Arus Pembangunan

RAPID – Projek besar mengubah wajah Pengerang

Semasa saya menaiki kapal terbang sebentar tadi, saya membaca satu tulisan menarik di akhbar Berita Harian. Ianya sebuah rencana yang ditulis oleh Abd Razak Husin, dari UKM. Penulis membawa cerita tentang apa yang sedang berlaku di Pengerang, mengenai projek kompleks Petrokimia yang lebih dikenali sebagai RAPID. Projek ini telah menarik perhatian ramai, ada yang menerima dengan baik, ada yang telah melakukan protes atas beberapa sebab – alam sekitar, pengambilan tanah, pampasan, perubahan cara hidup dan sumber pencarian dan sebagainya. Beberapa “orang besar” telah mengeluarkan teguran supaya projek itu tidak dihalang. Benar, jika projek itu siap dilaksanakan, Pengerang akan berubah, jauh berbeza dari apa yang dilihat tahun lalu dan sebelumnya.

Penulis memulakan artikelnya, “Pada saat menulis rencana ini, projek tambakan laut di perairan Tanjung Kapal, Pengerang, Johor rancak dilaksanakan. Penggunaan teknologi mempercepatkan proses pembuatannya apatah lagi dilakukan 24 jam, lebih cepat dari yang penulis bayangkan…“. Kemudian dia berkata tentang kesan kepada perairan itu, kehidupan para nelayan terutama bila rumah-rumah ikan di batu karang telah mula ditimbusi pasir. Begitu juga dengan kesan sosial, yang telah mula menjalar dan menelusuri masyarakat. Bagaimana adik-beradik pulang dari jauh berunding mengenai pampasan, siapa yang patut dapat lebih banyak dan sebagainya. Saya tertarik dengan apa yang dikatakan beliau “…Seandainya kita sudah menjadi ahli perniagaan berjaya dan kaya, atau pemimpin jabatan yang tinggi kedudukan dan tegap kewangan, anggaplah pengorbanan adik-beradik di desa yang selama ini menjaga ibu-bapa dan harta pusaka bagi pihak kita yang amat sibuk di kota, begitu besar ertinya.” Dia menyarankan supaya sikap tolak ansur perlu dipraktik dan jangan sekali ditipu nafsu dan tamak haloba.

Ini bukan perkara pelik. Malah ia telah berlaku banyak kali. Dalam perjalanan hidup ini saya juga telah mendengar dan melihat, bagaimana hasil pampasan tanah menjadi rebutan sehingga ibu tua hanya mampu menitiskan air mata melihat gelagat anak-anak yang seolah-olah telah hilang pertimbangan. Di mana perginya persaudaraan?

Itu jika di lihat dari satu perspektif.

Artist Impression – Terminal Pengerang (Ini baru Terminal Storan, belum lagi loji-loji yang bakal dibina) – gambar dijumpa di internet

Halatuju Pembangunan

Dari perspektif lain pula, kita perlu sedar bahawa projek RAPID adalah suatu yang amat besar, dan kesannya juga amat hebat. Tidak hairanlah banyak kampung perlu dipindahkan, laut dan paya ditambak. Ianya akan menjadikan bahagian Johor Tenggara seolah-olah dunia baru. Bayangkan kampung nelayan menjadi pusat industri yang sentiasa terang dimalam hari, dinyalai lampu-lampu dari loji dan api yang menyala dari serombong-serombong yang ada kalanya biru dan kecil dan ada kalanya merah menyala membesar dan mengecil mengawal tekanan di dalam peralatan di loji-loji terbabit. Ada kalanya asap hitam keluar mencemar alam, ada kalanya asap putih (wap air) bergerak ke udara seperti awan berkepul-kepul. Ada kalanya pula, asap hitam dicampur stim supaya kelihatan tidak terlalu hitam, sebagai permainan silap mata pekerja loji.

Bergantung kepada sejauh mana projek ini akan berkembang, Pengerang mungkin menjadi kawasan industri yang lebih luas dari Kerteh dan Gebeng. Kesannya juga akan dirasai oleh kawasan industri berdekatan iaitu Tanjung Langsat. Jadi bila ianya digabung bersama, Tenggara Johor akan berubah wajah. Jika hari ini jambatan baru Sungai Johor di Kongkong itu lengang, jangan terkejut jika ia sesak suatu masa nanti. Tidak tahu ke mana Kerapu akan lari bila rumah karang mereka telah ditimbus. Adakah Siakap akan lari ke Kota Tinggi bila kapal terlalu banyak di kuala. Inilah harga pembangunan perindustrian.

Namun ia akan membawa pertumbuhan ekonomi yang juga hebat kepada kawasan terbabit. Dengan adanya pelaburan besar, banyak peluang akan datang – perumahan, perkhidmatan, pendidikan dan sebagainya. Kampung akan bertukar menjadi bandar. Pohon-pohon kelapa dan padang ragut lembu kampung akan bertukar menjadi taman perumahan – Pengerang Jaya, Pengerang Perdana, Sri Pengerang dan sebagainya. Malah kesannya akan melimpah lebih jauh lagi, bukan saja setakat Teluk Ramunia, malah ke  Bandar Penawar. Jika dilihat dari perspektif peluang pelaburan dan aktiviti ekonomi, ianya memang agak memberangsangkan.

