Mensyukuri Nikmat bersama Ikram Prihatin

Nikmat Allah yang banyak

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. An-Nahl: 18)

Ayat di atas selalu dibaca tapi mungkin kurang dihayati. Antara lain, ianya disebabkan kita kurang mengamati dunia sekeliling. Nikmat tempat tinggal dirasakan perkara biasa kerana rakan-rakan yang kita kenal semuanya ada rumah, malah ada yang mewah rumahnya. Nikmat kenderaan juga tidak dirasai kerana rata-rata kenalan kita semuanya mempunyai kenderaan. Begitu juga nikmat-nikmat yang lain. Semuanya diambil mudah – “taken for granted” –  walaupun sebenarnya, di segenap aspek kehidupan kita terlalu banyak nikmat yang diberi oleh Allah s.w.t. yang patut disyukuri.

Sedar atau tidak kita telah dianugerahkan banyak pemberian seperti udara yang nyaman, air yang mencukupi, cuaca yang baik, rezeki untuk kehidupan, anak-anak yang menenangkan ibu-bapa,  kesihatan tubuh badan serta akal untuk berfikir mencari ikhtiar bagi menambahbaik kehidupan. Pada masa yang sama kita juga telah diberi nikmat dalam bentuk perlindungan dari bencana seperti gempa bumi, gunung berapi, taufan, peperangan, wabak penyakit  serta banyak lagi mala petaka yang menimpa di tempat lain. Oleh kerana ianya tidak difikirkan secara serius, semua dianggap perkara biasa.

Bergambar bersama peserta lelaki sebelum bertolak. 100 bungkusan disediakan untuk diedarkan.

 Ikram Prihatin – Ramadan 2012

Hari ini aku dan isteri bersama Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Daerah Pontian menghulurkan sedikit sumbangan hasil kutipan dari kalangan ahli Ikram Daerah Pontian untuk masyarakat Pontian. Alhamdulillah, dengan sumbangan wang lebih dari RM 13,000 kami dapat menyediakan 100 bungkusan makanan dan sedikit wang untuk dihulur kepada keluarga yang telah dikenal-pasti di sekitar daerah Pontian. Setiap kali, program seperti ini dilakukan, hati ini akan merasa amat tersentuh dan bersyukur. Subhanallah, Maha Suci Allah yang Maha pemurah dan Pengasihani, di celah-selah masyarakat yang semakin maju dan tenggelam dengan arus pembangunan, kita akan dapati kelompok manusia yang kurang bernasib baik dan amat memerlukan pembelaan.

Ustaz Suhaimi Jeiri, YDP Ikram Pontian menyampaikan tazkirah pendek

Program hari ini dimulakan dengan taklimat oleh Cikgu Amran dan tazkirah ringkas oleh Ustaz Suhaimi, Yang Dipertua Ikram Pontian. Selepas itu kami berpecah mengikut kumpulan masing-masing. Ada yang ke kawasan Bandar, ada di kampung, dekat dan jauh dan kami pula ke kampung yang tidak jauh dari Bandar Pontian kecil. Mereka yang kami lawati mempunyai berbagai-bagai latar belakang – pasangan warga emas yang terlantar sakit kronik yang hanya terbaring di atas katil, ibu-ibu tunggal yang mengharung cabaran membesarkan anak-anak, ibu-ibu tua yang tinggal bersendirian serta keluarga yang hidup dengan mengambil upah apa-apa kerja sambil menanggung keluarga yang besar. Ada yang bekerja membuang label dari botol plastik. bagi setiap kg botol yang dibersihkan mereka dibayar 20 sen. Setiap hari antara 10-20 kg dibersihkan dan pendapatan mere ialah antara RM 2- RM4 sehari untuk tugas itu. Oleh yang demikian sumber pendapatan lain perlu dicari bagi menampung kehidupan. Ada yang menyewa rumah, ada yang mempunyai rumah pusaka, ada yang menumpang di tanah orang lain. Ada yang mempunyai sedikit pendapatan dan ada yang tidak.

botol yang telah dibersih menunggu untuk dikutip oleh pembekal

Di sana banyak perkara dapat dipelajari. Bagaimana perasaan anda kepada situasi ini – seorang suami berusia 80an telantar (bed-ridden) diserang angin ahmar dan isterinya pula yang berusia 70an mempunyai beberapa penyakit kronik dan amat lemah serta terhad pergerakannya disebabkan sakit jantung. Mereka tinggal bersama anak bujang lelaki yang berpendapatan rendah. Atas sebab-sebab tertentu mereka diminta keluar oleh tuan rumah dari rumah kecil yang disewa itu. Melihat suasana di situ, hatiku bertanya – di manakah nilai kemanusiaan?

