Pesanan Tok Kadi

Majlis Pernikahan di Taman Senai Utama

Sudah banyak kali aku menghadiri majlis pernikahan, tetapi nasihat yang disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad, Naib Kadi Kulai Jaya Sabtu lalu membuat aku termenung seketika. Selepas dia menyampaikan khutbah nikah dengan kandungan biasa iaitu membacakan beberapa ayat al-Qur’an dan hadits tentang nikah dan perkahwinan, dia berkata dengan nada perlahan, “Ada sepasang pengantin yang telah saya nikahkan. Mereka telah berkenalan beberapa tahun, kemudian bertunang 3 tahun dengan wang hantaran RM 15,000 dan dinikahkan dengan mas kahwin RM 3,000. Agak-agak berapa lama perkahwinan itu dapat bertahan?” Kami semua diam sahaja tidak menjawab. Kemudian dia berkata  “Satu minggu. Malah ada pasangan lain yang bertahan hanya 8 hari, lebih sehari. Semuanya disebabkan kurangnya sabar dan tolak ansur. Maklumlah, masing-masing bergaji besar dan bila bergaduh, masing-masing ada ego tersendiri… JAdi bercerai. “

Kemudian dia bercerita lagi, “ada juga pasangan yang berselisih faham, dan berbaik semula, kemudian bergaduh lagi dan bermaafan semula. Berulang-ulang, tapi lama-kelamaan semakin bertolak ansur. Jadi alhamdulillah, perkahwinan mereka kekal”.

Kemudian dia berkata, “kita perlu ingat bahawa perkahwinan itu bukan semata-mata untuk bersuka-suka, atau memenuhi nafsu, tetapi ia lebih dari itu. Perkahwinan adalah bagi mengembangkan zuriat dan menyambung keturunan. Ia sebahagian dari sunnah Rasulullah. Sebab itu kita kena banyak bersabar dalam menempuh hidup berkeluarga.” Benar, nikah kahwin itu adalah sunnah Rasul yang agung. Ia sebahagian dari ibadat.

Tuan Haji Ahmad menyampaikan khutbah nikah di Taman Senai Utama

Ketika itu aku termenung sejenak, teringat kisah lama. Nostalgia 29 tahun yang lalu di Pergunungan Rocky di Amerika Syarikat. Membina keluarga tanpa persediaan. pengalaman demi pengalaman telah dilalui, merentasi liku-liku kehidupan berkeluarga – sukar dan senang. Pelbagai cabaran ditempuhi dan banyak perkara dipelajari menerusi  pengalaman dan kesilapan. Namun, alhamdulillah,aku amat bersyukur kerana bantuan Allah s.w.t. sentiasa ada di saat kami amat memerlukan. Sungguh banyak nikmat yang telah diberi oleh Tuhan yang Maha Penyayang kepada kami di sepanjang kehidupan yang penuh dengan kelemahan ini.

Hutang Pengantin

Baru-baru ini seorang sahabat bercerita di dalam milis. “Ada seorang pasangan suami isteri yang telah berkahwin 7 tahun, kemudian bercerai. Hutang perkahwinan masih belum selesai”.

Benar, peningkatan kos perkahwinan kini semakin membebankan. Jika dipadankan pendapatan seorang eksekutif muda lepasan universiti dengan kos kehidupan yang merangkumi sewa rumah, hutang kenderaan, kos perjalanan ke tempat kerja dan lain-lain, kita akan dapati bahawa jumlah yang tingggal untuk dijadikan simpanan tidaklah begitu banyak. Jika seorang itu kuat berbelanja, atau tidak pandai mengurus kewangan, pendapatannya menjadi tidak mencukupi. Sebab itu ramai yang terperangkap dengan hutang kad kredit, sama ada versi “halal” atau tidak halal. Malah ada yang terjebak berhutang kepada “Along” yang akhirnya membawa kepada kesempitan hidup.

Bayangkan pula pendapatan seorang pembantu tadbir di pejabat atau operator pengeluaran di kilang. Mereka sudah pasti terpaksa menempuh kesukaran yang lebih untuk menabung bagi menampung kos perkahwinan yang tinggi. 

