Tioman dan Pemanggil – Program balik kampung 2010

Program Balik Kampung

Setiap tahun, bulan april dinanti kerana “program balik kampung” ke pulau Tioman dan Pemanggil dianjurkan. Seperti biasa untuk program itu, kami akan singgah makan tengahari di Pulau Tioman pada hari pertama dan Pulau Pemanggil di hari kedua.

Sedia untuk bertolak

Berbeza

Trip kali ini amat berbeza. Biasanya penyertaan Adnan adalah wajib, namun disebabkan isu terdesak di saat akhir, kami pergi tanpa tulang belakang kumpulan. Ketiadaannya amat dirasai.

Perbezaan kedua ialah keadaan laut yang mencabar pada masa kami bertolak. Kira-kira 5 minit selepas kami keluar dari jeti Mersing, gelora ombak mula dirasai. Ramai yang mabuk dan kami semua terus tidur. Ada juga yang memancing ketika bot dilabuh di Pulau Hujung, namun aku tidur terus hingga ke subuh. Aaah… enak sekali tidur dibuai ombak. Memang itu salah satu nikmat memancing di laut dalam.

Aksi Bermula

Pagi Ahad kami memancing di unjam. Entah mengapa, ikan-ikan kecil untuk dijadikan umpan sukar didapati. Namun, tangkapan beberapa ekor ikan besar seperti Tenggiri (4.2 Kg), Todak (4.3 Kg) dan tambak (2 kg) memberi perangsang kepada semua untuk terus memancing di Unjam Selat. Antara spesis lain yang ditangkap termasuklah ikan kerisi, jepun, rainbow, kunyit, anak tambak, anak tanda dan sebagainya.

Todak

Apabila matahari mulai terik dan bahang kepanasan mula dirasa, aku pun mengarahkan tekong untuk ke Kg. Mukut. Tekong kami, Pak Sharif termenung membayangkan keadaan jeti di saat itu. “Mungkin kita tak boleh himpit di jeti, ombak kuat ni”, katanya. “Kita try dulu Bang, tengok macam mana” kataku pula. Tekong pun terus menighidupkan enjin dan seperti biasa aku berteriak kepada semua, “tarik… tarik…”. Aaah… memang aku suka menjerit memberi arahan atas kapal. Agaknya aku sepatutnya jadi kapten kapal… haha.. Begitulah mainan fikiranku ketika itu.

Hidangan Istimewa Pulau Tioman

Seperti biasa, hidangan istimewa Pulau Tioman menunggu kami. Ianya telah kupesan seminggu sebelum itu. Selepas berehat, kami makan tengahari dan kemudiannya solat Zuhur dan Asar di masjid. Semasa di sana kami sempat berkenalan dengan Ustaz Fazli yang berasal dari Ipoh, yang bertugas sebagai guru agama Sekolah Kebangsaan Kg. Mukut.

Mencandat Sotong di Pulau Jahat

Kenapa agaknya pulau ini dipanggil Pulau Jahat? Pelbagai Versi cerita boleh didengar, tapi semuanya tidak meyakinkan. Mungkin agaknya ianya tempat ramai penjahat bersembunyi? Allahu a’lam.

Malam itu kami mencandat sotong berhampiran pulau itu. Banyak tangkapan diperolehi. Kebanyakannya spesis sotong yang panjangnya 10-20 inci. Namun aku yang bukan peminat aksi mencandat berhenti selepas menangkap beberapa ekor sotong besar. Selepas itu aku berkhidmat sebagai jurukamera, dan pembantu teknikal.

Gua Sarang

Memang menjadi kebiasaan, Wijay akan melaungkan azan di atas bot dengan perlahan apabila subuh tiba. Kami pun semua bersiap sedia untuk solat subuh berjamaah di bahagian hadapan bot. Sebenarnya, kami sering menggunakan perkhidmatan tekong ini kerana bahagian hadapan bot itu selesa untuk tidur dan solat. Lagipun tekong ini akan memenuhi permintaan kami untuk ke sana ke mari.

Selepas subuh, perjalanan diteruskan menuju ke Gua Sarang di Pulau Pemanggil. Dalam perjalanan, nasi lemak dimasak oleh Omar dan Pak Syarif. Namun, disebabkan kami terlupa membeli serbuk cili atau cili boh, maka nasi lemak dihidangkan dengan sambal belacan dan ikan goreng. Sedap? Sudah pasti. Apa pun sedap di atas bot.

Haruan Tasik

Hari kedua kami mendapat pelbagai spesis ikan. Haruan tasik seberat 4.2 kg juga berjaya dinaikkan di samping beberapa ekor ikan Telinga Gajah (yang terbesar, beratnya 4.1 Kg).

Telinga Gajah

Kg. Buau Pulau Pemanggil

Kg. Buau sememangnya antara destinasi tetap bagi kami. Sejak dahulu lagi aku memang tertarik dengan kampung ini. Pemandangannya cukup indah, dan penduduknya friendly.

