Kembara Semenanjung – 5

Kembara-Semenanjung – 5 (Kota Bharu- Kuala Trenganu – Kuantan – Temerloh)

Dari Kota Bharu, kami meneruskan perjalanan hitch-hike dengan kombinasi 2 + 3. Hari yang panas terik membuatkan perjalanan kami begitu mencabar. Setelah menumpang beberapa kenderaan, kami sampai di bandar Kuala Trengganu lewat petang itu dan seperti yang dirancang, kami singgah di rumah Ajis. Sampai di situ aku menuju ke rumah Pak Awang. Dalam fikiran ketika itu aku ingin pergi ke bilik tempat kami menginap dulu. Mansai menegurku, “eeeh nak pergi mana tu?”, Aku tersentak dan tertawa. Mak cik- makcik yang ada pun tertawa dan kami dipelawa naik ke rumah Pak Awang, di bilik kami menginap dahulu.

Seperti biasa malam hari dipenuhi dengan sesi bercerita dengan diselang seli lawak jenaka dan kutuk-mengutuk kesilapan masing-masing. Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh ditimba dari suasana sebegini. Kehidupan tidak semestinya terlalu serius sepanjang masa, malah pelbagai suasana boleh dimanfaatkan bagi memperkayakan peribadi manusia.

Keesokannya kami bertolak menuju ke Kuantan. Sama seperti dahulu, kami mengikut jalan pantai dan menyusuri tempat bersejarah – iaitu tempat kami bekerja sebagai buruh lampu jalan. Sambil berjalan dan menahan kereta tanpa henti, fikiranku melayang teringatkan peristiwa di sepanjang jalan Kuala Trengganu-Kuala Ibai itu. Kisah menarik derang, membawa beca berisi batu bata, terbongkok-bongkok menyusun batu-bata di dalam parit, semua dilakukan di bawah sinaran matahari pantai yang terik membakar kulit, memercik peluh. Ya, aku telah bekerja sebagai buruh di panas terik selama sebulan lamanya.

Hari itu nasib kami tidak begitu baik. Setelah berjalan beberapa kilometer, kami masih belum mendapat kenderaan untuk ditumpangi. Tiba-tiba Breng mengumumkan, “aku nak baliklah, nak tengok pertabalan sultan…”. Berbagai-bagai taktik digunakan untuk menghalangnya – pujuk, perli – semuanya gagal. Akhirnya dia berpatah balik dan kami tinggal berempat. Aku bersama Mazru dan Mansai bersama Salim.

Aku dan Mazru sampai di Dungun ketika hari menjelang senja. Dari sana kami menumpang lori sehingga ke Kuantan dan sekali lagi aku berjalan kaki ke Teluk Cempedak, kali ini berdua dan tidak seorang diri. Setelah bersiar-siar di pantai, kami tidur di atas bangku di pantai itu. Teluk Cempedak pada masa itu tidak sibuk seperti hari ini dan tidak dicemari dengan bar dan kelab malam.

Hari ini, didorong oleh pertumbuhan industri pelancungan, tempat minum arak dan berhibur tampak jelas terpampang berhampiran dengan Hotel Hyatt. Malah suasana yang sama terjadi di banyak tempat. Cuba anda lihat di Pantai Cherating, Pekan Batu Feringhi di Pulau Pinang, Uptown di Bangsar, malah di banyak tempat lagi. Melihatkan orang putih minum arak di tepi jalan, anak Melayu Islam juga terikut-ikut.

Kami sungguh bernasib baik kerana malam itu begitu indah dengan langit yang dihiasi kecerahan bulan dan kelipan bintang. Angin laut pula bertiup perlahan menampar muka dengan lembut, menangkap haba, mendinginkan tubuh. Desiran ombak yang memecah kesunyian malam dengan rentak tersendiri menjadi muzik penghibur dan membuatkan aku tertidur dengan nyenyak hingga ke pagi.

Awal pagi itu kami terpegun menatap keindahan suasana matahari terbit. Pantai yang sunyi itu sungguh mententeramkan perasaan. Nun jauh kelihatan bot-bot nelayan keluar mencari rezeki buat keluarga tersayang. Sungguh asyik kami menatapi saat ketika hari memulakan kehidupan. Suasana itu sungguh indah dan penuh makna, malah lebih indah lagi kerana tiada masa yang lebih indah dari masa muda, ketika manusia menempuh hidup mencari pengalaman, membina keperibadian tanpa tanggung-jawab yang berat di bahu.

Di era itu, aku tidak langsung merasa takut untuk tidur di tepi pantai, atau berjalan di mana saja, siang ataupun malam, walaupun bersendirian. Mungkin kerana usiaku yang muda yang mendorong sikap tidak berfikir panjang dalam semua perkara ataupun mungkin juga kerana kadar jenayah di Malaysia pada masa itu adalah rendah. Mungkin juga kerana masyarakat Malaysia pada masa itu lebih penyayang, tidak terlalu materialistik dan mementingkan diri sendiri seperti hari ini. Mungkin juga kerana aku biasa dengan keadaan kehidupan di kampung yang memang mencabar.

