Wedding – A place to meet old acquiantance

Lebuhraya Pantai Timur

Selepas menghadiri demonstrasi mengecam kezaliman rejim zionis sempena penyerangan ke atas kapal mavi marmara dan gerombolan freedom flotilla di hadapan kedutaan Amerika, kami berehat sebentar di Kuala Lumpur. Selepas itu, perjalanan diteruskan menuju ke Kuantan menerusi MRR2 dari Keramat kemudian lebuhraya KL-Karak dan seterusnya lebuhraya Pantai Timur. Alahai, LPT, mengapalah engkau beralun-alun dan beroleng-oleng? Aku naik kereta bukan naik bot. Mujurlah shock absorber kereta baru ditukar. Perjalanan terpaksa diperlahankan dari kadar biasa. Di mana silapnya – kurang penyeliaan? Atau kerja yang terburu-buru? Atau kontraktor terpaksa mengurangkan belanja membina foundation (cerucuk etc) demi untuk menjamin keuntungan.

Kenduri Kahwin Aishah Badhrulhisham, 5 Jun 2010

Badhrul atau Bard memang kawan baik saya yang akarnya terlalu dalam bermula di Colorado pada tahun 1981. Begitu juga isterinya Meen, juga merupakan kawan rapat bagi isteri saya, Hana. Mereka adalah rakan serumah semasa di Boulder dan Pueblo, Colorado. Dalam majlis kenduri perkahwinan kami di Melaka pada tahun 1983 mereka hadir. Mungkin majlis itu menambahkan lagi motivasi bagi mereka yang seterusnya melangsungkan perkahwinan beberapa minggu kemudian.

Walaupun mereka telah berpindah dari Pueblo ke Corvalis, Oregon, mereka kemudiannya berpindah pula ke Fort Collins dan tinggal di Aggie Village South berhampiran rumah kami. Banyak aktiviti yang dikongsi bersama semasa di Colorado

Bard dan saya mula berkhidmat di UTM pada hari yang sama pada tahun 1986. Pada tahun 1987, kami sama-sama pergi melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Swansea. Di sana, kami juga masih berjiran. Malah kami juga berkongsi membeli sebuah kereta Fiat 128 berwarna kuning untuk ke sana ke mari.

Namun, kesibukan masing-masing dalam kerjaya terutama selepas Bard meninggalkan UTM menyebabkan kami jarang bertemu, walaupun saling menghubungi dari masa ke semasa. Masing-masing meneruskan kehidupan dengan haluan sendiri sama ada dalam aspek kerjaya maupun penglibatan kemasyarakatan.

Entah mengapa jemputan kenduri kepada kami kali ini dibuat banyak kali, email, sms, panggilan telefon dan kad jemputan. Saya bertanya pada Hana, “agaknya depa ni ingat kita tak mau pergi kot?”. Haha, saya pun hanya menjawab jemputan dengan kalimah OK sahaja menerusi email. Namun, kami telah merancang awal dan telah pun membuat tempahan penginapan lama sebelum tarikh itu.

Ketibaan kami disambut oleh anak-anak mereka, seorang demi seorang. Hana disambut mesra dengan panggilan Mak Su oleh anak dan menantu mereka.Pada masa itu kami bertembung dengan Jadid, Elina dan anak-anak yang sedang bersalaman untuk pulang. Mmmm… memang lama dah tak jumpa Jadid, yang pernah tinggal sebilik dengan saya di Canyon Creek Apartment di Boulder. Kamipun berbual ringkas, bertanya khabar tentang keluarga masing-masing.

Tapi yang mengejutkan ialah apabila saya ditegur oleh seorang kenalan lama, rakan di zaman Pueblo 1982-1983. Wajah kami yang tak banyak berubah memang senang dikenali, tapi kami memerlukan beberapa saat untuk mengenalpasti mereka. Alhamdulillah, saya dapat mengingati Suhaimi (yang kami panggil Mi Besar), dan Hana dapat mengenalpasti Arah (nama penuh Zaharah?). Mereka adalah di antara rakan yang setahun junior di Pueblo Colorado.

Berbual panjang dengan Mi Besar dan Arah selepas makan

Sedang kami rancak berbual, tiba-tiba muncul Mustafa dan isterinya Azian. Kedua-dua mereka adalah senior saya di fakulti. Kini keduanya berkhidmat di UTM Kuala Lumpur, jadi juga kami jarang bertemu.

