Buatmu Sahabat 20: Menjaga Hubungan

Bersendirian atau Bermasyarakat ?

Amat mudah jika aku tinggal di pergunungan, bersendirian tanpa perlu bertegur sapa dengan sesiapa. Aku hanya perlu beribadat, membaca al-qur’an, berzikir, bermunajat untuk mendekatkan diri kepada Tuhan yang Maha Esa.Tiada siapa yang mengganggu, tiada apa yang perlu difikirkan, hanya diriku sendiri. Hidupku mudah…

Mungkin juga aku boleh bekerja, beristeri dan berkeluarga. Aku boleh tinggal di taman perumahan bersama keluargaku, tapi tidak perlu bergaul dengan masyarakat. Aku hanya keluar rumah untuk mendapatkan keperluan keluarga dan ke pejabat. Aku sekeluarga tinggal di rumah, saling nasihat menasihati dalam mendekatkan diri kepada Allah. Solat berjamaah bersama ahli keluarga. Kami tidak perlu memikirkan tentang manusia lain. Yang penting hati kami suci, hubungan kami dengan Allah baik dan dekat. Juga agak mudah…

Namun bukan itu yang diajar oleh Muhammad Pesuruh Allah, Sallallahu alaihi wasallam. Baginda tidak mengajar para sahabatnya supaya begitu. Baginda juga tidak mahu umatnya begitu. Itu hanya sesuai untuk para ‘abid di zaman Bani Israel. Bagi umat Muhammad SAW, dia perlu bermasyarakat, menyampaikan risalah Islam, menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Umat Muhammad adalah penyambung risalah kenabian. Mereka perlu menyambung tugas para anbiya’ kerana Muhammad adalah penutup para rasul.

Umat Muhammad adalah sebaik-baik ummat kerana mereka mempunyai tugas khas, seperti yang dinyatakan dalam sebahagian dari ayat 110, sural ali imran.

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia; kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (yakni kufur) serta kamu pula beriman kepada Allah dengan benar-benar iman;…….”

Malah al-qur’an juga menjelaskan lagi bahawa orang yang beruntung ialah yang melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma´ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” Ali-Imran:104.

Menyedari hakikat ini aku bertekad untuk bergaul bersama masyarakat,  mengajak mereka kepada kebaikan dalam erti kata yang luas – bukan sahaja dalam konteks beribadat tapi juga dalam bermuamalat sesama manusia dan juga terhadap alam semesta. Umat yang berjaya adalah umat yang bertamadun, mempunyai sifat-sifat yang disenangi semua makhluk yang hidup sezaman dengannya.

Namun aku bukannya malaikat yang terlindung dari kesalahan. Ya, malaikat hanya membuat yang disuruh dan dia sentiasa patuh. Aku pula manusia yang diberi akal untuk membuat pilihan. Ada kalanya pilihanku betul, ada kalanya salah.

Bersalah dengan Tuhan

Sahabat,

Jika kita bersalah dengan Allah yang Maha Pengampun, sama ada dalam melaksanakan ibadat dan ketaatan atau dalam menghindari larangan, kita boleh memohon ampun dariNya. Kita boleh bertaubat, tetapi ingat, bila terjerumus di lembah maksiat, ada kalanya manusia sukar juga untuk keluar. Ada kalanya dia akan terus terperangkap dan sentiasa hidup dalam dosa dan noda. Sebab itu, kita disuruh menjauhi dosa. Sebab itu kita diajar supaya menjaui yang haram, malah yang syubhat. Semoga Allah melindungi kita semua.

Bersalah Kepada Manusia

Sahabat,

Lebih berat lagi jika kita bersalah dengan manusia. Sama ada dalam bentuk perbuatan maupun lisan, ianya lebih rumit. Jika kita bersalah dengan Allah, kita boleh bertaubat dan memohon ampun dariNya yang Maha Pengampun, Maha Pengasihani, tetapi jika kita bersalah dengan manusia, kita perlu pula mendapatkan kemaafan dari mereka di samping memohon keampunan dari Allah Azzawajalla. Ini bukan urusan yang mudah kerana manusia itu sifatnya seperti kita semua, ada yang lebih baik, ada pula yang lebih buruk. Maka sudah pasti, ianya lebih rumit. Apatah lagi jika ianya adalah kesalahan lampau.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?

Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki wang dan juga tiada memiliki harta.”

