Bersegeralah kepada keampunan dan amal soleh

Di atas mimbar jumaat hari ini, khatib berbicara tentang gerhana bulan yang akan berlaku awal pagi khamis ini dan menyeru para jemaah supaya datang beramai-ramai di Masjid Taman Sri Pulai Perdana pada jam 3 pagi hari khamis 16 Jun 2011 untuk bersama-sama menghidupkan satu lagi sunnah yang telah ditunjuk oleh Rasul pimpinan kita semua.

Khatib membayangkan betapa indahnya suasana jika jumlah mereka yang hadir pada pagi itu sama ramainya dengan jemaah yang hadir pada solat jumaat tengahari tadi. Khatib juga mengkisahkan tentang kekuasaan Allah azzawajalla yang menjadikan alam yang bukan sahaja hebat dari segi penciptaan tetapi juga hebat dari segi penyusunan operasi masing-masing. Jutaan bulan dan bintang berjalan mengikut orbit masing-masing, melaksanakan operasi dengan penuh taat sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Benar, pada setiap penciptaan Allah itu ada tanda kebesaranNya untuk dilihat dan dihayati oleh mereka yang dikurniakan mata dan pemikiran.

Namun, apa yang mencuit perasaanku hari ini ialah ayat yang dibaca oleh beliau di hujung khutbahnya, sebagai pesanan terakhir buat minggu ini. Dia membacakan firman Allah SWT dalam surah ali-imran:133 yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,” (ali-imran:133)

Benar, dalam memohon keampunan dan melaksanakan amal soleh kita tidak boleh bertangguh-tangguh. Semua peluang perlu direbut kerana kita tidak pasti bahawa peluang yang sama akan datang lagi. Sejak kecil kita diceritakan tentang syurga dan segala nikmat yang ada di dalamnya yang akan kekal berterusan. Itulah tempat yang disediakan oleh Allah SWT untuk kita semua, jika kita mahu ke sana. Namun, kita seringkali terlalai dan bertangguh-tangguh seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya. Tidakkah kita sedar bahawa pada bila-bila masa nyawa kita boleh dicabut dan peluang beramal dan mendapatkan keampunan akan hilang serta merta ? Aaah, itulah manusia yang seringkali terlupa. Namun aku bukan manusia biasa, kerana aku mahu ke sana, ke tempat yang dijanjikan Allah itu.

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT menyatakan tentang ciri-ciri mereka yang bakal menghuni syurga itu.

“(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (ali-imran:134).

Ya, mereka itulah orang-orang yang ikhlas yang menginfakkan harta di kala senang dan susah, yang berjihad di kala ringan dan berat, yang beramal di kala lapang dan sibuk. Mereka memberikan keutamaan kepada Allah dan bukan diri sendiri. Tiada yang lebih utama dari melaksanakan ubudiyah kepada Allah. Bukan itu saja, mereka itu juga merupakan orang-orang yang mampu menahan marah dan memaafkan kesalahan orang lain.

Sahabat,

Pengalaman hidup sepatutnya telah mematangkan kita. Bersikap positif dan terus memfokuskan usaha-usaha bakti dan amal soleh adalah lebih menguntungkan dari terlalu memikirkan kesilapan lalu terutama kesilapan yang dilakukan oleh orang lain. Bagi kita yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan dan dakwah, kita akan dapati jalan dakwah ini sentiasa penuh dugaan. Di sepanjang jalan itu tentu banyak peristiwa yang menghiris hati telah berlaku. Tentu banyak perkara yang mengganggu emosi telah kita temui. Mungkin ada perkara yang disengajakan orang dan ada perkara yang memang terhasil dari perancangan jahat. Tetapi di sana sini ada juga salah silap yang tidak disengajakan atau sesuatu yang berlaku atas sebab kurangnya pemahaman atau dipengaruhi maklumat yang tidak tepat. Apapun sebabnya, dan apapun kesannya, Allah SWT mengajar kita, di peringkat diri kita sebagai individu, memaafkan segala kesilapan itu adalah lebih baik.

Mari kita sucikan hati, kosongkan perasaan marah dan masuk ke dalam kelompok manusia yang dimaksudkan dalam ayat 133-134 di atas. Memfokus kepada perkara positif akan menenangkan perasaan, memudahkan langkah dan menghasilkan pulangan yang lebih baik atas segala usaha yang kita lakukan. Banyak buku-buku yang telah ditulis dalam perkara ini sama ada oleh penulis dari bidang pengurusan maupun agama yang boleh kita baca untuk meyakinkan diri.

Ayuh kita terus maju ke hadapan kerana kita mahu sampai ke destinasi.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Buatmu Sahabat and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s