Masjid Kg Hulu, Kg. Krubong dan Aku di tahun 70an

Masjid Kg Hulu hari ini

Dua hari sebelum hari raya Amin mengajakku membeli jubah hitam, dan kami terus ke Bandar Melaka dengan melalui jalan pantai bagi mengelakkan kesesakan. Dari Krubong kami membelok ke kanan di simpang Pulau Gadong dan kemudian ke kiri di Klebang Kecil menuju ke Banda Hilir. Tempat tujuan ialah kawasan berhampiran dengan Kg. Jawa yang terletak di tepi Sungai Melaka. Kami meninggalkan kereta berhampiran dengan jambatan pasar di Kg. Hulu dan berjalan kaki dari situ. Mmm, tepat sekali pilihanku kerana parkir mudah didapat dan jalan tidak sesak. Namun kedai yang dituju sudah berpindah kerana bangunan itu sedang diubah-suai untuk dijadikan hotel.

Ketika kami melalui masjid Kg. Hulu, nostalgia menyingkap ingatan. Aku berkata pada Amin, “Dulu masa abah balik dari Ipoh, kadang-kadang bas terakhir ke Krubong dah terlepas, dan ada kalanya abah tidur di masjid ini dan pulang ke kampung keesokannya.” mmm…. Memang benar. Ketika itu bas Tai Lye hanya masuk ke Kg. Krubong 4 kali sehari – 8 pagi, 12 tengahari, 3 petang dan 6 petang.  Kelewatan pada perkhidmatan keretapi tanah melayu (KTM) adalah perkara biasa ketika itu. (Tahun lalu aku menaiki keretapi sekali lagi dari Kulai ke Taiping dan kesimpulannya, perkhidmatannya sama saja seperti tahun 70an dan 80an, malah lebih menyusahkan kerana kesukaran mendapatkan makanan. Kantin yang ada tidak sebaik tahun 80an dan penjaja tidak berjual di semua stesen).

Dalam tempoh aku bersekolah di  Ipoh (1976-1980), kami diberi tikit keretapi percuma untuk pulang ke kampung, tapi dengan menggunakan perkhidmatan keretapi mel yang berhenti di setiap stesen. Jadi perjalanannya amat panjang. Setiap cuti penggal, aku akan menaiki keretapi mel malam Butterworth-Kuala Lumpur dari stesen Ipoh. Selalunya keretapi tiba di sekitar jam 11 malam dan akan sampai di Kuala Lumpur di antara jam 6-8 pagi, bergantung kepada masa bertolak dan keadaan perjalanan. Di stesen Kuala Lumpur, aku akan menaiki keretapi mel pagi Kuala Lumpur-Singapura yang selalunya bertolak di sekitar jam 10 -11 pagi, dan sampai di Stesen Tampin di waktu petang. Dari stesen ini (dalam negeri Melaka), aku akan berjalan kaki ke stesen bas di Bandar Tampin (dalam negeri Sembilan) untuk menaiki bas Tai Lye Tampin-Melaka. Oleh kerana perkhidmatan yang ada bukan bas ekspres, maka masa untuk sampai ke Melaka juga berbeza-beza mengikut bilangan penumpang yang turun dan naik di sepanjang jalan. Langkah seterusnya bergantung kepada masa. Jika bas itu sampai di Cheng selepas jam 6.10 petang, aku akan memilih satu dari 3 pilihan yang ada.

Pilihan Pertama ialah berhenti di Cheng dan berjalan kaki dari sana untuk ke Krubong. Di sepanjang jalan, jika ada kenderaan lalu, aku akan cuba minta untuk ditumpangkan (hitch-hike). Jika tiada kenderaan yang lalu dan berhenti, jarak perjalanan yang perlu dilalui ialah 8 km dan aku akan sampai ke rumah di malam hari. Ini pernah aku lakukan. Pernah sekali aku berjaya dapat menumpang motorsikal selepas berjalan sejauh 4 batu.

Pilihan kedua ialah terus ke Bandar Melaka, makan mee goreng di stesen bas dan seterusnya menaiki bas Batang Melaka atau Kuala Sungga. Perkhidmatan yang disediakan oleh Batang Bus Company itu melalui Pekan Durian Tunggal, dan aku akan turun di Batu 8 Kg Gangsa. Dari situ, aku akan berjalan kaki melalui rumah Uteh Md. Som dan melintasi  jambatan Sungai Melaka. Apabila sampai di seberang sungai, secara definasi, aku sudah sampai ke Krubong, namun kampung kami sebenarnya masih jauh lagi jaraknya kerana ada sawah padi yang luas memisahkan kampung dengan sungai.

Dari jambatan itu aku ada dua pilihan, belok ke kiri dan melalui jambatan Alor (dekat Padang Siapong) atau belok kanan dan melalui jambatan Sungai Badau. Kedua-dua jambatan kayu yang lebarnya lebih kurang 3 kaki itu amat panjang dan menghubungkan benteng sungai dengan benteng tali air (bandau) dekat kampung. Jika aku belok ke kiri, aku perlu berjalan di atas benteng sungai lebih kurang 2 km dan  lebih kurang 1 km di atas jambatan kayu. Selepas itu, perjalanan agak mudah sebab ianya sudah dekat dengan beberapa rumah di Padang Siapong. Namun perjalanan yang jauh di sepanjang benteng sungai agak mencabar dan gelap kerana benteng itu lalu di tepi hutan yang penuh dengan pokok-pokok yang besar. Oleh itu, aku hanya akan ikut jalan itu jika bulan sedang mengambang.

