Kembara Semenanjung – 2

Dalam siri 2 ini watak utama: Chad, Mansai, Salim, Hanapi, Cobra, Ajis

Kuantan

Usaha mengajak Cobra bersama kami juga gagal, dan setelah sehari di situ, kami bertiga meneruskan perjalanan. Untuk mendapatkan kenderaan dalam kumpulan 3 orang ternyata sukar. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk berpecah. Mansai bersama Salim dan aku seorang diri. Dari situ aku menumpang sebuah motosikal sampai ke jalan besar Temerloh – Maran.

Seterusnya aku berjalan menghala ke Maran sambil menahan kereta dan setelah beberapa lama, sebuah lori berhenti untuk menumpangkanku. Pemandu lori tersebut seorang yang ceria dan rajin bercerita, namun kadang-kadang aku terlelap juga. Semasa merentasi kawasan ladang kelapa sawit dan hutan, sebelum sampai ke pekan Maran, tiba-tiba bahagian enjin lori kelihatan berasap. Kamipun berhenti dan selepas meneliti bahagian enjin, pemandu memberitahu bahawa air dalam radiator hampir kering.

Kamipun turun ke dalam semak untuk mencari air, dan selepas beberapa minit, sumber air ditemui dan masalah dapat diatasi. Perjalanan diteruskan. Setibanya kami di Bandar Kuantan, hari telah malam. Setelah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pemandu lori itu, aku pun terus menuju ke kedai untuk makan malam sebelum meneruskan perjalanan ke tempat pertemuan kami pada malam itu, Teluk Cempedak.

Oleh kerana hari sudah agak lewat (sekitar jam 9-10 malam), aku terus berjalan dari bandar Kuantan menuju ke Teluk Cempedak dengan menggunakan pandu-arah yang telah diterangkan oleh pemandu lori tadi. Tiupan bayu nyaman di malam yang tenang membuatkan jalan kaki seorang diri itu tidak meletihkan, malah menyeronokkan kerana aku dapat melayan khayalan yang bermain di fikiran. Sekali-sekala ada juga kereta yang lalu, namun tiada yang berhenti. Mungkin juga anak muda berambut kerinting yang memakai kemeja T, jean biru dan menggalas hooversack sambil berjalan di malam hari elok dibiarkan bersendiri…

Setelah beberapa lama, ufuk di hadapan kelihatan cerah. Agaknya itu Teluk Cempedak , kata hatiku. Ya, benar, dan setibanya aku di sana, Salim dan Mansai sedang menunggu. Rupa-rupanya mereka risau atas kelewatanku kerana aku berseorangan sedangkan mereka berdua. Kami berkumpul di tepi pantai sambil bercerita pengalaman masing-masing. Setakat hari itu, tiada satu hari dilalui tanpa pengalaman yang menguja, sejak kami meninggalkan Krubong seminggu sebelumnya.

Malam itu kami tidur di atas bangku di tepi pantai. Sedang kami nyenyak tidur, kami dikejutkan oleh tiga orang lelaki. Perasaan mengantuk mengurangkan rasa terkejut yang lahir daripada teguran suara lelaki yang tegas bunyinya. Rupa-rupanya mereka adalah dari skuad pencegah maksiat. Sebenarnya pada malam itu aku nampak pemuda dan gadis yang sedang berduan di atas batu, tetapi pada masa itu skuad itu belum sampai. Kami pun meneruskan tidur hingga ke pagi hari.

Keesokannya, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Ketika itu kami berjalan bertiga dalam satu kumpulan dan berjaya dapat menumpang kereta Volvo atau Audi milik seorang rakyat Amerika bersama isterinya. Setelah menjelaskan tujuan perjalanan dengan bahasa Inggeris yang berterabur, pemandu bersetuju menumpangkan kami sehingga Dungun, kerana itu adalah destinasinya. Dapat juga berlatih cakap Inggeris.