Alam Sekitar dan Kesedaran Sosial

Projek-projek mega seperti ini boleh dilihat dari pelbagai segi. Pada pengamatan saya, minda dan tamadun masyarakat Malaysia tidak membangun seiring dengan pembangunan negara. Benar, tahap pendidikan meningkat pesat, namun pemikiran kita sering sedikit terkebelakang. Kita ingin menjadi dunia pertama sedangkan minda masih di tahap dunia ketiga. Walaupun telah berlaku banyak perubahan tetapi ianya masih perlahan. Sikap mementingkan diri sendiri dan kurang kesedaran kelestarian alam masih lagi menjadi ciri biasa dalam masyarakat. Biarlah apa akan jadi asalkan aku hidup senang.

Keselamatan Industri

Secara umum, masyarakat Malaysia tidak tahu bahawa telah banyak berlaku kemalangan industri di negara ini. Kita hanya mendengar sedikit berita bila ada nyawa terkorban. Banyak yang tidak dilaporkan. Letupan yang besar mungkin tidak diketahui, atau jika disiarkan, hanya beberapa baris di sudut halaman akhbar. Untuk mendapat perhatian perlu ada kematian dan kecederaan.

Undang-undang keselamatan pekerjaan hanya timbul pada 1994,  digubal selepas berlakunya kebakaran di loji mercun Bright Sparklers di Sungai Buluh yang mengorbankan nyawa yang bukan sedikit pada tahun 1992. Sehingga kini, banyak peraturan-peraturan yang telah diluluskan di bawah ruang lingkup undang-undang itu, tetapi masih tidak dipatuhi oleh banyak syarikat atas pelbagai alasan.

Bagi syarikat besar yang mempunyai perniagaan di peringkat antarabangsa seperti Petronas, isu ini boleh dikatakan diurus dengan baik.  Pelbagai inisiatif dibuat merangkumi pelbagai aspek termasuk wujudnya  Occuptional Health Doctor (OHD),  industrial hygiene, process safety disamping occupational safety yang diamalkan banyak syarikat lain.

Namun, saya merasa amat risau mengenai sikap kita terhadap “accident investigation”. Seringkali bila berlaku kebakaran atau letupan, semua syarikat, kecil atau besar selalunya ingin cepat-cepat menutup kes supaya operasi boleh diteruskan. Kadang-kadang tekanan dirasai oleh mereka yang menjalankan penyiasatan. Para saksi tidak memberi kerjasama yang baik, mungkin setelah menerima arahan pihak pengurusan, mungkin juga ingin melindungi seseorang, takut diambil tindakan. Akibatnya, kemalangan terus menjadi misteri yang tidak diselesaikan walaupun ianya boleh dilakukan.

Jika kita mahu maju, kita perlu berhadapan dengan kebenaran. Kita perlu mencari “root cause” kepada kemalangan dan belajar dari kesilapan itu, dan bukannya menyembunyikan fakta kerana takut ada yang akan dihukum atau menerima kurang pampasan dari pihak insuran.Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang pengurus berkenaan data kemalangan untuk kami gunakan dalam penyelidikan. Jawabnya mudah saja, “kami tak dapat beri maklumat atas sebab-sebab berkaitan insuran”.

Kerenah Insuran

Mungkin juga undang-undang mengenai perlindungan insuran perlu dinilai-semula, kerana secara sedar atau tidak, ianya menyumbang kepada isu ini. Kita sering mendengar cerita bagaimana rumitnya proses tuntutan insuran walaupun bagi kes mudah seperti kemalangan kenderaan. Begitu sukar di sini, tapi begitu mudah di dunia pertama.

Pada tahun 1985 saya terlibat dalam kemalangan kecil. Pihak yang lain didapati bersalah kerana ada saksi menjelaskannya kepada polis yang kebetulan lalu di situ sejurus selepas kemalangan. Petang itu juga saya menerima panggilan telefon dari syarikat insuran mengenainya dan meminta saya menghantar anggaran kos baik pulih dari 2 bengkel. Dua minggu kemudian saya menerima cek berdasarkan kos yang dihantar. Amat mudah. Di sini??? urrrrgh… ada laporan, ada panggilan telefon, ada adjuster datang tengok etc. Entah apa yang perlu adjust?  Dapat bayaran entah bila???

Permohonan Geran Penyelidikan

Sebenarnya saya duduk di KLIA semasa menulis entri ini, menunggu masa untuk membentang permohonan projek penyelidikan kepada penilai yang dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Sejak 6 bulan yang lalu, telah terlalu banyak masa dihabiskan untuk kerja-kerja seperti ini. Bila menempuh kegagalan demi kegagalan, kadang-kadang terasa macam nak lupakan saja usaha penyelidikan dan mengalih fokus kepada latihan dan perundingan yang  memberi pulangan peribadi. Inilah dilema ahli akademik. Kita perlu melakukan penyelidikan bagi menjana ilmu. Namun usaha yang lebih banyak perlu dilakukan ialah mencari dana untuk melakukannya.Ada orang kata, “getting funding is 50 % of the research“. Entah-entah 75 %.

Aaah… it is time to meet my Lord. Zuhr is coming and I’ve got to stop here.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Opinion and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s