Selamat Jalan Huda Arshad

Jika ada anak yang tidak menyayangi ibu-bapanya,  katakan padanya “insaflah wahai anak, pergilah memohon ampun dari orang tuamu”. Sejak anak itu lahir ke dunia, dia telah dijaga dengan penuh kasih sayang. Kalau boleh ibu dan bapa tidak mahu langsung mendengar dia menangis. Kemudian dia dibesarkan, diajar berjalan, berlari dan bermain. Kemudian dia dihantar ke sekolah. Setiap hari, ada yang dihantar sampai ke pintu kelas, ada yang sampai ke pagar sekolah, ada yang sampai ke pintu bas dan ada yang sampai ke pintu rumah – bergantung kepada realiti masing-masing.

Tidak kira bagaimana nakal sekalipun dia, ibu-bapanya tetap menyayanginya. Kadang-kadang anak-anak itu tersalah tanggap. Kemarahan bapa atau leteran ibu ditafsir sebagai benci. Bila permintaan mereka tidak dipenuhi mereka menyangka ibu-bapa sengaja menyusahkan hidup mereka sedangkan ianya mungkin sebahagian dari pendidikan yang perlu dilakukan.

Tidak ada ibu-bapa yang waras membenci anak-anak mereka. Kalaupun kelihatan kebencian dan kemarahan di wajah mereka, ianya hanya sesuatu yang superficial dan sementara, namun jauh di dalam hati, dia tetap menyayang anaknya. Bila bersendirian, ibu dan bapa itu tetap mendoakan kebahagian anaknya itu, walaupun ada masanya tindakan anak itu mungkin keterlaluan.

Di saat manis, ibu-bapa tersenyum lebar, bersemangat berkongsi berita tentang kejayaan anak masing-masing. Di saat pahit, ibu-bapa menahan perasaan, menerima apa saja berita tentang anaknya itu. Adakalanya ibu menitiskan air mata, sama ada semasa mendapat berita ataupun ketika bersendirian di tikar sembahyang. Ada kalanya bapa termenung, menggeleng kepala mengenangkan nasib yang menimpanya. Itulah pengalaman membesarkan anak, ada warna-warna indah, ada juga lembaran hitam.

Pengorbanan ibu-bapa ini hanya dapat difahami sepenuhnya setelah seseorang itu melaluinya dengan sendiri. Ianya pengalaman yang berwarna-warni, berbeza antara seorang dengan yang lain walaupun banyak persamaan. Ada yang bernasib baik, ada pula yang diuji oleh Allah yang Maha Mengetahui. Bila sepasang ibu-bapa diuji, ada yang berempati dan bersimpati, ada pula yang menuduh bahawa ibu-bapa itu tidak pandai mendidik anak, lebih mementingkan kerjaya maupun aktiviti sosial dan dakwah. Itukah sikap kita sebagai sahabat?

Jika anda adalah dari kalangan ibu-bapa, tanyalah sahabat anda dan kongsilah pengalaman anda dengannya, mungkin ia boleh membantunya dalam menangani isu membangunkan keluarga yang semakin hari semakin mencabar ini. Anda mungkin merasakan masalah itu unik untuk anak anda sahaja, rupa-rupanya ianya juga dihadapi oleh anak-anak yang lain. Jadi kita boleh belajar dari pengalaman orang lain. Saya selalu menyatakan “Men learn from mistakes, wise men learn from mistakes of others”.

Bila anak membesar, bersekolah dan berjaya, ibu-bapa menjadi gembira. Kemudian, bila anak itu berjaya dan mendapat tempat melanjutkan pengajian ke universiti sama ada di dalam atau luar negara, ibu-bapa tadi bertambah bersyukur dan gembira sambil berdoa lagi untuk anak itu. Tiba-tiba, dalam kegembiraan itu, datang pula kesedihan. Ya… kesedihan untuk menerima hakikat bahawa anak itu akan dilepaskan hidup sendiri, keluar dari pengawasan mereka. “Aaah anakku akan menempuh alam dewasa. Akan berjayakah anak aku ini?”, kata hatinya. “Bagaimana pula akhlaknya setelah tidak lagi tinggal bersama kami?” katanya lagi dalam lamunan.

