Kembara Semenanjung -3

(Kisah di sekitar Kuala Terengganu. (Jan-Feb 1981). Watak Utama: Chad, Salim, Mansai, Ajis)

Kami disambut gembira oleh Ajis. Guana mung? Tobaklah Chak tok sangke mung boleh sapai. Dan macam-macam kata-kata yang pekat dengan telo Terengganu disampaikan oleh Ajis semasa bertemu kami. Malam itu kami bermalam di sebuah bilik dalam rumah Pak Awang yang bertentangan dengan rumah keluarga Ajis. Pak Awang ialah bapa saudara kepada Ajis. Dia adalah seorang kontraktor elektrik, yang ketika itu sedang sibuk dengan projek memasang lampu jalan antara Kuala Terengganu dan Kuala Ibai,. Projek itu perlu siap sebelum majlis pertabalan sultan, lebih kurang 2 bulan dari tarikh itu.

Keesokannya kami berjalan-jalan di Kuala Terengganu sambil membincangkan perancangan seterusnya. Memandangkan kami telah hampir kehabisan wang, kami mengambil keputusan untuk bekerja dengan Pak Awang . Kami memulakan pekerjaan sebagai buruh sehari kemudian, dengan imbuhan sebanyak RM12 sehari. Makan pagi dan makan tengahari disediakan oleh majikan. Selama sebulan lamanya, setiap hari peluh membasahi tubuh, dan berbagai-bagai pengalaman diperolehi. Berikut adalah beberapa petikan pengalaman kami:

Buruh Lampu Jalan

Tugas utama kami ialah membantu menanam kabel bagi membekalkan elektrik kepada lampu jalan. Kami menarik kabel keluar dari gelungan di drum (derang, kata Ku Mat, pakcik kecil yang sangat ceria orangnya). Walaupun ianya nampak mudah, realitinya agak sukar disebabkan laluan yang tidak rata – adakalanya terpaksa merentas parit, lubang dan sebagainya. Sebatang besi panjang diletakkan menerusi lubang di tengah derang, dan besi itu diletakkan di atas sepasang struktur besi yang amat berat dan stabil. Selalunya setiap struktur besi itu perlu dipikul oleh 2 orang, tetapi lebih kurang 2 minggu selepas kami mula bekerja, muncul “orang gagah”. Dia seorang diri boleh mengangkat struktur itu, dan selepas itu, tugas itu menjadi tugasnya. ”Rupa-rupanya dia pernah berlakun aksi mendukung orang dalam drama Melayu. Kami menarik kabel itu beramai-ramai, kerana ianya memang berat. Terik, Terik, kata Ku Mat dan rakan-rakan, sekaligus menghiburkan diri dalam suasana kerja di tengah panas matahari.

Satu lagi tugas ialah menaburkan pasir ke dalam parit yang digali oleh jentera JCB. Dasar parit itu diratakan dengan cangkul dan ditabur pasir sebelum kabel diletakkan di atasnya. Selepas itu kabel akan dihempapkan dengan batu-bata, yang seterusnya akan disimen sebelum parit itu ditimbus semula. Fungsi batu-bata itu ialah untuk melindungi kabel dari objek tajam yang mungkin digunakan jika kawasan itu digali semula di masa akan datang. Begitulah rutin harian kami, setiap hari selama sebulan, kerana kami juga bekerja di hujung minggu. Ada kalanya Mansai dan Salim bertugas menanam rumput di istana, dan bila pulang masing-masing mengeluh sakit pinggang. Aku selalunya menyusun batu bata, mengangkut batu bata dan menarik derang.

Setelah beberapa lama bekerja di situ, Hanapi datang menziarahi kami. Setelah beberapa hari sama-sama bekerja sebagai “buruh lampu jalan”, dia pulang ke Temerloh, dan berpesan supaya kami singgah di rumahnya nanti kerana dia ingin ikut serta.

Beca Batu-Bata

Batu-bata diangkut dari longgokan yang ditinggalkan oleh lori dan diedarkan di sepanjang parit dengan menggunakan beca roda tiga. Beca ini mempunyai ruang kotak (atau tong) kayu berbingkai besi, yang boleh memuatkan banyak batu bata, dan dipasang di bahagian hadapan basikal. Bagi mengawal perjalanan, pemandu perlu mengimbangi besi panjang yang dipatri selari dengan kerangka atas kotak pengangkut tersebut. Apabila penuh berisi batu bata, ianya sukar dikawal. Apabila perlahan, ianya berat, manakala jika bergerak laju, ia boleh terhayun ke kiri atau ke kanan, terutama jika pemandu tidak cekap. Ianya amat mencabar ketika membuat belokan yang tajam.

trishaw_01Beca itu lebih kurang begini, cuma bahagian depan berbentuk kotak

Suatu hari, ketika aku ingin menyeberang jalan, tiba-tiba muncul sebuah motosikal dari arah berlawanan. Akupun mengayuh dengan cepat dan dalam keadaan sedang membelok, kotak berisi batu bata yang berat itu terhayun ke kanan dengan laju dan aku gagal mengawalnya. Beca itu pun terbalik di tengah jalan raya, aku tertiarap di sebelahnya dan batu-bata bertaburan. Pemandu motosikal itu pun gagal mengawal kenderaannya dan terbabas ke tepi jalan. Mujur tiada kecederaan yang serius. Aku mengalami luka di lutut dan siku. Semua pekerja berkerumun menolongku dan selepas itu berbicara dengan pemandu motosikal dan insiden itu dikira selesai begitu saja.

