Aur dan Pemanggil 2010 – The Price of Indecisiveness
Trip kedua 2010
“Shad, kita pergi pulau Aur pula kali ini”, begitulah kata Sharif, tekong bot Jaya Express kegemaran kami. Saya pun kata “OK kita main pemanggil dan Aur kali ini”. Namun disebabkan kesibukan, trip itu ditangguh dan diubah tarikh sebanyak 2 kali. Akhirnya pada jam 10 malam, 26 Jun 2010, kami bertolak dari Mersing menuju ke Pulau Pemanggil, tempat kegemaran saya di Malaysia untuk mententeramkan otak yang seringkali sibuk berfikir. Ini adalah trip kedua bagi kami tahun ini.
Sejurus selepas bot bertolak, masing-masing mengambil tempat dan tempat yang paling popular ialah ruang hadapan untuk tidur. Kamal yang kali pertama bersama kami merasa pelik kerana menurutnya, kebiasaannya pemancing akan berebut untuk ruang memancing di belakang. Bila dia menceritakan hal itu, kami tertawa besar. Haha…
Kali ini rombongan terdiri dari 8 orang – saya, Adnan, wijay, Tuan Amran @TATA, Tholudin, Ruseli, Kamal dan Amin. Inilah kali pertama Amin yang merupakan adik kepada wijay memancing di laut. Dia datang dari Perlis untuk bersama kami.
Musim Tongkol
Kebetulan hari itu kami bertemu dengan banyak ikan tongkol. Maka operasi menunda tongkol menjadi meriah. Entah mengapa bulu appollo yang digunakan oleh Pak Muda tidak mengena manakala kami pula berjaya. Yang tidak pernah melihat operasi itu pasti teruja – melihat beberapa ekor tongkol yang besar ditarik dengan penuh tenaga. Selalunya kami bergilir-gilir menarik kerana ia boleh meletihkan. Kami berjaya mengumpulkan lebih kurang 50 ekor ikan tongkol besar (700 g – 1 kg) dan banyak juga yang bersaiz kecil.
Pulau Pemanggil
Sesampainya kami di sana, saya yang berjalan di hadapan disapa mesra oleh Awang Selamat (Pak Bujang) yang sedang menyapu halaman. Kemudian saya bersalaman dengan Pak Ghafar (ketua kampung), Ustaz Aman dan beberapa penduduk lain yang sememangnya mengenali kami.
Seperti biasa, hidangan tengahari disediakan oleh keluarga Ustaz Aman. Hidangannya – stim ikan cermin dan asam pedas ikan kembung yang baru ditangkap pagi itu. Sementara menunggu masakan disediakan, kami berenang di pantai dan kemudiannya bersolat di masjid. Bukan itu sahaja, kali ini kami dihiburkan dengan pelangi yang indah.
Menurut cerita Pak Muda, Pulau Pemanggil dibuka oleh Abdul Rahman, ayah kepada Almarhum Penghulu Baharom. Ketika itu Abdul Rahman masih muda dan belum beristeri, datang belayar dari Pulau Jemaja, Indonesia. Pulau ini adalah sebahagian dari Kepulauan Anambas, yang terletak di antara Pulau Pemanggil dan Kepulauan Natuna. Jadi jika anda terbang dari Johor Bahru ke Kuching, anda mungkin boleh melihat pulau itu.
Abdul Rahman menetap dan membuka kebun di Pulau Pemanggil dan apabila kapal-kapal layar yang lalu di situ melihat kebun-kebun dibangunkan, ada yang singgah lalu membuka kebun-kebun lain. Ada yang mengusahakan tanah di tepi pantai, ada juga yang lebih suka kepada suasana bersendiri di atas bukit. Pelbagai tanaman diusahakan dan Pulau Pemanggil mula membangun dengan komuniti yang kecil.
Hari ini, masih banyak pokok-pokok kelapa, pisang, durian dan beberapa spesis mempelam yang masih tumbuh subur di situ. Namun, corak dan taraf kehidupan yang ada pada hari ini mendorong ramai warga pulau berpindah ke tanah besar. Yang tinggal hanyalah puluhan orang penduduk di sana sini.
“Dulu, kehidupan berbeza. Kita tangkap ikan, tanam pokok, sayur dan hidup sederhana di pulau. Hari ini kemewahan telah datang dan manusia lebih suka dengan hidup baru.” kata Pak Muda yang bercerita kepada saya dan Adnan. “Zaman dulu, kita ambil pucuk-pucuk daun dan akar kayu dijadi ramuan bagi mengubat penyakit. Untuk ke Mersing perjalanannya lama dengan kapal layar”, tambahnya lagi.
Kelihatan nostalgia pahit manis kehidupan lampau di wajah Pak Muda yang bercerita dengan penuh emosi. Pak Muda lahir dan dibesarkan di pulau itu, kemudian berumah tangga dan menetap di situ. Beliau dikurniakan 6 orang anak, namun 4 orang dari anak-anak itu meninggal dunia ketika masih kecil di pulau itu juga.