Saya yakin, ramai dari kalangan ibu-bapa mempunyai perasaan seperti ini ketika ini. Tanggal 10 mei, ada yang telah ke pusat matrikulasi KPM. 22-23 Mei pula ramai yang ke pusat asasi UM,  UIA, UiTM atau USIM. Nanti akan ada pula yang ditawarkan untuk ke INTEC Shah Alam, Kolej Mara, UniKL atau mana-mana pusat persediaan sebelum ke luar negara. Begitu juga dengan program Diploma dan lain-lainnya.

Begitulah perasaan kami apabila seorang demi seorang anak keluar meninggalkan rumah menuju ke menara gading. Itulah perasaan kami bila kami meninggalkan Faiz di Perlis. Perasaan yang lebih mencabar datang pula dua tahun kemudian bila kemudiannya kami menghantar Faisal ke KLIA untuk keluar negara. Kemudian sekali lagi kami berdebar melihat Anas melambai tangan sambil menuruni escalator dan seterusnya melalui autogate di KLIA. Ya, kami telah 3 kali melalui pengalaman itu untuk anak pertama, kedua dan ketiga. Rumah kami semakin sunyi.

Huda-tamat tadika selama setahun

Suasana itu datang lagi.  Tanggal 23 Mei 2010, kami meninggalkan Huda untuk program orientasi di Petaling Jaya sebelum dipindahkan ke Nilai dan kemudiannya insya Allah ke Gombak. Hati terasa sedikit lega kerana ianya hanya beberapa jam dari rumah. Namun kerisauan tetap tebal di hati, malah lebih tebal dari pengalaman-pengalaman sebelum ini. Subhanallah, Maha Suci Allah yang mengetahui isi hati manusia, Dialah yang telah menyusun ketetapan ini semua dan kepadaNyalah aku meletakkan harapan.

Hari ini aku berdoa kepadaMu wahai Tuhan sebagaimana Ibrahim telah memohon kepadaMu:

“Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepadaMu dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha penerima taubat (al-Baqarah:128).

“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak-cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhanku, perkenankanlah doaku” (Ibrahim:40)

Hari ini aku menadah tangan yang kotor ini kepadaMu, Wahai Allah Yang Maha Kuasa, Engkaulah yang menguasai hati manusia, maka Kau tetapkanlah hati anak-anak kami dengan iman dan taqwa. Lindungilah mereka dari maksiat serta godaan syaitan dan nafsu, bimbinglah dan bantulah mereka, sesungguhnya Engkau Maha berkuasa melakukan sesuatu. Jadikanlah mereka sebagai peninggalan yang bermakna dari kami untuk ummah.

Wahai anakku,  dekatilah orang yang alim lagi berilmu. Bersahabatlah dengan sahabat yang baik kerana dia ibarat penjual minyak wangi, jika engkau tidak dapat minyak itu pun, engkau tetap mendapat keharumannya. Manakala sahabat yang buruk itu ibarat tukang besi. Jika engkau tidak terkena percikan api, engkau tetap dapat bau asap yang busuk. Selamat jalan anakku sayang. Selamat jalan Huda Arshad. Allah sentiasa bersamamu.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , , , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Selamat Jalan Huda Arshad

  1. monotheist says:

    Salam.
    Jzkk Dr. sangat terkesan hati ini bila membaca nya. Pernah ana mendengar seorang ahli agama berkata “banyak mana cubaan kamu sebagai seorang anak dalam membalas jasa ibu, tidak akan terbalas jasa ibu itu walau setitis susu ibu yang kamu minum pun.” Masya Allah. Betapa hebat nya insan bergelar ibu, mama, mak dan yang bernama ayah, abah, bapa. Allah sendiri telah berulang kali mengingatkan manusia fil kitabil ‘aziz mengenai darjat mereka dan perlu nya hormat kepada kedua ibu bapa regardless in any situation. Tetapi kadang-kadang kita terlalu ignorant untuk memahami mereka. Lihatlah sekarang, berapa ramai lelaki yang melebihkan ibu nya sendiri dari isteri tercinta? Wallahu’alam.

  2. Dr. AA says:

    Ya. apa pun cabaran yang kita hadapi dalam hidup, jangan lupa jasa orang ibu bapa, apatah lagi jika mereka telah berusia lanjut. Peluang berbakti kepada orang tua hanya diberi oleh Allah kepada orang yang bernasib baik kerana balasannya adalah syurga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s