Apa yang dimahukan oleh orang tua di penghujung hayat

Aku juga mempunyai seorang ibu tua yang amat kusayangi. Setiap peluang yang ada akan kugunakan untuk singgah menatapi wajahnya. Cukuplah barang sebentar untuk menghilangkan kerinduan, walaupun hanya singgah untuk minum seteguk air dan duduk bersebelahan bertanyakan khabar. Dia tetap mahu tinggal di kampung kerana hatinya terhibur dengan suasana itu, melihat pokok-pokok dan ayam-ayam yang berkeliaran di halaman. Kalau dahulu ibuku memang banyak memelihara ayam dan itik. Wang hasil jualan telur serta ayam-itik itulah juga yang menampung sebahagian dari perbelanjaan kami bersekolah, di samping hasil tangkapan ikan sungai kerana bapaku yang mengambil upah menoreh  di ladang getah memang berpendapatan rendah.

Bila ditanya kepada seorang ibu tua yang ditemui hari ini, “makcik selesa duduk sendiri, senang nak beribadat bila-bila masa, bebas.”  Aku merasa amat senang sekali melihat wajah jernih ibu itu. Seorang lagi ibu tua yang juga tinggal bersendirian tidak banyak bercakap. Di bulan Ramadan ini dia berjalan kaki lebih kurang 4 km ke masjid untuk bersembahyang tarawih. Jadi apa yang sebenarnya dimahukan oleh orang tua di hujung kehidupannya? Jawapan yang tepat akan anda ketahui bila anda melaluinya. Namun pada pengamatanku, sebagaimana kanak-kanak, warga emas juga mempunyai tahap tolerant yang lebih rendah. Mereka memerlukan ruang sendiri, kebebasan untuk melakukan apa saja tanpa rasa terhalang. Mereka telah melalui fasa kehidupan di mana merekalah yang membuat keputusan, dan mereka tidak mahu hak itu diambil oleh anak-anak. Sebab itu, walaupun anaknya prihatin dan pengasih, ibu atau bapa mungkin masih tetap ingin tinggal sendiri.Kita mungkin merasakan kita telah menyediakan yang terbaik untuk mereka dengan membawa mereka tinggal bersaama, namun itu tidak semestinya apa yang dimahukan mereka. Itu sebenarnya lebih kepada penyelesaian untuk diri kita sendiri, “for our own convenience”.

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah, jika kita mempunyai peluang, belilah (atau bangunkan) 2 rumah bersebelahan atau berdekatan. Satu disediakan untuk ibu-bapa untuk menghabiskan usia dan satu lagi untuk kita sendiri supaya pula mudah berbakti kepada mereka. Mereka masih mempunyai ruang dan kebebasan sendiri, dan kita pula mudah dapat berbakti kepada mereka.

Orang tua sering dieksploitasi

Kami berhenti lama di sebuah rumah mendengar cerita seorang Pak Cik yang peramah. Dia tinggal menumpang di tanah orang dan mengambil upah menoreh getah dari seorang penduduk tempatan dengan berkongsi hasil. Dia berkata, “Alhamdulillah, Ramadan ni banyak sikit hasil. Kalau sebelum ini, kadang-kadang kita menoreh pagi, petang nanti ada orang tolong kutip (getah ketul dicuri). Jadi tak dapat hasil”. Dia tinggal berdua dengan isteri. Kedua-duanya berusia di sekitar 70 an. Dia bercerita lagi, “kadang-kadang datang orang jual barang yang memujuk saya untuk membeli. Dia akan pujuk, dan duduk rumah ni sampai petang dan hanya keluar selepas barang dibeli”. Sampuk isterinya, “dia kata kalau tak ada duit, bagi buku bank, kita boleh tolong bawa untuk keluarkan”.

Kemudian Pak cik itu bercerita lagi:

Satu hari ada dua orang budak muda datang, dia kata “wak kenal aku tak?”. Pak cik pun menjawab “tak kenal aku kau ini. Anak siapa?”.  Anak muda itupun mengatakan dia cucu sipolan yang tinggal tak jauh dari situ, seorang yang memang dikenali oleh pak cik itu. Anak muda kemudian memberitahu bahawa ada kenduri di rumah Pak Yusuf, tak jauh dari situ dan dia minta supaya wak suami isteri cepat datang. Orang tua yang “lurus’ itu terus bersiap dan pergi. Rupa-rupanya tiada kenduri, dan bila dia pulang, rumahnya telah digeledah untuk dicuri barang berharga.

Kemudian dia bercerita lagi, “pernah pak cik sedar-sedar ada parang di leher. Jadi kita biarkan sajalah diambil apa yang dia nak…”

Ini pengalaman sepasang warga emas. Mungkin banyak pengalaman seumpama ini. Mereka agak “vulnerable” kerana telah kurang bertenaga. Apakah penyelesaian yang sesuai untuk mereka. Wahai anak-anak, mari kita fikir bersama…

 

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a comment