didapati. Jadi selalu juga kami terpaksa menaiki basikal ke Batu 8 Durian Tunggal dan menaiki bas dari sana. Tetapi, orang Krubong mempunyai semangat gotong royong dan saling menyokong yang amat kuat. Di mana saja, dan dalam urusan apa sekalipun  mereka akan saling membantu. Sebut saja, “aku orang Krubong, dan kenalkan diri, anak siapa, adik siapa,” selesai masalah, termasuk dalam pergaduhan. Itu solidariti masyarakat Krubong yang boleh dikatakan diketahui umum di Melaka ketika itu.

Bila sampai musim menanam padi, jadual dibuat untuk gotong royong mengubah padi ke petak sawah dari tapak semaian. Ianya macam pesta. Kadang-kadang ada 2 atau 3 kumpulan serentak jika keluasan sawah kecil. Kadang-kadang semua berkumpul setempat. Bila sampai masa menyiapkan rumah, rumah kayu dipikul bersama bagi meletakkannya di atas batu alas tiang.

Kalau masa kecil dulu, itulah 2 acara yang paling kami sukai, di samping sembahyang tarawikh yang penuh dengan hidangan kuih atau buah-buahan, sehingga apabila bilal mengucapkan selawat, Allahumma salli ala Muhammad, kanak-kanak menjerit “KUIHHHHH”. Haha, nostalgia lama di masjid Krubong.

Hari ini kehidupan kita berbeza. Anak Krubong ramai yang merantau. Pendidikan yang lebih baik dan peluang yang bertambah telah meningkatkan taraf hidup masyarakat Krubong. Ramai yang berjaya. Ada yang baru-baru ini memenangi pilihan raya dan kini bergelar YB. Ada yang mempunyai syarikat di Kuala Lumpur dan mempunyai cawangan di Melaka. Ada yang masih kekal di Krubong dari dahulu hingga sekarang. Ada yang pulang setelah puluhan tahun merantau di merata tempat. Mereka adalah rakan sepermainan. Bermain lumpur di Alur. Berenang di sungai. Menjala ikan atau menimba lubuk Mat Kasim dan banyak lagi tempat-tempat pilihan.

Hari ini Krubong berubah wajah. Dengan banyaknya kilang-kilang dan perumahan baru yang sedang dan telah dibangunkan, pokok getah dan sawah padi yang menjadi sebahagian dari hidupku kini hanya tinggal kenangan. Aah, banyak peristiwa manis. Teringat ketika aku, Isa, Rahmat dan beberapa orang lagi berbaring terlentang di atas jalan raya melihat bintang, dan kapal terbang yang lalu di malam hari sambil bercerita tentang kehidupan. Malam-malam yang sering kami lalui bersama ketika aku pulang bercuti dari asrama di Ipoh. Ketika itu tidak terbayang, Krubong akan jadi seperti hari ini…

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s