Upgrade to 5-Series

Peminat BMW tentu faham, bila kereta ditukar dari 3-series ke 5-series membawa maksud pemiliknya semakin berusia. Tapi bagi STARIAN80, tahun 2013 bermaksud kami melangkah ke usia 50 tahun. Telah setengah abad menghirup udara, telah banyak pengalaman dilalui.

Pada hari Jumaat, 25 Januari 2013, kami bertemu di rumah Mancha di Hulu kelang. Aku yang datang dari Johor Bahru agak terlewat tetapi sampai di situ serentak dengan sebuah SUV. Di dalamnya ada 3 orang. Mereka kusambut dengan ucapan salam dan senyuman. 3 sahabat lama – Sung, Mansai dan Baharom – keluar dari kenderaan dan kami terus berjabat tangan. Ketiga-tiga mereka merupakan rakan karibku semasa di alam persekolahan. Inilah kali pertama aku bertemu Sung @ Zahari Hamzah sejak meninggalkan STAR. Ketika itu ramai lagi sahabat-sahabat yang telah sampai. Suasananya meriah dan dijamu pula dengan menu yang mencabar disiplin pemakanan – kambing panggang, dan sebagainya

Semasa berbual dengan Sung dan Ah Chai (Nor Amran Sulaiman, hehe ZZ & Salihin ingatkan aku), aku bertanya “Hang dah pangkat apa sekarang? Dah jadi Jeneral ke?” Sung menjawab, “dak eeh, aku kerja sendiri, tak lepas masuk askar sebab mata”. Mungkin dia dulu bodger, jadi rosak mata, haha… Ah chai mencelah, “dia tak lepas sebab kaki kecil sangat”. “Yes, boot askar tak ada saiz 5”, tambahku pula. Haha… kami tertawa.  Nama Sung diberi kerana dalam sejarah negeri China semasa dinasti Sung, ada amalan membungkus kaki supaya kaki perempuan tidak membesar. Oleh kerana kakinya kecil, Zahari dipanggil Sung.

star80(250113)-4

Dari kiri: Amirudin, Daud, Mancha, Sung, Mansai, Lan Din, Baharom

Di malam itu juga aku bertemu dengan Daud. Walaupun badannya telah berganda dari sekeping kepada 3 atau 4 keping, raut wajah sahabat karib tetap diingat. Kali terakhir aku bertemu dengan Daud juga 1981 ketika kami membawa haluan masing-masing selepas keputusan SPM diumumkan.

Aku masih ingat lagi bagaimana hati kami berdebar ketika bercerita di tepi pantai Batu Feringhi tentang keputusan SPM yang bakal diumumkan. Malam itu (3 hari sebelum keputusan diumumkan) kami berhimpun di situ, berbual panjang sehingga mengantuk dan terus tidur di atas pantai. Mmm… hotel seribu bintang. Bila dikenang, terasa rindu kepada suasana itu – desiran ombak  memukul pantai, dan angin bertiup nyaman. Ketika itu, kami berbaring di cerun pantai, menghadap ke laut sambil berbicara. Indah, walaupun hati mula terasa berdebar – Aku, Mansai, Salim, Mazru, Hanapi, Daud, Baharom, Lenon, (dan beberapa orang lagi?). Kini semuanya telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

IMG_1470

Mat Jack (2 dari kanan) memimpin bacaan Yaasin & Tahlil

Kami memulakan acara dengan membaca surah Yaasin dan berzikir dengan dipimpin oleh Mat Jack (M. Zaki). Sebelum itu Mancha (Azman) membuka bicara dengan mengingatkan kami bahawa 6 orang sahabat STAR80 telah mendahului kami semua. Mereka diambil terlebih dahulu oleh Allah swt – Kamaruzzaman A. Hadi, Nasarudin M Nor, Khairudin A. Aziz, Shahril Sharif, Rajmin Hisham, Zulkifli Mohamad. Semoga Allah merahmati dan mengampunkan segala kelemahan mereka.

Ketika itu aku teringat bicara ibuku, “Manusia ini bagaikan pokok kelapa. Ada yang elok buahnya, ada yang komeng. Ada yang cepat gugur, ada yang lambat.” Dari ibu yang sama, lahir anak yang berbagai-bagai. Ada yang baik, ada yang nakal. Ada yang berjaya dalam hidup, ada yang kurang. Dan dari tandan kelapa yang sama pula ada buah yang gugur semasa baru berputik, ada yang ketika muda dan ada pula yang walaupun sudah tua, tapi masih tegap di situ. Begitu jugalah manusia ini, ada yang mati muda ada yang panjang umurnya”

Kebetulan pula, di dalam sebulan yang lalu, ramai juga bilangan staf atau ahli keluarga UTM telah meninggal dunia. Kebanyakannya berusia 40an dan 50an. Subhanallah, ketetapan Allah tetap datang. Maut tiba tanpa mengira usia. Peluang melangkah ke 50an patut diguna dengan sebaiknya, kerana tiada siapa yang pasti bila dia akan pergi – entah esok atau lusa ataupun hari ini. Fikiranku melayang sebentar.

STAR80(250113)-1

Duduk dari kiri: Zaini,Chot, Lennon, Azad, Baharom, Fairuz, Ismail, Sung, Chad, Mat Jack
Berdiri dari kiri: Hasnol, ZZ, Suhaimi, Mancha, Lan Din, Mansai, Daud, Arif Salam, Ah Chai, Amir Ali, Maniam, Amirudin, Adnan

Majlis diteruskan dengan penerangan tentang cadangan projek CSR bagi tahun 2013, dan selepas doa dibacakan, kami menikmati hidangan sambil bersembang. Ada yang bercerita tentang kerjaya, ada yang bernostalgia, mengungkit kisah lama di tahun 70an. Suasana riuh dengan gelak ketawa. Ada juga yang bercerita tentang penyakit yang dihidapinya. Ada yang berkongsi pengalaman. Walaupun bertemu hanya jarang sekali, hubungan kelihatan begitu akrab. Mmm… 5 tahun di Tiger Lane berjaya membina persahabatan yang berkekalan. Kepada sahabat-sahabat STAR80, lain kali kita jumpa lagi.

 

 

 

 

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s