Lalu Rasulullah menjawab: “Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi dahulunya waktu di dunia ia pernah mencaci maki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan pernah memukul seseorang. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dibayar semuanya, maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”  (Riwayat Muslim)

Hadith ini pernah kubaca ketika aku berusia awal dua puluhan. Ketika itu hati terasa sedih bila merenung maksud hadith yang begitu berat dirasa. Aku bertanya kepada seorang sahabat, lalu dia berkata, “wahai sahabatku, kita adalah manusia yang seringkali tersalah langkah. Jika engkau telah menyalahi manusia, engkau ada 2 sahaja jalan keluar. Pertama, kau mohonlah maaf dari setiap orang yang telah kau salahi. Kedua, tingkatkan dirimu dengan amal yang disukai Allah dengan banyak sehingga Allah mengasihimu, kerana jika Allah mengasihimu, mungkin di akhirat kelak engkau akan dibantu olehNya.” Aku termenung mendengar nasihat sahabatku itu.

Sahabat,

Setiap hari manusia melakukan kesilapan. Malah ada kalanya kesilapan itu dilakukan pada orang yang dekat di hatinya – ibu-bapa, saudara dan sahabat.

Semasa kecil ibu-bapa amat dihormati dan disayangi

Sebagai contoh, sedih rasa hati bila mengenangkan anak yang telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang, ketika remaja dan menjangkau dewasa menyakiti hati orang tuanya.  Kenapa dia rela membiarkan ibu, malah ayah sekali menitiskan air mata? Bukankah sepatutnya dia membalas jasa mereka dan membahagiakan hidup mereka terutama jika mereka telah menjangkau usia tua? Kadang-kadang kita merasa hairan melihat perkara sebegini berlaku. Namun ianya dilakukan oleh pelbagai golongan manusia. Ia bukan sahaja dilakukan oleh anak yang buruk akhlak tetapi juga oleh anak yang kelihatan baik akhlaknya. Malah kadang-kadang ada juga segelintir kecil dari pendakwah yang telah berazam untuk menjadi pewaris para nabi tersilap langkah lalu menyakiti hati orang tuanya sama ada secara sedar ataupun tidak. Sukar untuk dijawab kenapa perkara sebegini boleh berlaku. Mungkin kerana pertimbangannya dipengaruhi sikap melampau. Mungkin dia dipengaruhi oleh kawan, guru, suami ataupun isteri yang ada kalanya boleh menggugat pertimbangannya sendiri. Mungkin juga dia mempunyai penyakit hati – bila dia merasakan dirinya betul, atau lebih mulia, dia mula bersikap angkuh. Semua tindakannya akan dibenarkan dengan hujah. Ada kalanya bila berhujah, dia tertipu oleh akalnya sendiri atau ada kalanya syaitan telah menyesatkannya. Sebenarnya, inilah yang paling bahaya – apabila hati mula merasa kehebatan sendiri, apabila diri mula merasakannya lebih mulia dari orang lain. Wahai anak, ibu yang melahirkanmu adalah ibumu jua yang patut dihormati, disayangi dan dijaga hatinya, walaupun dia kurang dalam beramal, apatah lagi jika dia juga kuat beramal.

Dalam memimpin di tempat kerja, kita juga boleh tersilap langkah. Ada pemimpin yang menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri dan orang yang rapat dengannya sehingga menzalimi dan menindas rakan sekerja yang lain. Lebih pelik lagi tapi sering juga berlaku ialah keadaan di mana seseorang itu  menzalimi sahabatnya sendiri di tempat kerja. Kerana takutkan dikata mengamalkan kronisma, sahabatnya sendiri yang menjadi mangsa – kerja lebih diberi, segala imbuhan ditahan.

Sahabat,

Dalam urusan harian, kita perlu sentiasa berhati-hati dalam pergaulan terutama bila mengkritik dan menghukum kerana kita tidak mahu ianya dikira sebagai tindakan yang zalim oleh Allah yang Maha Adil. Kita perlu berhati-hati dalam berbicara.  Sebagai contoh, ada masanya sesuatu peristiwa perlu didedahkan demi memberi penjelasan dalam membuat keputusan dan sebagainya, ada kalanya peristiwa yang sama jika disebut boleh dikira mengumpat, dan mengumpat itu adalah satu dosa. Banyak lagi contoh yang boleh diketengahkan, berfikirlah.

Semoga Allah membantu kita untuk menanam keikhlasan yang tulin dalam lubuk hati sedalam-dalamnya supaya ianya tidak mudah diperdaya.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Buatmu Sahabat and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s