Kembara Semenanjung – 4

Kembara Semenanjung -4

Lokasi: Kuala Trengganu, Kuala Berang, Kota Baru.

Watak utama; Chad, Mansai, Salim, Ajis, Breng, Mazru.

“Telah sebulan kita di sini…” kataku kepada Mansai dan Salim. Kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan setelah mendapat bayaran upah bekerja. Hasrat itu disampaikan kepada Pak Awang.

Apabila tiba harinya, pagi-pagi lagi Pak Awang datang ke bilik bertemu kami. Dengan bersahaja dia berkata, “alhamdulillah, dah kerja sebulan di sini, makan percuma dan penginapan percuma…” Dia pun memberi beberapa nasihat, satu ucapannya yang masih diingati ialah, “Pok Cik berdoa kepada Allah supaya anak-anak semua, satu hari nanti akan menjadi pegawai besar, orang yang berjaya…”. Alhamdulillah, kini kami bertiga boleh dikatakan berjaya dalam hidup masing-masing mungkin juga sumbangan do’a Pak Awang yang telah diterima Allah. Hari itu, kami meninggalkan Kg. Hiliran Masjid, Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Destinasi seterusnya ialah Kuala Berang, Terengganu.

Kuala Berang

Pak Awang dan Ajis menghantar kami ke perhentian bas Kuala terengganu dan dari sana, kami menaiki bas untuk bertemu Sobree @ Breng di Kuala Berang. Semasa di STAR, Breng adalah salah seorang dari kawan rapatku di rumah kuning. Kami berlima (aku, Kasim, Jali, Gang dan Breng) memang banyak menghabiskan masa bersama di petang dan malam hari. Aku tak pasti bagaimana asal nama Breng itu kami beri padanya, tapi kemungkinan besar kerana dia selalu bermain gitar dan seringkali bunyi breng, breng, breng… Tak pasti lagu apa yang dimainkan. Ha.ha. Breng memang tak ada bakat main gitar tapi dia telah membeli sebuah gitar kapuk. Akhirnya Jali lebih pandai dari Breng.

Ketika kami sampai di rumahnya, Breng berada di sungai, dan setelah dipanggil pulang, dia terkejut melihat kedatangan kami, tapi di raut wajahnya tampak jelas keriangan.

Malam itu kami berkongsi cerita. Sedang leka bercerita tiba-tiba kelihatan tebuan terbang di dalam rumah. Rupa-rupanya ada sarang tebuan tanah dekat dengan bumbung rumah. Ini merisaukan Salim tetapi Breng dengan selamba meyakinkan kami, bahawa tebuan itu tak kacau kami. haha… Hati tetap berdebar juga. Namun, malam itu, seperti biasa kami tidur nyenyak. Keesokannya Breng menyertai kami untuk perjalanan ke Kota Bharu.

Pulai Chondong

Dari Kuala Berang, kami meneruskan hitch-hike dengan kombinasi 2 dan 2. Aku bersama Mansai dan Salim bersama Breng. Setelah beberapa kenderaan ditumpangi, akhirnya kami bertemu di tempat yang dijanjikan iaitu stesen bas bandar Kota Bharu. Dari situ kami menaiki bas menuju ke Pulai Chondong. Setelah beberapa kali bertanyakan petunjuk jalan, akhirnya kami sampai ke rumah Mazru di Kg. Pangkal Gong. Kami disambut gembira oleh Mazru dan keluarganya. Rumah Mazru terletak di tengah sawah padi yang ketika itu sedang masak menguning. Tahun itu, Pulai Chondong dirahmati dengan hasil tuaian yang lumayan. Pemandangannya indah, suasananya tenang, amat terasa kelainannya.

Malam itu kami berbual panjang dan kami membentangkan projek Kembara Semenanjung kepada Mazru. Dia kelihatan amat berminat. Berbeza dengan kami, pada masa itu yang banyak mengambil mudah dengan kehidupan, Mazru lebih banyak berfikir panjang. Antara kata-katanya yang sehingga hari ini jelas kuingat ialah, “Mu tak bayar sikitpun kepada Mak Ajis?” Tanya Mazru. Kami terdiam. “Kau orang patut bayar sikit, sebab kita dah besar…”, sambungnya lagi. Bermacam-macam perkara bermain di kepalaku pada masa itu. Memang kami tetamu, tapi sebulan adalah tempoh yang lama, kata hatiku. Sebenarnya, kami memang tak terfikir langsung tentang bayaran makan malam kepada Mak Ajis kerana Pak Awang dah beritahu semuanya percuma. Kami menyangka mungkin juga Pak Awang selaku majikan membayar makan malam kami. Ketika itu kekeliruan menyelubungi pemikiran, tetapi ianya hilang ekoran lawak jenaka yang muncul satu demi satu ketika malam semakin gelap.