Mustafa dan Azian dari UTMKL

Setelah lebih dari 2 jam di majlis itu, kami mengambil gambar kenangan dan beredar. Ketika itu muncul pula Syed Mohd Radhi dan isteri yang dari Kuala Lumpur. Saya mula mengenali Syed semasa di UK. Dia adalah seorang yang kreatif dan amat komited melaksanakan sebarang tugas yang diberi. Dialah yang merekabentuk kad ucapan eidil fitri yang kami jual setiap tahun di UK, atas nama penerbitan al-ukhuwah.

Bersama ibu-bapa pengantin

Ada beberapa orang lagi yang ditemui, sama ada dari kalangan staf UMP atau pun kenalan-kenalan lama. Ada yang dapat dicam wajah sahaja. Jadi, majlis perkahwinan adalah tempat di mana kita boleh bertemu kenalan lama dan membina semula silatur-rahim yang mungkin dah lama renggang disebabkan kesibukan masing-masing.

Satar Kuala Kemaman

Ketika itu, waktu telah hampir jam 5 petang dan kami membuat keputusan untuk terus pergi ke Kuala Kemaman untuk menikmati salah satu makanan kegemaran saya – Satar. Seperti biasa, saya menempah satar, keropok lekor dan air kelapa muda. mmmm…. sedapnya.

Satar di Kuala Kemaman

Memancing di Jeti Kijal

Dari Kuala Kemaman kami terus ke  jeti peninggalan perkhidmatan feri star cruise di Kijal. Di sana kelihatan ramai orang sedang memancing. Di jeti itu, jika memancing dengan menggunakan appolo, anda boleh menangkap ikan-ikan kecil. Tapi di sini ianya tidak semudah memancing di unjam Pulau Pemanggil. Kalau menggunakan umpan ikan atau udang yang hidup, anda mungkin berjaya menaikkan Gerung atau Ebek. Tetapi, anda memerlukan joran yang panjang supaya dapat melempar umpan jauh ke tengah.

Untuk appolo, kami diberitahu oleh penduduk tempatan bahawa mata pancing yang halus (saiz 7) perlu digunakan dan  sedikit bulu (atau benang) kuning dan hijau perlu diikat pada mata pancing itu.  Kami juga dimaklumkan bahawa appollo yang dibeli di kedai tidak digemari oleh ikan di situ.

Amin di jeti Star Cruise

Oleh kerana saya memang berniat untuk meraikan Amin, petang itu kami pergi ke kedai membeli appollo. Keesokannya, selepas solat subuh, kami ke jeti kijal. Walaupun orang kampung kata, jika guna appollo kedai tak boleh dapat ikan, bila ada rezeki, kita akan dapat juga. Amin berjaya menangkap beberapa ekor ikan – cukup untuk menghiburkan hatinya pagi itu.

Sebahagian dari tangkapan Amin

Makan Tengahari Gulai Kawah

Jika anda berada di Kuantan, singgahlah makan nasi gulai kawah, sama ada di tepi jalan besar dekat Gebeng atau berdekatan masjid di Balok. Ianya sedap dan harga pula berpatutan. Jika anda sudah terlewat untuk makan tengahari, gulai kawah memang satu-satunya penyelesaian kerana jika telah melebihi jam 2 petang kebanyakan kedai yang menjual nasi campur sudah kehabisan lauk.

Haah… walaupun 3 hari di Cherating, kami langsung tidak sempat mandi laut ataupun berenang di kolam renang kerana masa banyak dihabiskan ke sana ke mari, sampai ke Kuala Terengganu.

Restoran Nusantara, Endau.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Restoran Nusantara yang  terletak di tepi jalan utama berhampiran pekan Endau. Restoran ini mempunyai beberapa kelebihan dan telah menjadi tempat persinggahan biasa bagi saya. Pertama, ia mempunyai surau yang cantik dan selesa dengan bilik air dan tempat berwuduk yang bersih. Kedua, tempat itu luas dan berangin dan sesuai untuk makan dengan suasana santai. Ketiga, selepas Endau, perjalanan ke Johor Bahru akan menempuhi kawasan kampung, hutan dan ladang. Selain dari Bandar Mersing, kegelapan akan menyelubungi sepanjang perjalanan di waktu malam hinggalah sampai ke Kota Tinggi. Sebab itulah saya akan berhenti untuk makan malam dan solat maghrib & Isya’ di situ.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s