Jika wang hantaran ditetapkan RM 10,000, kenduri juga memerlukan RM10,000 (RM 10 x 1000 orang) dan hadiah serta persiapan lain termasuk cincin RM 10,000, maka RM 30,000 diperlukan. Itu belum lagi mengambil-kira kos lain seperti pengangkutan ke rumah pasangan, dan macam-macam lagi. Inipun kira anggaran yang sederhana. Ada yang jauh lebih tinggi. Anggaran kos sebenar mungkin di antara RM30-60K, bergantung kepada apa yang telah dipersetujui dan amalan keluarga masing-masing. Jadi di manakah bajet perkahwinan ini perlu didapat. Jika menabung RM500 sebulan, untuk mengumpul RM 30,000 tempoh 6 tahun diperlukan. Ia memerlukan disiplin yang tinggi, dan anak itu hanya dapat melangsungkan perkahwinan ketika berumur 30 tahun. Namun, jika trend ini berterusan, 6 tahun dari sekarang, kos akan melebihi RM 50,000. Maka keluarga perlu menghulur bantuan…

Walaupun, kenduri masyarakat Melayu masih rendah berbanding kos di banyak negara lain, ia telah mula menimbulkan masalah. Ramai pasangan yang terpaksa berhutang. Pihak bank pula bersedia dengan pelbagai pakej personal loan, sama ada yang halal ataupun yang tidak. Bagi kakitangan kerajaan, syarat yang amat mudah dikenakan. Akibatnya, pengantin muda itu memulakan kehidupan dengan hutang yang banyak. Hutang PTPTN dan kereta masih belum habis dibayar, kini ditambah hutang perkahwinan. Akibatnya, kehidupan mereka mungkin tertekan dan jika mereka tidak pandai mengurus perbelanjaan seterusnya, ia mungkin mencetuskan perselisihan dan perbalahan. Dan apabila semua yang manis menjadi semakin tawar, rasa pahit mula timbul. Pasangan yang sebelum itu khayal dialun irama cinta, kini menempuh kepahitan realiti membina rumah tangga, yang memerlukan perubahan, toleransi dan kesabaran.

Kahwin Lambat

Tidak hairan jika kita dapati umur purata pasangan berkahwin di banyak negara semakin meningkat. Kesannya pelbagai… Aku teringat apa yang ditulis oleh HAMKA mengenai amalan Imam Syafi’e. Ketika anak lelaki telah melebihi usia remaja dan nafsunya sudah mula dikesan, dia mencarikan jodoh untuk anak itu. HAMKA bercerita, begitulah juga dalam keluarga mereka, jika anak itu mempunyai pendapatan maka mereka dibiar berdikari,. Jika tidak tidak maka dia dibantu oleh ayah dan bapa saudaranya.

Pelbagai sistem telah diolah dalam masyarakat bagi membolehkan perkahwinan dilakukan. Contohnya, oleh kerana wang hantaran kini terlalu tinggi, ada amalan dalam masyarakat Iran yang membenarkan wang hantaran dibayar secara ansuran dalam tempoh beberapa tahun selepas perkahwinan. Bila ditanya, “Apa jadi kalau pihak lelaki menceraikan isteri dan dia masih berhutang? “Sambil tersenyum dia menjawab, “peguam pihak perempuan akan menguruskan saman untuk mereka. Hutang akan dikutip” Mmm… macam-macam gaya.

Jalan Keluar

Setiap masalah ada jalan keluar. Jalan yang paling mudah semestinya memerlukan pengorbanan. Mungkin perlu melakukan perkara yang terkeluar dari kebiasaan masyarakat setempat. Kurangkan kos. Laksanakan perkahwinan beramai-ramai. Majlis dilaksanakan secara bersama antara pihak lelaki dan perempuan. Laksanakan majlis minum petang dan bukannya makan tengahari. Pelbagai pilihan boleh dicuba. Apa yang perlu ialah sekelompok dari masyarakat yang melaksanakannya sehingga ia menjadi suatu yang diterima. Inilah salah satu transformasi yang perlu berlaku dalam masyarakat hari ini.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s