Aku Seekor Hamster

Aku seekor hamster

Jadual yang sibuk telah menjadi lumrah kehidupanku sejak saban tahun yang lalu. Ada kalanya aku ini tidak ubah seperti seekor hamster yang berlari di atas roda yang sentiasa berpusing, tetap berlari hingga kepenatan, namun tiada berpenghujung. Masalah demi masalah ditemui – sama ada masalah berkaitan di alam pekerjaan, anak-anak, sahabat ataupun kerja-kerja amal yang dilakukan. Banyak yang berjaya diselesaikan, ada dengan baik, ada pula tidak sebaik yang diharapkan. Ada juga yang tidak berjaya dirungkai. Itulah lumrah kehidupan. Itulah namanya kemampuan manusia yang terbatas.

Hamster yang terus berlari

Aku teringat sebuah buku yang pernah kubaca, tajuknya telah dilupai. Penulis berkata, “mengapa kita harus menjadi seperti seekor hamster sedangkan kita boleh berlari di atas treadmill mengikut jadual yang boleh disuaikan dengan segala kesibukan hidup?” Ya, benar kata penulis itu. Sebenarnya kita sepatutnya mampu menguasai diri. Kita sepatutnya boleh mengatur masa. Walaupun hanya ada 24 jam dalam sehari, dan ada orang yang mengharapkan tambahan sejam dua untuk menghabiskan kerja harian. Namun pada hakikatnya, kita yang mampu bekerja dalam masa yang diberikan jika kita tahu mengurus masa.

Semangat itu telah mula aku tanam dan sedikit sebanyak sudah mula menjadi kenyataan. Aku semakin bebas dalam mengurus kehidupan. Asalkan aku jelas tentang prioriti tugasan dan aktiviti, semua perkara boleh disusun dalam 24 jam yang ada. Jika 24 jam sememangnya tidak mencukupi untuk keperluan kehidupan, sudah tentu Tuhan Yang Maha Mengetahui akan memberi masa yang lebih panjang dalam sehari, mungkin 28 jam agaknya. Aku telah mengambil keputusan, aku tidak lagi mahu menjadi seperti seekor hamster kerana aku manusia..

Retreat Peribadi

Usia yang semakin meningkat juga bermakna stamina semakin berkurangan. Setiap diri memerlukan masa untuk bersendirian membuat refleksi diri supaya dapat memperbaiki kehidupan.  Pelbagai cara boleh dilakukan. Yang mampu dapat melaksanakan umrah atau bermusafir menziarahi tempat-tempat bersejarah. Ada yang memerlukan aktiviti lain dari kebiasaan hidup.

Back to Nature at Kiram Village Mesilou.

Minggu lalu, aku pergi berehat di kaki gunung Kinabalu, di sebuah tempat yang cantik bernama Kiram Village.  Kiram Village letaknya di Kg. Mesilou berhampiran Kundasang dan dimiliki oleh seorang dari senior starian. Dengan kadar sewa istimewa yang diberi (Terima kasih Jamalul), kami diberi sebuah “detached chalet yang amat menarik”. Aku dan isteri berehat di sana selama 2 hari.

Kiram Village dihiasi bunga-bunga indah

Chalet yang diberi ialah Cabbage yang mempunyai master bedroom di tingkat atas serta living room, bilik air dan dapur di tingkat bawah yang juga menempatkan satu katil bujang dan satu katil bujang double-decker.  Memang sesuai untuk berehat.

sebahagian lagi dari warna-warni indah

Kiram Village mempunyai kafeteria yang diusahakan oleh Irfan dan isterinya Fauziah. Pilihan makanan cukup untuk pelbagai selera dan masakannya juga memenuhi selera kami. Alhamdulillah, makanan yang dipesan dihantar ke chalet dan kami dapat menikati keselesaan makan dalam suasana privacy.

Buah Lamega (dikenali sebagai epal baldu di Kundasang)

Semasa singgah di pasar Kundasang, aku terjumpa sejenis buah yang sudah lama tidakditemui. Buah yang kami kenal sebagai Lamega semasa kecil dulu dipanggil epal baldu di Kundasang. Buah ini rasanya lemak manis dan cukup enak jika ianya masak di atas pokok dan bukan diperam. ianya membunyai bulu seperti baldu yang perlu dibuang.

Ziarah Pusat Latihan Dakwah Kundasang

Di waktu pagi kami bersiar-siar di kawasan berdekatan. Kami sempat singgah sebentar di Pusat latihan dakwah Kundasang, tidak jauh dari Kiram Village. Isteriku berbual panjang mengenai Islam di Sabah dengan seorang staf JAKIM dan seorang staf JAINS di hadapan pejabat. Oleh kerana kami hanya mahu singgah sebentar, kami tidak melawat pejabat dan fasiliti di situ.

Pusat Latihan Islam Kundasang

Merentasi Daerah Pedalaman

Dari Mesilou kami ke Ranau dan kemudian menuju ke Tambunan kerana aku ingin melihat sawah padi kerana ia akan mengingatkan kehidupan semasa kecil sewaktu kami bermandi lumpur setiap petang di musim menanam padi.

Sawah padi di Tambunan

Dari Tambunan kami terus ke Keningau dan berhenti Solat Zuhur dan Asar di masjid. Selepas solat aku sempat berbual dengan penduduk tempatan tentang keadaan jalan raya dan kehidupan di Sabah. Selepas itu kami terus pulang ke Kota Kinabalu dengan melalui jalan Keningau-Kimanis. Jalan ini cantik tetapi amat curam ketika perjalanan turun. Semasa perjalanan naik pula, suhu kereta  MyVi yang dipandu menjadi terlalu tinggi menyebabkan kami terpaksa berhenti sebentar. Dan selepas memeriksa enjin, aku membuat kesimpulan tiada kerosakan melainkan kekurangan freon pada sistem penghawa dingin yang menyebabkan penyejukan kurang baik di sistem itu. Ini seterusnya menyebabkan radiator penyejuk enjin juga menjadi lebih panas ketika mendaki jalan yang curam dengan menggunakan gear 1 dan 2. Dengan mematikan sistem penghawa dingin, kami meneruskan perjalanan dan sampai ke destinasi, alhamdulillah.

Sabah Oil & Gas Terminal - Masih dalam pembinaan

Sebelum ke Kota Kinabalu, aku singgah sebentar di Kimanis meninjau projek Sabah Oil & Gas Terminal yang bakal menyimpan minyak dan gas dari operasi lepas pantai Sabah termasuk FPSO Gemusut dan sebagainya. DAlam beberapa tahun yang lalu aku telah mengendalikan beberapa kursus untuk pasukan yang membuat rekabentuk dan bakal terlibat dengan operasi Gemusut dan Bunga Kertas.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s