Kg. Buau Pulau Pemanggil

Sesampai kami di sana, kami terus menghilangkan dahaga di gerai Ustaz Aman. Hidangan? Untuk aku dan 3 lagi ialah ABC. Mmm… apa kurangnya hidup di pulau? Orang-orang tua yang lain menghirup teh tarik masing-masing. Selepas itu kami terus berenang di laut yang jernih kerana ketika itu air pasang penuh. Sungguh menyegarkan.

Ustaz Aman dan anak muridnya

Kami solat zuhur dan asar di masjid. Ketika itu kelihatan sekumpulan anak-anak sedang duduk berbual menunggu kedatangan Ustaz Aman, guru agama mereka. Kampung Buau kini semakin lengang. Pelajar di sekolah rendah di situ hanya tinggal 7 orang. Di waktu pagi ada 8 orang guru, manakala untuk sekolah agama di waktu petang ada seorang guru. Ustaz Aman mengendalikan kelasnya di masjid kerana bilik darjah yang disediakan untuk sekolah agama itu tidak mempunyai bekalan elektrik.

Selepas solat, kami dihidangkan dengan makanan yang enak – asam pedas haruan tasik, teliga gajah goreng, sotong goreng tepung dan sambal sotong. Wow, a mouth watering presentation. Akibatnya, Anwar kena gout, Wijay pening kepala – kandungan kolesterol dan asid urik yang tinggi. Maklumlah, masa makan macam tak ingat sebab masakan memang sedap.

TATA belum masuk gear

Selepas 5 tahun di Kanada, inilah trip yang pertama bagi TATA. Dia juga tumpas – lebih banyak berbaring dari memancing. Yang benar-benar aktif hanyalah kami bertiga – Roslizar, Awal dan aku. Namun aku juga banyak menghabiskan masa sebagai pembantu teknikal bagi beberapa “pelancung” , di samping mendengar ngomelan penglipur-lara. Walau bagaimanapun, hasil tangkapanku agak baik kali ini. Wow, quality efforts. Malam itu aku berjaya menaikkan 4 ekor Jemudu (1.5-2 kg) dengan menggunakan umpan sotong jarum hidup. Melayan Jemudu dengan joran Ugly Stick bersaiz Medium memang cukup menghiburkan. Aku juga berjaya menaikkan ikan pisang yang besar (oops lupa timbang, rasanya 3 kg).

TATA memotong epal ala kanada dengan diperhatikan Anwar

Perjalanan Pulang

Selepas solat subuh kami berangkat meninggalkan pulau pemanggil. Seperti biasa aku suka duduk di atas tong ais di belakang bot sambil menikmati keindahan alam. Nun di sana nampak cahaya matahari yang menjenguk dari belakang Pulau Pemanggil. Suasana pagi seperti itu memang memberi peluang untuk kita menyelami perasaan dan hati sendiri. Asbahna wa asbah almulkulillah, walhamdulillah, laaa syarikalah… Memang jika kita berada di suasana yang tenang dan sunyi, bebas dari kesibukan dan hambatan dunia, bebas dari gangguan manusia, merdeka dari sebarang kongkongan, hati kita akan lebih dekat dengan Penciptanya.

Ketenangan pagi hari

Pak Muda melelapkan mata di hadapanku. Pada usia 70’annya, dia masih bertenaga. Dulu aku pernah menyewa bot Pak Muda. Kini dia hanya bekerja sebagai kelasi bot Sharif. Dia seorang yang sentiasa ceria dan berpengalaman luas. Banyak juga ilmu yang sempat kutimba darinya dalam masa kami berehat dan berbual.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah memancing di Karangluas sementara menunggu air pasang kerana laluan ke Jeti Mersing bergantung kepada paras air. Ketika itulah TATA mula beraksi menangkap kerapu seekor dua setiap kali melabuhkan apollo tiga matanya itu. Wah, dah nak balik baru kau nak masuk gear”, kataku kepadanya. “mmm, aku tak puas, kita kena buat satu lagi trip”, kata TATA dengan penuh semangat. “Of course…, tahun ni Adnan belum turun lagi”, jawabku selamba.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Happening and tagged , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

4 Responses to Tioman dan Pemanggil – Program balik kampung 2010

  1. Ramzy says:

    Seronok baca ur adventure Chad. Ur stamina is still good anyways.

  2. Norfahmi Ahmad says:

    Salam tuan. sgt best baca pasal trip pulau pemanggil nih. boleh bg info/panduan on sape yg blh saya contact untuk pergi fishing trip kat sana?

  3. Dr. AA says:

    Untuk ke Pulau Pemanggil, boleh guna khidmat tekong dari Mersing ataupun Tg. Leman. Kalau yang ada pakage commercial, boleh tengok Lanting Resort di internet. Kami prefer tekong Sharif dari Mersing. Harga bot mengikut keupayaan enjin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s