Mungkin juga elok dikongsikan pengalaman kami belajar bahasa Inggeris di STAR. Semasa kami memasuki STAR, bahasa penghantar telah diubah dari bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Jadi, kami yang datang dari sekolah kebangsaan tidak lagi perlu mengikuti kelas peralihan seperti mereka yang terdahulu. Bagi membantu pembelajaran Bahasa Inggeris, kami disusun mengikut kemampuan masing-masing dalam kelas yang mengikut singkatan nama sekolah iaitu STAR. Semasa tingkatan 4 dan 5 aku ditempatkan dalam kelas T iaitu kelas kedua terbaik bagi subjek Bahasa Inggeris, kerana aku berjaya mendapat A semasa peperiksaan SRP. Dalam kelas aku selalu tertidur ketika Mr. Harban Singh mengajar, mungkin kerana suaranya yang perlahan dan dia tidak banyak bergerak, atau mungkin juga aku kurang tidur pada malam hari. Apa yang dapat kuingat, kami diminta membaca banyak buku cerita dari beberapa penulis seperti Mark Twain dan Charles Dickens. Namun buku yang paling aku minati dari kelas itu ialah “The Last of the Mohicans”. Aku tidak ingat siapa penulisnya tetapi sehingga sekarang, aku masih ingat akan watak Chinggajgook, anak puak Mohican yang pupus akibat diserang puak Huron. Tahap penguasaan bahasa Inggerisku pada masa itu tak banyak meningkat berbanding Tingkatan 3 yang ketika itu diajar oleh Mr. Tan Teong Leong. Mr Tan adalah seorang guru yang luarbiasa komitmennya dan sangat bersungguh-sungguh mengajar kami. Maklumlah, masa itu kami dalam kelas R iaitu kelas paling bawah sekali. Penekana kepada pembacaan novel itu telah berjaya menanam minat untuk aku terus membaca.

Ada satu lagi buku menarik yang pernah kubaca di zaman remaja. Buku yang ditulis dalam bahasa Melayu itu bertajuk Atheis, yang antara lain menceritakan kisah percintaan anak muda Islam bernama Ali dengan gadis Kristian bernama Ana Karenina. Dengan lamunan cinta yang mengelirukan, Ali telah terdorong untuk murtad kerana ingin berkahwin dengan Ana. Namun pada satu hari, ketika dalam kebingungan dan berdebar-debar, Ali menggores mancis api, lalu dipegangnya api itu. “aduh, panasnya…” kata Ali. Serta merta dia tersentak dan tersadar. Sesungguhnya api neraka Allah itu jauh lebih panas. Ali insaf. Rancangannya tidak mungkin diteruskan, dan Ana perlu ditemui…(Percaya atau tidak, kini isteriku bernama Ana).

Kembali kepada cerita perjalanan kami. Perjalanan menumpang kereta itu berakhir di Dungun. Dari sana, kami berjaya menumpang sebuah pickup truck. Oleh kerana ruang hadapan hanya boleh ditumpang oleh seorang saja, maka dua orang termasuk aku sendiri mengambil tempat di ruang yang terbuka di belakang. Dalam perjalanan, hujan turun. Mujur ianya tidak begitu lebat dan kami tidak basah kerana apabila kenderaan itu bergerak, angin meniup titisan hujan ke belakang. Pada masa itu terbayang cerita cowboy yang heronya duduk di belakang pickup. Pada era kami, setiap minggu kelab wayang gambar STAR akan menayangkan filem di dinding pentas dewan sekolah. Setiap kali, akan ada beberapa pelajar tingkatan 5 yang menonton wayang sambil berbaring di atas pentas, manakala pelajar lain duduk di atas kerusi di dalam dewan itu.

Kami sampai di bandar Kuala Terengganu ketika hari menjelang petang. Aku tak ingat bagaimana kami tiba ke Kg. Hiliran Masjid. Kemungkinan besar kami berjalan kaki dari bandar setelah berjaya mendapatkan pandu arah dari orang yang kami temui. Yang pasti, pada waktu petang, di sekitar jam 5, kami bertemu dengan Tokki di kedai kopi. Apabila Tokki mengajak kami makan dan minum, kami senyap saja kerana pada masa itu, kami hampir kehabisan wang. Selepas berbual dan bertanya, kami dibawa oleh Tokki ke destinasi yang ditujui iaitu rumah Aziz Kasim. Sebenarnya pada masa itu kami keliru kerana yang kami dengar, Tokki mengatakan Haji Kaseng. Namun apabila tiba, barulah kami faham, rupanya Tokki itu adalah datuk kepada Aziz Kasim.

Siri 3 – kisah kami bekerja sebagai buruh dalam projek lampu jalan antara Kuala Terengganu dan Kuala Ibai.

About Dr. AA

I am an educator, professional trainer, safety consultant, researcher, social worker, outdoor enthusiast, and a thinker.
This entry was posted in Flashback and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

One Response to Kembara Semenanjung – 2

  1. halligang says:

    ha..ha..ha..

    nice, very nostalgic, aku tak ikut sebab aku confident yang aku akan fail SPM, so terus cari keja…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s