Menghadiri Kenduri

Satu malam, kami menemani Ajis menghadiri kenduri di sebuah rumah yang berhampiran. Dalam majlis itu mereka membaca kitab beramai-ramai. Seorang membaca dengan kuat dan yang hadir pula mengulanginya. Bacaan berlagu itu amat menarik, kerana ia mengikut rentak tertentu. Aku tidak ingat kitab apa yang dibaca, tetapi berkemungkinan sama dengan bait-bait syair Arab yang selalu dibaca di majlis marhaban di Johor. Selepas seseorang memimpin pembacaan untuk seketika, dia akan menyerahkan kitab kepada orang di sebelah kanan, dan orang itu pula akan memimpin syair itu. Ketika kitab sudah begitu hampir (2 atau 3 orang dari tempat dudukku), Mansai membisik kepadaku, “sekejap jagi aku sakit perut dan tinggalkan majlis ini…”. Aku pun berdebar dan mula berfikir, “yang mana satu lebih baik, minta maaf dan serahkan kitab kepada orang lain, atau buat helah nak ke tandas…” Alhamdulillah, bacaan tamat sebelum sampai kepada giliranku. Fuuuh, lega…

Keropok Lekor di Cabang 3

Pada malam hari, kami seringkali pergi makan keropok lekor di sebuah gerai di Chabang Tiga. Minuman kegemaran aku pada masa itu adalah Kopi-Teh iaitu, kopi dicampur teh dan susu pekat manis. Kali pertama aku memintanya, Mek yang mengambil pesanan itu tersenyum, aku pun melukiskan gambar minuman di atas kertas. Lapisan bawah sekali susu, kemudian kopi, kemudian teh dan akhirnya air, mengikut aturan ketumpatan masing-masing, seperti yang diajar dalam kelas Fizik.

Sedikit tentang pembelajaran Fizik di STAR. Aku teringat kepada Mr. Teh Lit Sin, yang bersemangat mengajar Fizik Tingkatan 4. Kelas Fizik dibuat dalam makmal. Setiap meja menempatkan 3 orang pelajar, dan terdapat 5 baris meja di sebelah kiri dan 5 meja di sebelah kanan. Mr. Teh Lit Sin adalah guru yang peramah, walaupun pelat berbahasa Melayu. Dia mengajar dengan bersungguh-sungguh. Kepelatannya menyebabkan ekspresi mukanya kelihatan kelakar dan menghiburkan. Dialah yang mengatakan kepadaku bahawa di Malaysia terdapat sedikit sahaja Jurutera Kimia sedangkan industri kimia dan petrokimia bakal berkembang. Maklumat itu telah mendorong aku untuk memilih bidang Kejuruteraan Kimia ketika memohon biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam. Semasa Tingkatan 5, guru yang mengajar (maaf, namanya tidak kuingat) bersuara perlahan dan serius, maka ramai juga yang tidur dalam kelasnya yang bermula jam 7.40 pagi. Setelah cubaannya untuk mengambil perhatian kami gagal, beliau fokus kepada yang tidak tidur. Apabila kami tersedar dari tidur, selalunya di hujung waktu, rambut kami semuanya telah diwarnakan dengan kapur putih dari pemadam papan hitam oleh guru itu… Haha… kenangan lama. Bukan salah guru, salah kami juga…

Santai di tepi Sungai Terengganu

Beberapa kali kami bersantai di tepi Sungai Terengganu di malam hari. Suasana nyaman dengan tiupan bayu malam dan kerlipan cahaya dari bot-bot yang berulang alik antara bandar Kuala Terengganu dan Seberang Takir amat menghiburkan. Kami berbual tentang berbagai-bagai cerita. Kisah di tempat kerja, nostalgia hidup di STAR dan rancangan masa depan. Lewat malam, kami pulang dengan berjalan kaki.

20 tahun kemudian, ketika aku melawat Seberang Takir, aku berbual dengan seorang pakcik yang sedang membaiki sampan. “… sekarang ni tak macam dulu lagi, budak-budak dah mudah ke bandar, bas mudah sebab dah ada jambatan. Pengaruh bandar dah masuk kampung. Malam-malam tengok wayang. Budak-budak pun makin liar… “ keluhnya. Aku hanya mengangguk dan mengiyakan percakapannya. Itulah harga pembangunan, kata hatiku. Setiap kali datang pembangunan, kesan sosial juga ikut sama, dan jika tiada tindakan menanganinya, akibat buruk mungkin dirasai. Ia berlaku di mana-mana.

Beli borang UPU di Pejabat Pos Gong Kapas

Cerita akhir yang ingin disampaikan dalam slot ini ialah kisah kami membeli borang UPU di pejabat Pos Gong Kapas. Kami dipandu oleh mandur tempat kerja dengan kereta Mitsubishi Lancer. Apabila sampai di sana, sudah ramai lepasan SPM yang beratur. Ternyata ramai pelajar wanita berbanding lelaki. Kami pun memasuki barisan dalam keadaan berpakaian kerja – baju dan seluar lusuh bersalut tanah di sana sini, dan memakai topi mengkuang. Sedang menunggu giliran, Salim menegur beberapa orang pelajar perempuan, “… nak minta U mana?..” katanya. Mereka diam bersahaja. Apabila soalan diulang, ada seorang menjawab “… sedarlah, mung tu kerja apa…” Kami tersentak dengan jawapan itu dan terus tertawa. Wah, rendah betul status kita, pekerja binaan. Dalam perjalanan pulang kami ketawa besar. “…tulah, kerja kontrak nak ngorat mek Ganu, mana laku…”

Haha…, satu lagi kenangan hidup.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s