Kembara Tanah Suci 2 – Dari Kelana Jaya Ke Mekah

Rombongan kami ialah KT84, penerbangan kedua terakhir bagi musim itu. Kami diminta berada di Kelana Jaya pada jam 12 malam dengan berpakaian ihram. Selepas majlis doa selamat dan makan malam berssama ahli keluarga kami di rumah kakak di Subang Jaya, kami berbual-bual. Oleh kerana kebanyakan adik-beradik saya memang tinggal di sekitar Kuala Lumpur, suasana malam itu memang meriah. Saya pun menggayakan kain ihram. Kedengaran adik saya berkata “Eh kau ni reti ke ikat kain tu,… nampak macam tak betul aja.” Emak pula seronok menceritakan pengalamannya sendiri semasa menunaikan haji.

Dalam keceriaan malam itu, hati saya berdebar. Bukan kerana takut berjalan jauh, kerana saya telah banyak kali ke luar negara dan mempunyai ramai kawan dari pelbagai bangsa, tetapi perasaan ketika itu bercampur-baur, antara rasa tidak sabar untuk menjadi tetamu Allah dengan rasa takut tidak dapat beribadat dengan sempurna. Hati kecil sentiasa berdoa ” Ya Allah,berikanlah aku kesihatan untuk dapat menyempurnakan ibadah ini dan berikanlah aku haji yang mabrur”.

Apabila kami tiba di Kelana Jaya, pusat transit itu telah penuh sesak. Ahli rombongan dari Johor untuk pakej mitra kembara telah sampai dengan sebuah bas  dan menginap di bilik-bilik tamu. Antara lain, terdapat beberapa staf UTM yang lain termasuk Prof Alias Md Nor, Prof Alias Yusuf, PM Dr Abd Rahim, PM Dr. Mat Rebi,En. Aziz Kadir, En. Khasim Ismail serta isteri masing-masing. Turut sama ialah al-marhum Haji Fuad Kasim dan isteri. Pada Jam 1 pagi kami mendaftar masuk ke dalam dewan dan kaum keluarga mula pulang.

Rombongan kami terdiri dari 3 kelompok utama – Negeri sembilan yang merupakan majoriti, Johor (lebih kurang 30 orang) dan Kuala Lumpur. Di samping itu terdapat juga sepasang suami isteri dari Pahang dan sepasang lagi dari Kedah. Jumlah keseluruhan di sekitar 140 orang.

Pada jam 3 pagi kami mula beratur untuk menaiki bas dengan iringan azan yang dikumandangkan oleh Ustaz Halim, pembimbing kumpulan kami. Bas berjalan laju dengan didahului kereta pengiring. Kami terus dibawa ke Penerbangan Saudi Airline.

Apabila penumpang mula tidur, waktu subuh mula menyinsing. Ustaz Halim pun menjenguk ahli rombongannya dan memberitahu masa sudah sampai untuk solat subuh.

Apabila miqat hampir sampai, sekali lagi Ustaz Halim meronda kapal terbang mengingatkan rombongannya tentang niat haji atau umrah, bergantung sama ada haji yang bakal dikerjakan ialah haji ifrad atau tamattu’.Perbahasan mengenai yang mana patut dibuat mungkin memerlukan ruang yang panjang dan tidak dibuat di sini. Cukuplah dengan menekankan bahawa, yang lebih utama ialah mendapatkan haji yang mabrur.

Kami tiba di Jeddah hampir tengahari. Untuk Jemaah haji, terminal khas digunakan. Sesampainya kami di sana ada dua lagi KT tabung haji sebelumnya yang masih lagi menunggu. Di sana, siri penantian bermula. Strategi terbaik ialah bersabar, bertenang dan berzikir. Semuanya diuruskan oleh pembimbing kumpulan.

Bagi kami, urusan imigresen berjalan lancar. Penantian di terminal juga tidak terlalu lama berbanding dengan 2 kumpulan sebelum kami. Apabila sampai di sebuat pusat transit, bas yang kami naiki berhenti bagi pemeriksaan passport dan lain-lain. pihak pengurusan muassasah juga menaiki bas dan mengedarkan sedikit makanan. Ketua kepada muassasah Asia Tenggara juga datang mengucapkan salam dan selamat datang kepada kami  di atas bas. Walaupun ini perkara kecil, bagi saya ia memberi impak yang baik kepada jemaah haji yang mungkin sudah letih menunggu beberapa kali, selepas melalui penerbangan yang panjang.

Kami sampai di Mekah ketika azan asar berkumandang. Ini menimbulkan kesukaran kerana bas yang kami naiki tidak dapat memasuki kawasan di mana hotel kami terletak. setelah menunggu begitu lama, kami mula berjalan kaki ke hotel, meninggalkan beg di dalam bas. Selepas itu saya dan isteri terus ke masjidil haram.

Bagaikan terpukau, kaki saya terus melangkah ke hadapan. Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di rumah Allah yang suci itu. Masa yang ada ketika itu begitu singkat kerana kami masih perlu menguruskan urusan check-in bilik dan beg yang belum sampai.

Malam itu kami berkumpul di hadapan hotel dan taklimat ringkas diberikan. Selepas itu kami bersama-sama menuju ke kaabah untuk mengerjakan tawaf. Walaupun semua telah dirancang untuk dilaksanakan secara berkumpulan, suasana sesak menyebabkan saya mengambil keputusan untuk bersendirian, hanya berjalan bersama isteri. Setelah selesai mengerjakan umrah, saya hanya menggunting rambut. Beberapa hari lagi baru saya akan bercukur, kata hati saya ketika itu.

Selepas itu, kami terus ke kaabah, mencari ruang kosong di dataran kaabah untuk bermunajat. Berbumbungkan langit di malam yang nyaman itu, saya duduk berdoa, bersyukur kepada Allah SWT kerana keizinananNya jualah yang membolehkan saya sampai di situ. Di keliling kaabah, kelihatan manusia sibuk beribadah, mengerjakan tawaf tidak putus-putus. Subhanallah… Teringat kata-kata seorang kawan saya, “bila aku tengok ramainya orang kuat beribadat di masjidil haram, bertawaf di kaabah dan bersembahyang sepanjang malam, maka aku bertanya, bolehkah aku masuk syurga, sebab ramainya orang lebih kuat beribadat dari aku…”.

Benar, bila berada di sana dengan manusia yang bergerak bagaikan gelombang, hati akan merasa kecil dan rendah. Ketika itu hati boleh merasakan ..”jika aku berhenti beribadatpun, tentu tidak ada kesan kepada Allah kerana begitu ramai lagi mereka yang mahu dan asyik beribadat..”. Sesungguhnya Tuhan tidak memerlukan kita, sebaliknya, kitalah yang memerlukan Tuhan.

Saya cukup suka melihatkan telatah rombongan orang-orang tua dari turki yang dipimpin oleh pembimbing muda. Hati saya berkata “Apa yang dirancang oleh Attartuk telah mula gagal dengan lahirnya ramai anak muda seperti itu”. Insya Allah akan saya coretkan tentang Turki di dalam entri akan datang.

Saya pulang ke bilik selepas tengah malam. Sampai di bilik rakan yang lain sudah ada – Alias, Fuad, Wagimin dan Jamil.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s