Memukul Padi

Keesokannya, ketika makan, Mazru menceritakan rancangan kami kepada ayahnya. Pakcik Jusoh hanya diam mendengar penjelasan anaknya itu. Dia kelihatan berfikir. Setelah beberapa ketika, Pak Cik Jusoh berkata dengan loghat Kelantan yang pekat, maksudnya, “sekarang ni musim memukul padi, hasil banyak dan kerja pun banyak.” Kami dengan spontan menawarkan diri untuk membantu kerja-kerja di sawah. Dalam hal ini, akulah yang paling berkeyakinan sekali kerana bapaku juga mengerjakan sawah padi. Jadi aku telah mempunyai pengalaman menyabit dan memukul padi (menurut istilah kami di Melaka, membanting padi).

pukul_padi

Bila mengenang kisah ini kembali, aku rasa ketika itu Pak Cik Jusoh tidak begitu senang melibatkan kami, namun dia bersetuju kerana ingin mendidik Mazru supaya tidak meninggalkan tanggung-jawab keluarga. Keesokannya, kami mula turun ke sawah. Ada yang menyabit padi, ada yang memukul. Memandangkan kebanyakan kami kurang berpengalaman, banyak juga padi yang tercampak keluar dari tong. Lagipun, Tong di Kelantan adalah kecil dan cetek, berbeza dari tong yang kami gunakan di Melaka.

Satu hari, ketika makan malam, Pak Cik Jusoh berkata, “sehari dua lagi, selepas dapat makan beras nasi dagang, bolehlah kita pergi ke Golok”. Wow, kata hatiku, itu adalah pengumuman yang tidak disangka-sangka. Yang paling menarik sekali ialah kerana kami akan pergi ke Siam tanpa passport. Itu tidak jadi masalah ketika itu kerana Pak Cik Jusoh berasal dari Rantau Panjang dan saudara mara pun ramai di Golok.

Sampai hari yang ditunggu, nasi dagang beras baru dihidang untuk makan tengah hari. Enak sungguh rasanya dan kami makan dengan banyak sekali sehingga malas nak berjalan selepas itu. Atas sebab-sebab teknikal, rancangan untuk ke Golok dibatalkan dan kami hanya bersiar-siar di bandar Kota Bharu. Di sana, aku membeli sepasang kasut Adidas ATP, bagi menggantikankan kasutku yang telah rosak.

Selepas seminggu di Pulai Chondong, Mazru diizinkan bapanya untuk bersama kami meneruskan perjalanan. Kenakalan fikiran kami anak belasan tahun telah membuatkan kami membuat beberapa telahan tentang keizinan yang diberi. Dari satu sudut, kami menyangka mungkin bantuan kami telah mencukupi, pada masa yang sama juga mungkin Pak Cik Jusoh nampak pembaziran yang disebabkan kerja kami yang tidak kemas. Apapun sebabnya, aku amat berterima kasih kepada Pak Cik Jusoh yang telah memberi tunjuk-ajar semasa kami di sana. Pengalaman seminggu itu cukup menarik, dan sehingga kini menjadi kenangan dalam hidup. Nostalgia itu telah menguasai perasaanku semasa aku melawat Pulai Chondong beberapa kali di awal dekad ini. Ketika anakku bersekolah di Kelantan.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Kembara Semenanjung – 4

  1. xmizanx says:

    trimas di atas post entry nya…. you have some nice experience “]

  2. nizam says:

    cerita yang bagus. aku juga pernah hitch hike kuala berang – k.L sebanyak 2 kali. tapi tak berkesempatan menimba pengalaman macam kamu. al maklumla sudah kawin. keep up travelling guys. “TRAVELLING IS PART OF THE EDUCATION”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s