Ya…, mengenang kembali kehidupan di Kg. Krubong di tahun 70an, kami memang banyak berjalan kaki dan menaiki basikal. Perkhidmatan bas dari Bandar Melaka ke Kg. Krubong hanya 4 kali sehari – 8 pagi, 12 tengahari, 3 petang dan 6 petang. Perkhidmatan teksi juga sukar didapati, sama ada dari kampung maupun untuk pulang dari bandar. Ini adalah kerana pada masa itu, jalan raya dari simpang Cheng ke Krubong mati di hadapan Sekolah Kebangsaan Krubong. Jalan yang menghubungkan Krubong dengan Kg Pantai Belimbing yang ada pada hari ini masih lagi merupakan jalan tanah merah yang diguna orang kampung dan pekerja ladang getah milik Guthrie. Melalui jalan itulah aku menaiki basikal untuk ke ladang getah tempat bapaku bekerja.

Sebagai alternatif, kami berjalan kaki atau menaiki basikal ke Kg. Gangsa yang letaknya di seberang sawah padi dan selepas menyeberangi Sungai Melaka yang memisahkan Gangsa dengan Krubong. Jika berbasikal, aku akan meninggalkan basikal di rumah Utih Mat Som yang terletak di Batu 8, dan menaiki bas yang berulang-alik antara Batang Melaka/Kuala Sungga dengan Bandar Melaka. Perkhidmatan bas di laluan itu adalah lebih kerap dan tamat jam 12 malam. Namun untuk ke situ, perjalanannya melebihi 5 km dan laluannya sukar. Sebelum jambatan kayu merentasi sawah padi dibina, kami terpaksa berjalan di atas batas sawah sehingga sampai ke benteng sungai. Benteng itu dibina di sepanjang sungai bagi mengawal banjir, namun keberkesanannya tidak seperti yang diharapkan dan setiap tahun Sungai Melaka melimpahkan airnya ke kampung kami dan jika benteng itu pecah, banjir yang lebih besar berlaku seperti yang terjadi di hujung tahun 1970.

Aku tak ingat tarikh sebenar jambatan sawah itu dibina, tapi ianya di hujung tahun 70an. Pada tahun itu, dua buah jambatan kayu telah dibina – satu di Kg. Sungai Badau dan satu di Kg. Krubong, tidak jauh dari rumah kami. Jambatan selebar 5 kaki yang hanya boleh dilalui motosikal, basikal atau pejalan kaki itu, menghubungkan tali air di tepi kampung dengan benteng di tepi Sungai Melaka. Jambatan di Kg Krubong adalah lebih pendek, panjangnya kurang sedikit dari 1 km. Namun ianya lebih mencabar di malam hari kerana laluan selepas dari jambatan itu melibatkan perjalanan 3 km di atas benteng sungai yang di sepanjangnya terdapat banyak pokok-pokok besar dan semak-samun. Jadi, jika berjalan kaki atau berbasikal, laluan itu jarang sekali diikuti di malam hari.

Jambatan di Sungai Badau pula panjangnya hampir 2 km dan merentasi sawah padi yang luas. Di siang hari ianya sangat cantik tetapi di malam hari ianya juga mencabar kerana sebelum sampai ke penghujung, laluan itu merentasi kelompok pokok rumbia yang rimbun yang menyebabkan suasana menjadi segelap-gelapnya, gelap gelita. Percaya atau tidak jika aku katakan, setiap kali ketika merentasi kawasan pokok rumbia itu, aku terbau pelbagai masakan, ubi bakar, sambal goreng dan macam-macam lagi. Dari mana datangnya bau itu, sehingga kini masih menjadi misteri. Adakah ianya satu realiti atau fantasi – juga sehingga kini aku tidak pasti. Ketika merentasi laluan itu, hati berdebar dan tengkuk merasa sejuk dan bulu roma pasti berdiri. Apabila sampai di rumah yang pertama iaitu rumah Pak Andak Dengkil, aku seringkali merasa kepalaku besar, hampir sebesar dulang hidangan makanan, mungkin kerana rambutku juga sudah berdiri tegak kerana seramnya perjalanan itu. Namun, aku sering melaluinya sama ada berkawan ataupun seorang diri kerana ia adalah sebahagian dari keperluan hidup. Bila ada keperluan, manusia akan sanggup merentasi apa saja rintangan yang menghalang. Mungkin latihan itu telah menjadikan aku budak yang berani walaupun sebenarnya di dalam hati setiasa ada perasaan takut.

Kembali kepada kisah kembara semenanjung. Dari Kuantan, kami menyambung semula perjalanan mengikut jalan persekutuan merentasi bandar Maran sehingga ke Temerloh. Di sana kami terus mencari Hanapi di rumah rakit Sungai Semantan. Kalau kali pertama dulu, kami teragak-agak untuk terjun ke dalam sungai, lawatan kali kedua ternyata berbeza. Kami sebenarnya merindui air sungai yang sejuk itu. Itulah Temerloh, tempat bertemunya Sungai Semantan dengan Sungai Pahang. Tempat perahu yang kudayung karam…

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s