Nasihat Seorang Sheikh

Sedang aku duduk bersandar di tiang musalla, sahabatku berkata:

“Wahai sheikh, nasihatilah kami. Dunia sedang pesat berubah. Banyak sejarah baru dicipta. Cabaran baru mengganti yang lama. Kemiskinan diganti kekayaan. Kegerunan diganti kekuasaan. Kini kami hidup di celah-celah suasana yang dahulunya tidak dapat kami bayangkan. Bagaimana harus kami menjaga iman, agar dapat terus bertahan?”

Sheikh merenung kami sambil mengusap janggutnya. Kemudian dia berkata:

“Wahai sahabatku, dalam menempuh kehidupan, jagalah 3 perkara ini supaya ia sentiasa kuat dan tajam.

1. Jiwa

Jiwa kita perlu sentiasa disuburi dengan zikrullah. Tidak cukup kita istiqamah dengan wirid ma’tsurat sahaja, malah kita perlu perbanyakkan lagi istighfar, tasbih, tahmid dan tahlil. Pilihlah masa untuk melaksanakannya, dan perbanyakkan selawat ke atas Nabi. Bukankah kita semua tahu, jika kita berselawat kepadanya sebanyak sekali, Rasulullah akan berselawat kepada kita sepuluh kali?

Aku terpegun sejenak mendengar kata-katanya itu… Kemudian dia menyambung lagi:

Begitu juga dengan sembahyang malam. Biarpun sedikit, kita perlu sentiasa menjadikannya amalan tetap kerana kekuatan jiwa dibina menerusi sembahyang malam.

Di samping itu kita juga mesti peka tentang keikhlasan hati. Jaga hati dari semua penyakit yang boleh merosakkannya. Dalam melaksanakan ibadat, amal dakwah atau sebarang kerja, hendaklah kita sentiasa mengingatkan hati tentang tujuan asal amal dilaksana. Hati kita perlu sentiasa dididik, dan disuburi dengan zikrullah dan istighfar..

Kata-kata nasihat dari orang tua itu amat memberi kesan pada hatiku. Ketika itu aku insaf dan merasa amat rendah diri, seolah-olah tidak layak aku di situ. Aku hanya mampu tunduk sedih meneliti kelemahan diri. Kemudian Sheikh menyambung lagi:

2. Minda

Walau di mana kita berada kita mesti mempunyai minda kelas pertama. Tanggung-jawab kita besar. Cita-cita kita tinggi. Kita bukan hanya manusia biasa yang menghabiskan siang dan malam semata-mata untuk memenuhi keperluan kehidupan. Kita manusia berwawasan. Suasana dan keadaan semasa tidak harus mengongkong pemikiran dan impian kerana sebagaimana dunia boleh berubah, realiti kehidupan juga sentiasa berubah. Jadi kita harus berfikiran positif.

Rasulullah telah menunjuk contoh yang jelas. Mari kita menyorot sejarah ketika peperangan khandaq. Bayangkan keadaan para sahabat yang menggali parit dalam kelaparan. Bayangkan di malamnya mereka kesejukan.

Namun apabila Rasulullah memecahkan batu di parit itu, Baginda membayangkan kemenangan ke atas Rom dan Farsi. Suatu yang mustahil jika dinilai mengikut pemikiran biasa. Baginda telah membayangkan wawasan yang bakal dicapai dan para sahabat mempercayai Baginda.

Imam Al-Banna juga telah memberikan contoh yang baik. Ketika beliau hidup di bumi Mesir yang jauh ketinggalan dari segi pembangunan serta mundur dari pelbagai segi, Al-Banna berfikir seolah-olah dia di Paris. Dia bercakap tentang kesatuan ummah seluruh dunia, mengembalikan semula khilafah. Dia bercakap tentang ilmu, kefahaman dan usaha yang menyeluruh bagi mencapai suatu yang ternyata jauh dari jangkauan. Dia tetap positif. Dia yakin dengan contoh yang ditunjuk oleh Rasul. Dia yakin dengan pertolongan Allah.

Setelah itu Sheikh membetulkan tempat duduknya dan merenung tepat ke mata kami seraya berkata:

3. Qudwah

Wahai sahabat yang aku kasihi, manusia belajar lebih cepat dari qudwah. Sejarah telah menunjukkan kehebatan insan terpilih yang menunjukkan qudwah yang unggul. Para sahabat mencontohi amalan Rasulullah kerana baginda telah menunjukkan qudwah yang benar, sehala dengan percakapan dan tunjuk-ajar. Begitu juga dengan generasi sahabat dan pejuang Islam seterusnya. Qudwah yang baik akan memberi kesan kepada pengikut dan sahabat, mereka pula menjadi cermin kepada kita semua.

Fikiranku melayang sebentar, menyorot sejarah hidup. Ya, aku juga banyak terpengaruh dengan qudwah manusia yang kutemui di sepanjang kehidupan…

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia).Ya Tuhan kami, sesunguhnya Engkau mengumpulkan manusia (untuk menerima balasan) pada hari yang tiada keraguan padanya. Sesunguhnya Engkau telah menjanjikan itu. Sesungguhnya Allah tidak pernah menyalahi janji.” (Surah Ali Imran [3] : 8-9)

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Buatmu Sahabat and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

One Response to Nasihat Seorang Sheikh

  1. TOK WAE says:

    I like this posting!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s