Alhamdulillah Selamat

Kereta putih menghalang laluan lebuhraya

Kemalangan Malam

Tiba-tiba SUV BMW di hadapan kami menekan brek secara mengejut dan aku pun turut sama sambil menjeling ke cermin melihat kereta di belakang. Alhamdulillah, kami semua berjaya mengawal kenderaan masing-masing. “Careful ! Accident !”, kata isteriku di sebelah. Beberapa saat kemudian kelihatan sebuah kereta putih yang remuk terdampar tengah-tengah lebuh raya. Tayar hadapannya telah tanggal dan tercampak entah ke mana. Kereta itu telah terpusing dan menghala ke Selatan. Kelihatan juga manusia merangkak di tepi lebuhraya itu. Kami terus memberhentikan kenderaan lebih kurang 100 m di hadapan dan aku dan Amin bergegas ke tempat kejadian. Isteri disuruh tinggal di kereta.

Di sana, kelihatan seorang pemuda sedang mengawal lalu lintas dan memberi amaran kepada kenderaan lain dengan lampu picit kecil yang malap. Aku terus menyuruh Amin pergi ke kereta kami untuk mengambil lampu picit dan seterusnya membantu pemuda tersebut.Kedengaran juga suara kanak-kanak lelaki yang mengerang kesakitan dan kelihatan beberapa orang mangsa kemalangan yang terdiri dari wanita dan kanak-kanak sedang duduk di atas rumput dan dipujuk oleh seorang wanita.

Seorang lelaki (mungkin ketua keluarga) kelihatan menuju ke keretanya yang remuk itu. Aku terus mengekorinya. Subhanallah, ada seorang wanita di kerusi hadapan kereta itu. Lelaki itu meminta aku menolong mengeluarkan wanita tersebut. Oleh kerana kedua-dua pintu hadapan tidak boleh dibuka, dia mencadangkan supaya aku menarik keluar wanita itu menerusi tingkap yang telah pecah. Namun aku merasakan tindakan itu agak sukar dan merbahaya kerana kedudukan kereta yang telah terpusing. Aku terus memujuk wanita itu memanjat kerusi dan keluar mengikuti pintu belakang. Dia yang telah kaku kerana terperanjat hanya mendiamkan diri tetapi setelah beberapa kali disuruh, diapun mematuhi arahan kami dan alhamdulillah selamat keluar dari kenderaan. Semuanya berlaku dalam beberapa saat. Semuanya cepat.

Kemudian kami menelefon PLUS RONDA membuat aduan kemalangan itu. Ketika itu banyak lagi kereta lain yang berhenti. Setelah mereka berbincang dengan mangsa kemalangan, mereka bersetuju untuk ke hospital Muar dengan dibawa oleh seorang Pak Cik. Sekali imbas, mereka disangka hanya mengalami sedikit kecederaan kecil. Beberapa orang yang lain menawarkan kenderaan masing-masing, tetapi MPV Pak Cik itu cukup membawa mereka semuanya. Subhanallah, dalam dunia ini, ramai manusia yang berhati mulia.

Aku mengucapkan selamat jalan kepada mereka.  Kenderaan yang lain juga meneruskan perjalanan masing-masing. Aku terus di situ menemani Amin dan Shafie mengawal trafik sehingga PLUS RONDA tiba. Shafie ialah pemuda Johor Bahru yang ketika itu dalam perjalanan untuk bertugas di Kuala Lumpur keesokan harinya. Dia adalah antara yang mula-mula berhenti dan  amat bersungguh-sungguh mengawal trafik bagi mengelakkan kenderaan lain merempuh kereta malang itu. Kadang-kadang dia menjerit kepada penunggang motosikal yang laju, menyuruh mereka perlahan. Di sepanjang tempoh lebih kurang 20-30 minit itu, ada beberapa buah kenderaan yang terpaksa berhenti mengejut dan ada yang terpaksa mengelak dari terlanggar kereta malang itu. Suasana di km 129.8 ketika itu  amat gelap dan memang menyukarkan pemandu.

Refleksi

Dalam perjalanan ke Melaka dari tempat kejadian itu, kami membuat refleksi. Aku menceritakan pengalamanku bagaimana mengawal minda dan bertindak di suasana panik. Amin juga excited dengan pengalamannya. Isteri pula mengeluarkan pelbagai teori, tentang apa yang sepatutnya dibuat ketika itu. Dia juga mencadangkan supaya IKRAM menganjurkan program kesedaran keselamatan dan kaedah bagaimana membantu orang ketika kecemasan. Mmm.. mungkin melibatkan Bomba atau JPAM?

Ibu berpesan pada anaknya, “lain kali kalau nak tolong orang pun, pastikan keselamatan diri dijaga. ” Setelah berhujah panjang menasihati anaknya, dia berkata lagi, “sebab itu kita mesti sentiasa baca doa naik kenderaan, doa safar…”. Aku tersenyum mendengar saranan itu. Alhamdulillah, do’a yang aku pelajari di Colorado pada tahun 1982 sentiasa segar dalam ingatan dan kerana selalu dibaca ketika bermusafir. Besar pahalamu wahai sahabatku (sahabat yang mengajarkan doa-doa itu kepada ku berasal dari Libya).

Kami bersyukur kerana tiada kenderaan lain yang merempuh kereta malang itu. Kami juga amat bersyukur kerana walaupun kereta itu remuk, penumpang kelihatan cedera ringan (mudah-mudahan begitu, kerana kita tidak tahu kecederaan sebenar). Kami juga bersyukur kerana ada pemuda bernama Shafie yang cepat bertindak mengawal trafik.

Namun perkara yang paling menggembirakan aku pada malam itu ialah ketika melihat seorang bayi comel yang selamat dan tidak cedera walaupun sedikit. Dia kelihatan sungguh comel sekali dan hatiku merasa amat terhibur menatap wajahnya. Subhanallah, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Penjaga.

Bila sampai di MITC untuk singgah makan malam sebelum ke kampung, aku berkata di dalam hati, “mmm, bertambah satu lagi warna dari warna-warna kehidupan”.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Alhamdulillah Selamat

  1. Abdullah says:

    pengalaman yang menarik ni pakcik! Allah yubaarik fiikum!

  2. Anonymous says:

    Semoga Allah memberi pahala yang besar diatas pertolongan tuan itu. Dan Allah Azza Wajalla akan selalu menolong seorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s