Kembara Semenanjung – 10

Kembara Semenanjung – 10

(Batu Feringhi-Butterworth-Kuala Kangsar)

Dari Batu Feringhi, mereka menaiki bas dan seterusnya feri untuk ke Butterworth. Dari sana mereka sekali lagi berpecah berdua-dua untuk perjalanan hitch-hike ke Kuala Kangsar. Setelah berjalan lebih kurang 2 km, Chad dan Mansai dapat menumpang sebuah kereta Mercedes yang besar berlogo kerajaan di hadapannya. Apabila kereta itu berhenti, cermin di bahagian penumpang dibuka dan pemandu bertanya, “Hang ada pisau kah? Dadah ada bawak kah?” Tanyanya dengan nada serius. Pemandu itu mempunyai misai yang tebal dan nada tegasnya boleh memeranjatkan orang. “tak ada bang, kami ni budak sekolah, tak ada pisau, tak hisap dadah” jawab Chad. “OK hangpa boleh naik”. Chad duduk di hadapan dan Mansai duduk di belakang. Pemandu itu peramah orangnya. Rupa-rupanya dia adalah pemandu kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Dia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan akan menjemput YDP negeri Pulau Pinang di Lapangan Terbang Subang petang itu.

Kesemua mereka sampai di Kuala Kangsar sebelum jam 4 petang. Pertandingan akan bermula jam 5 petang. Pertandingan bolasepak Piala Akmar Aziz adalah tradisi penting bagi pelajar STAR. Setiap tahun secara bergilir-gilir, STAR dan MCKK akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan persahabatan itu. Walaupun ianya perlawanan persahabatan, kadang-kadang insiden yang berlaku tidak pula melambangkan persahabatan.

Mungkin sejarah penubuhan dua sekolah itu menyebabkan saingan dan pergeseran sentiasa berlaku.Kedua-dua sekolah itu adalah sekolah aliran Bahasa Inggeris. MCKK menerima pelajar terbaik dari sekolah rendah aliran Inggeris, manakala STAR mengambil pelajar dari sekolah aliran Melayu dan semua pelajar dikehendaki melalui tahun peralihan. Oleh yang demikian, kebanyakan pelajar MCKK datangnya dari keluarga yang lebih tinggi status sosialnya. Ramai yang datang dari Bandar. STAR pula dipenuhi oleh pelajar luar bandar. Ada yang perlu menaiki sampan dari rumah sebelum sampai ke Bandar untuk menaiki bas atau keretapi. Tidak hairanlah kalau di peringkat awal penubuhan sekolah itu, apabila helikopter berlegar di udara, pelajar lari ke tingkap untuk melihatnya (diceritakan oleh Mr. Tan Teong Leong). Keadaan berubah di tahun 70an, terutama apabila semua sekolah menengah diwajibkan beraliran bahasa melayu, mulai tahun 1976. Ketika itulah Chad dan rakan-rakannya memasuki STAR.

Kewujudan STAR memberi cabaran hebat kepada MCKK terutama dalam bidang sukan. Samada ragbi, bolasepak, hoki, bola tampar dan bola keranjang, STAR semakin menyerlah sehingga berjaya menjuarai negeri Perak, malah Malaysia. Kebanggaan utama STAR turun-temurun ialah ragbi. Namun pertandingan bolasepak Piala Akmar Aziz adalah penting dan ditunggu setiap tahun.

Petang itu mereka menyaksikan perlawanan bolasepak. Walaupun permainan yang ditunjukkan tidak begitu memberangsangkan, semangat menyokong sekolah masih amat tinggi. Memang prestasi sukan di hujung 70an agak merosot. Era itu agak mengelirukan minda anak muda di STAR kerana pengetua dan guru disiplin sekolah merupakan bekas pelajar MCKK. Kedua-duanya pula menjadi jurulatih pasukan ragbi. Adakalanya mereka menegur isu disiplin seperti rambut panjang dan sebagainya ketika sesi latihan dan ini menyebabkan ramai pemain yang berpotensi mengambil keputusan tidak turun berlatih. Akhirnya pelajar tingkatan 5 tahun 1980 tidak mewakili sekolah dalam pasukan ragbi (sebenarnya, mereka mengambil keputusan untuk memboikot pasukan ragbi).  STAR kalah teruk tahun itu. Menjelang perlawanan ragbi persahabatan menentang MCKK, Cikgu Ahmad Jelani memujuk Mansai, Din Kuda dan lain-lain yang mewakili pasukan bawah 15, dua tahun sebelumnya untuk mewakili sekolah dalam pertandingan itu. Kesemua mereka bersetuju kerana sayangkan Cikgu Jelani, namun disebabkan kurang latihan STAR tewas…

Dari Kuala Kangsar, mereka menumpang bas STAR untuk ke Ipoh. Malam itu mereka bermalam di rumah Lennon.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s