Jika aku belok ke kanan pula, untuk sampai ke jambatan kayu perjalanannya mudah dan dekat. Namun jambatan itu lebih panjang dan di pertengahannya, jambatan akan lalu di tengah-tengah kelompok pokok rumbia sejauh lebih kurang 100 m. Di situ suasananya amat gelap dan seringkali bulu roma di badan akan berdiri tegak.  Setiap kali hidung akan berbau pelbagai makanan seperti ubi bakar atau sambal goreng dan sebagainya. Dalam hati aku selalu berkata, “takkan hantu pun makan sambal goreng…”. Aku terus berjalan dengan tegak, hanya melihat ke bawah dan ke hadapan tanpa menoleh ke kiri atau kadan, apatah lagi ke atas. Selepas itu perjalanan kembali merentasi sawah padi sampai ke benteng bandau (tali air). Dari benteng itu, sebelum sampai ke rumah Pak Andak Dengkel, ada satu pokok besar yang bengkok dan melintasi benteng. Setiap kali lalu di bawah batang kayu itu, aku akan merasa seram seakan-akan ada sesuatu yang akan menerkam dari pokok itu. Namun laluan ini sering menjadi pilihanku setiap kali terlepas bas pukul 6 petang, sama ada ketika pulang dari Ipoh, maupun jika bersiar di Bandar Melaka. Kenapa? Kerana hutan di tepi sungai itu lebih menakutkan.

Pilihan ketiga ialah terus ke Bandar Melaka, dan dari stesen bas dekat jalan Hang Tuah, aku berjalan kaki ke Masjid Kg. Hulu dan tidur di sana. Kadang-kadang ada juga orang lain yang bermalam di sana, kadang-kadang aku seorang diri. Setiap kali sebelum azan, aku akan bangun dan bersiap untuk bersama  solat subuh berjamaah.  Menurut Wikipedia, masjid ini dibina dalam tahun 1728,  dan merupakan masjid  paling tua di Malaysia  yang masih digunakan dan berada di tapaknya yang asal.

Aah, Masjid Kg. Hulu…, bila aku melangkah masuk hati pasti merasa tenang dan ketenangan akan berterusan selama aku duduk di situ. Mungkin telah begitu banyak manusia beramal di dalam masjid itu sehingga melahirkan aura tenang, seolah-olah diri sentiasa diselubungi sakinah. Itulah keistimewaan Masjid Kg. Hulu. Ianya sentiasa terbuka untuk sesiapa ingin solat, beriktikaf atau berehat. Dari dahulu hingga sekarang polisi belum berubah.  Bukan seperti masjid Al-Alami  MITC yang berkunci di malam hari walaupun di bulan Ramadan. Dewan solat masjid ini dibuka kembali pada jam 3 pagi apabila jamaah datang untuk berqiamulail. Bagi yang perlu tidur sebentar, mereka perlu tidur di luar masjid (minta tikar dari pengawal keselamatan). Terasa sedih tidak dapat masuk ke dalam untuk membaca al-Qur’an atau solat sunat. Di Masjid Al-Azim (masjid negeri Melaka) keadaan lebih baik kerana ruang solat tidak dikunci, namun pengunjung tidak dibenarkan tidur dalam dewan itu. Ruang berehat dikhususkan di bawah tangga yang banyak nyamuk dan tiada kipas. Kadang-kadang  pintu pagar ditutup rapat seakan-akan berkunci. Untuk masuk anda perlu memanggil pengawal untuk membukanya. Mungkin aku perlu kembali mengimarahkan Masjid Kg. Hulu apabila aku pulang di bulan Ramadan tahun hadapan.

Mudah-mudahan keadaan ini berubah agar fungsi masjid dapat dihidupkan semula. Masjid sebenarnya untuk semua orang termasuk penduduk tetap dan mereka yang bermusafir.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

6 Responses to Masjid Kg Hulu, Kg. Krubong dan Aku di tahun 70an

  1. Hisham says:

    Is it still the same after all these years? Masa aku balik cuti dulu naik bas lalu bendang kosong nowadays Ada uitm perda mall org kg pun semua dah bertukar. Canada sini dok kg tadak beza.

    • Dr. AA says:

      No Hisham. Things has changed a lot. sawah padi dah jadi tasik tadahan air minum. Benteng sungai yang bengkang bengkok dah lurus, boleh dilalui kereta dan jaraknya jadi dekat. hutan hilang semuanya, dan monyet masuk kampung, ada yang ditangkap, ada ditembak. Hutan gelam dan paya menjadi pusat pelupusan sampah atau taman perumahan. Ladang getah dah jadi kilang dan taman perumahan. Krubong is almost a kampung no more. I missed the old days!!!

  2. ammel says:

    Cerita anda sungguh menarikmengingatkan nostalgia lama. tapi ada sedikit pembetulan fakta…iaitu…Stesen bas Tampin, itu maasih lagi dalam Negeri Melaka, belum lagi Negeri Sembilan. Terima kasih

    • Dr. AA says:

      ooops, ye ke? mungkin saya tersilap, atau stesen bas dah pindah? anyway, Tampin memang menarik kerana sebahagian dari bandar dalam negeri melaka dan sebahagian dalam negeri sembilan. Kadang2 boleh jadi susah juga terutama dalam kes2 melibatkan polis, PBT etc…

  3. Anonymous says:

    Bas Tai Lye dah menjadi sejarah. bas ni pernah memberikan perkhidmatan sebanyak 26 trips ke krubong setiap hari melalui laluan 33 dan 33A. kini sykt telah diambil alih dan hanya menawarkan 5-6 trips perjalanan setiap hari.

  4. Anonymous says:

    bas tai lye dah jadi sejarah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s