Kembara Tanah Suci 3 – Jemaah Turki

Di samping Indonesia, Turki juga mempunyai rombongan jemaah haji yang ramai. Jemaah dari Turki amat mudah dikenali kerana di kalangan mereka, ramai yang  memakai pakaian seragam. Mereka juga bergerak dalam kumpulan besar ketika tawaf, saie atau melontar di jamrah. Kebanyakan mereka boleh dikatakan telah berusia lebih 50 tahun, mungkin ramai yang melebihi 60 tahun. Namun mereka mempunyai kekuatan fizikal yang baik. Bagi mereka yang datang dari Timur Turki iaitu di sebelah Asia, mereka selalunya agak rendah berbanding dengan yang datang dari barat seperti Istanbul.

turkey_map

Gambar dari CIA World Factbook

Turki adalah sebuah negara yang banyak sempadan. Ia berjiran dengan Syria, Iraq, Iran, Armenia, Georgia, Bulgaria dan Greece. Dari segi politik  ianya di dalam benua Eropah tapi sebahagian besar negaranya bercantum dengan benua Asia. Ia adalah sebuah negara yang amat lama dari segi tamadun. Sungai Tigris dan Euphrates yang menjadi faktor penting dalam tamadun lama seperti Sumeria dan Babylon juga mengalir di bahagian timur Turki. Istanbul (juga dikenali sebagai Constantinople) telah menjadi ibu negara kepada empayar Byzantine (Roman Timur), kemudian menjadi pusat pemerintahan bagi Khilafah Uthmaniyah.

Jika kita imbau kembali, selepas kejatuhan  Khilafah Uthmaniyah,  Mustafa Kamal Attartuk telah berusaha dengan giat untuk men”turki”kan rakyat dan mengikis sebanyak mungkin kesan-kesan dan pengaruh Islam dalam sistem kehidupan. Dengan pelbagai cara termasuk menekan gerakan Islam, memenjarakan ulama dan aktivis dakwah Islam, mengubah sistem pendidikan dan sebagainya lanskap sosial Turki mula berubah.Ulama seperti Badiuzzaman Syed Nursi (pengarang siri buku risalaatunnur). Begitu juga mereka yang lain.

Turki diisytiharkan dalam perlembagaan sebagai sebuah negara sekular. Sebab itu, masjid atau tempat sembahyang sukar ditemui di pejabat kerajaan, atau di universiti. Jika ianya wujud, tanyakan kepada rakan-rakan di sana, betapa sukarnya untuk mendirikan masjid walaupun di universiti. Turki adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. CIA world fact book merekodkan Turki mempunyai hampir 77 juta penduduk dan 99.8 % beragama Islam.

Namun masa telah mengubah segalanya. Kini Turki kembali berubah wajah. Sekolah yang dipelopori oleh jamaah an-nur terdapat di merata pelusuk dalam dan luar Turki. Pelbagai NGO Islam turut digerakkan. Fenomena Erbakan dan Erdogan juga telah mengubah corak politik Turki. Erdogan secara berani telah mencabar institusi sekular yang dipertahankan oleh golongan elit. Hari ini, dia adalah tokoh yang berani mencabar barat dalam ucapan-ucapannya di persada antarabangsa.

Pada bulan November 2004, saya telah melawat 2 buat universiti iaitu Middle East Technical University (METU) di Ankara dan Istanbul Technical Universiti (ITU). Kedatangan saya di Ankara disambut salji yang indah. Mmm sudah lama tidak bertemu salji…

Saya sempat menziarahi Masjid Kocatepe yang berdiri gagah dan mampu memuatkan 100,000 jemaah. Turki memang banyak masjid yang tersergam gagah di tengah-tengah metropolitan.

Kocatepe Mosque

Masjid Kocatepe (mampu memuatkan 100,000 jemaah)

Begitu juga di Istanbul, terdapat banyak masjid yang dikelilingi oleh 4 menara seperti masjid Sulaimaniyah, masjid sultan ahmad (Masjid biru dan sebagainya).

bluemosque

Blue Mosque, Istanbul

Kalau orang Melayu dikatakan sebagai bangsa yang mudah bertolak ansur, accommodating, orang Turki pula memang hebat dari segi hospitality, satu ciri yang ada kesamaan dengan bangsa Arab dan Sudan. Namun menurut Prof Nawi, baginya orang Turki lebih outstanding. Di Istanbul kami bertemu dengan beberapa kenalan lama Prof Nawi – mereka yang sezaman dengannya semasa di UK.

turkish_cofee

Kopi Turki - pekat. Itu bukan Robert De Niro, tapi kawan Prof Nawi (namanya Anwar, I think).

Kami juga sempat menziarahi Hikmet, rakan satu kumpulan penyelidikan di Newcastle dulu. Dia merasa sungguh gembira dengan kedatangan kami ke rumahnya yang masih lagi dalam proses perpindahan. Kami duduk di atas kotak. Di sana kami dhadiahkan dengan gula-guna dan coklat Turkish Delight dan tasbih cantik yang dihias pendant logo negara Turki.

Satu malam, ketika saya duduk termenung di dataran berhampiran makam Ibrahim, saya menghantar SMS kepada Hikmet. “salam to my brother. Your Turkiye tasbih is with me in front of kaabah.” Jawapan yang diterima membayangkan kegembiraannya. Semoga dia sekeluarga dapat cepat sampai ke sana.

Ramai juga kawan-kawan yang tidak senang dengan rombongan Turki yang jalan dengan kelompok besar. Jika gerombolan itu berjalan, tiada siapa boleh menghalang. Mereka akan terus maju ke hadapan. Ada yang melihat mereka seolah-olah ganas. Sebenarnya tidak. Berikan salam, mereka akan menjawab dengan tersenyum. Mereka adalah orang tua yang mengikut tunjuk ajar guru mereka untuk melaksanakan ibadat. Ramai yang datang dari pendalaman. Ramai juga yang takut ketinggalan dari kumpulan mereka.

Saya suka memerhatikan kumpulan-kumpulan ini. Sebelum tawaf, guru akan memberi taklimat, menceritakan kisah tentang Ibrahim, Ismail dan sebagainya. kemudian tawaf dan akhirnya, sebelum pulang guru akan memberi tazkirah ringkas. Apa dia cakap? Mana aku faham, bahasa turki…

DSCN1363

Ketika menuruni Gua Thur

Bagi memimpin dunia, pemimpin yang berwibawa diperlukan. Arab, Turki telah membuktikan kemampuan mereka. Bagaimana pula kelompok nusantara? Mampukan jumlah yang ramai di Asia Tenggara melahirkan pemimpin berwibawa bagi dunia Islam???

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s