Tag Archives: memancing laut dalam

Rinduku Pada Pulau Aur

Nostalgia Pulau Aur

Telah lama kami tidak ke Pulau Aur yang amat istimewa kepada saya kerana di perairan itulah saya mula belajar memancing di laut buat kali pertama pada tahun 1997 .  Saya masih ingat lagi ketika kami bersolat maghrib dan isyak di Masjid Pulau Aur, terasa dunia bergoyang setelah kami dilambung gelora di siang hari. Dalam trip itulah kami mempelajari asas teknik memancing laut, menyesuaikan batu ladung, menggunakan apolo dan sebagainya. Dalam trip itu juga kami mempelajari tentang jenis-jenis peralatan yang sesuai untuk digunakan. Peralatan memancing yang dibawa semuanya rosak kerana ianya hanya sesuai untuk sungai dan tasik. Saya masih ingat lagi ketika Tekong Borhan (yang bekerja untuk Jaya Express kepunyaan Tekong Sharif) berkata kepada kami, “Bang, kalau batu besar ini, ikan pun boleh makan bang. Tak sesuai untuk laut”. Kemudian apabila kami sampai di pulau Aur, kami membeli batu besi yang amat berat dan digunakan bersama ambor.

Jaya Ekspress - Bot kegemaran kami milik Tekong Abd Sharif Mohd Yatim (012-7504250)

Tahun ini kami melalui jadual kerja yang sibuk. Sejak “Program Balik Kampung” iaitu trip tahunan pertama ke Pulau Pemanggil pada bulan mei yang lalu, kami tidak sempat untuk ke laut. Maka ketika menziarahi Adnan di eidil fitri tahun ini, kami bertiga (saya, Adnan dan Tuan Amran) membuat keputusan untuk mengatur satu lagi trip pada bulan oktober. Memandangkan bot pilihan telah ditempah bagi setiap hujung minggu dan kawan-kawan juga mempunyai kuliah program separuh masa pada minggu yang berlainan, makan kami membuat keputusan untuk pergi pada hari kerja. Jadi kami bertolak pada pagi isnin 10 oktober 2011. Peserta kali ini terdiri Adnan, Mohamad Wijayanuddin, Tuan Amran, Kamal, Azli, Tholudin, Anas dan saya sendiri.

Permulaan Yang baik

kerapu

Sekawan kerapu 1.8 kg berjaya kami kumpulkan

Dalam perjalanan ke Pulau Aur kami berhenti di beberapa unjam berhampiran Pulau Pemanggil. Di sana rezeki kami murah seolah-olah laut Cina Selatan memberikan ucapan selamat datang yang hangat kepada kami. Ketika ramai sedang sibuk menangkap ikan kerisi dan kerapu, Azrul (pembantu bot) memecah kesunyian dengan tangkapan tenggiri. Maka beberapa orang dari kami pun mula menukar teknik memancing. Pancing saya dan Azli disambar tapi tidak mengena. Namun Tuan Amran (TATA) lebih bernasib baik dan berjaya menaikkan seekor tenggiri.

Tenggiri Batang

TATA - tersenyum selepas menaikkan tenggiri seberat lebih kurang 6 kg. Turut bergembira ialah Wan Ibrisham yang mengikuti kami buat kali pertama.

Kami menjadi teruja apabila melihat seekor Marlin melompat di udara. Rupa-rupanya pancing TATA sekali lagi mengena, kali ini Marlin. Setelah beberapa minit dia bertarung dengan Marlin yang gagah itu, saya mengambil alih dan berjaya menaikkan Marlin yang berat (mungkin lebih kurang 20 kg kerana melebihi skala penimbang kami (15 kg). Terasa sakit urat belikat saya.

A dream come true - Marlin yang berjaya kami naikkan. Tuah pancing TATA.

Makan Malam di Pulau Aur

Selepas itu kami bertolak ke Kg. Berhala Pulau Aur menuju ke restoran milik Imam Harun dengan ikan-ikan yang telah dipilih untuk dimasak (hidangan mudah –  asam pedas dan ikan goreng). Sementara menunggu masakan disediakan kami mandi dan kemudian solat maghrib dan isyak di Masjid.

Kerapu bara 2 kg berjaya ditangkap di belakang Pulau Aur.

Lebih kurang jam 10 malam, kami bertolak ke belakang Pulau Aur, berhampiran Pulau Pinang dan berlabuh untuk memancing. Kawasan itu juga agak menarik kerana banyak tangkapan kami perolehi dari spesis ikan merah, ikan Jepun, ikan tambak, ikan kerapu dan ikan tanda. Bagi saya, malam itu amat bermakna kerana berjaya menaikkan ikan Kerapu Bara seberat 2 kg. “Ini boleh buat aku tersenyum sebulan”, kata saya kepada kawan-kawan.

Pak Muda yang berusia 72 tahun membantu kami menunda tongkol

Musim Tongkol Putih.

Keesokannya kami sibuk menunda tongkol putih berhampiran dengan unjam-unjam berdekatan. Menunda tongkol bersaiz besar yang beratnya lebih kurang 1-1.5 kg cukup untuk memberikan kegembiraan terutama bagi yang tidak biasa dengan aksi itu. Jika mendapat 6 ekor satu tarikan sudah cukup mencabar. Dengan dua apollo tongkol di kiri dan kanan bot, kami berjaya mengumpul hampir 100 ekor ikan tongkol.

Sebahagian dari hidangan di Pulau Pemanggil

Makan Malam di Pulau Pemanggil

Seperti biasa, kami singgah untuk makan di Pulau Pemanggil. Kali ini makan malam dengan hasil tangkapan memancing hanyut petang itu. Dengan 5 ekor ikan kerapu bersaiz lebih kurang 1.5 kg (Stim), belasan ekor ikan kerapu 500-700 g (tiga rasa), dan ikan jebung & kerisi (bakar), jamuan makan malam itu memang enak dan lumayan. Kami berehat lebih kurang 4 jam di situ sebelum turun untuk memancing malam di utama Pulau Pemanggil.

Anas - menggayakan tangkapan tenggiri

Trip yang lumayan

Secara keseluruhan trip ini amat lumayan kerana bukan saja ianya memberikan aksi fisikal menundukkan ikan besar seperti marlin dan tenggiri, kami juga mendapat banyak ikan tongkol, kerapu, merah, tambak, tanda dan kerisi. Namun hasrat saya untuk membawa pulang ikan selayang atau tamban untuk dibuat laksa gagal kerana ikan-ikan kecil kali ini amat kurang. Yang ada semuanya telah digunakan sebagai umpan.

bersedia untuk pulang

Puas... - Tholudin, Azli, Wijay & Tana melihat Adnan membahagikan hasil tangkapan

Sebahagian dari tangkapan

Sebahagian dari tangkapan (spesis batu karang - kerapu tambak, tanda etc)