Di masa-masa lapang ketika bot bergerak, Pak Muda mesra bercerita dengan kami sambil mengajar beberapa teknik mengikat tali. Satu ketika tiba-tiba Pak Muda mencuit bahu saya dan bertanya dengan nada perlahan, “Kenapa anak yang dibesarkan dengan kasih sayang sejak kecil hingga besar, tetapi bila telah berkahwin mengutamakan isteri dari ibu bapa?” Saya termenung seketika dan menjawab, “pada pandangan saya, ia banyak bergantung kepada kefahaman agama. Seorang anak perlu tahu kedudukan ibu-bapa dan kepentingan berbakti kepada ibu-bapa, apatah lagi jika mereka telah tua. Isteri perlu ditunjuk-ajar dalam perkara ini”. Pak Muda menjawab, “betul, igama adalah asas yang penting”.
Kg. Berhala Pulau Aur
Saya bertanya dengan Sharif, bagaimana Kg Berhala mendapat nama. Menurutnya, ianya disebabkan oleh batu yang jika dilihat dari satu arah, ianya kelihatan seperti berhala. Kampung ini telah dicadangkan nama baru iaitu Kg. Sakinah, namun ianya tidak popular dan masih dipanggil Kg Berhala. Di situ terdapat sebuah sekolah rendah dan masjid.
Pulau Dayang
Oleh kerana jeti Kg. Berhala yang roboh masih belum dibaiki, kami menumpang mandi di chalet kepunyaan Mat Tahir yang terletak di hadapan jeti Pulau Dayang. Pulau itu terletak bersebelahan pulau Aur.
Ini adalah kali ketiga saya menjejakkan kaki di pulau yang indah itu – airnya jernih, pasirnya halus dan putih. Kami berenang sepuasnya dan bersantai di bawah pohon kelapa di pantai sebelum melakukan khidmat diri di bilik air bersebelahan dengan chalet.
The Price of Indecisiveness
Sejurus selepas kail saya di sambar ikan besar tapi terlucut, kelihatan seekor ikan Marlin melompat. “agaknya ini yang terlepas dari joran Arshad” kata Sharif. Pada masa itu, Ruseli juga terasa tali kailnya di sentap kuat. “Hah, jangan-jangan Marlin tu kena kail hang kot?” tanya saya pada Ruseli. Tepat sekali tekaan saya ketika itu. Kami semua menarik tali masing-masing untuk memberi ruang kepada Ruseli menaikkan Marlin.
Semasa pertarungan itu, ada yang berseloroh, “TATA tak perlu Marlin sebab dia dah ada satu kat rumah”. Haha… isteri TATA bernama Merlyn. Kami tergelak. Saya pula menambah, “dalam kelas IMGLAD aku dulu pun ada Marlin, tapi nama sebenar Irmalind binti Usman Gumanti”. Apabila ikan semakin dekat, suasana menjadi sedikit panik kerana kami berselisih pandangan tentang bagaimana nak naikkan marlin itu ke atas bot. Saya sudah memegang gancu atau cangkuk besi yang tajam yang selalu digunakan untuk menaikkan ikan besar. Ruseli menghalang, “eh jangan…., kita nak lepaskan balik, kesian kat dia.” Saya pun berhenti. Pada saat itu, ada pula yang bertanya “boleh makan ke”. Ada yang menjawab boleh, ada yang menjawab tidak sebab isinya keras. Ketika itu Marlin sudah sampai di tepi bot dan telah beberapa kali melompat ke udara. Adnan pula sudah sedia berdiri di tangga bot untuk menangkap paruh ikan layar yang cantik itu. Ketika itu juga Pak Sharif bergegas datang ke belakang dengan gancu yang lain dan cuba mencangkuk Marlin, tapi gagal.
Tiba-tiba, tus, tali putus. Aaaah… semua kecewa. Namun ianya satu pengalaman yang cukup menarik. mmmm… memang cantik, kami terhibur. Selepas itu kami sama-sama tergelak mengenangkan suasana kalut yang baru berlalu. Saya berkata kepada kawan-kawan, “This is the price of being indecisive”. Haha… satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Dolphin yang menghiburkan
Kami pulang awal bagi memberi ruang kepada Amin untuk berehat sebelum menaiki bas ke Perlis malam itu. Dalam perjalanan, kami bertemu sekawan dolphin. Mungkin 5 atau 6 ekor yang berenang gembira. Kami pun cepat-cepat mengeluarkan kamera untuk mengambil video dan gambar namun tidak berkesempatan untuk mendapat gambar yang jelas. Saya pun meminta Sharif memusingkan bot mendekati dolphin itu.
Kami dapat melihat mereka berenang dan melompat bersebelahan bot. Wow… ini satu lagi anugerah tuhan kepada kami. Cantik sekali mereka berkejaran, menyelam, berenang dan melompat. Memang setiap kali saya bertemu dolphin yang liar di laut, hati saya merasa puas.
Posted on June 30, 2010, in Happening and tagged Dolphin, fishing, Marlin, Pulau Aur, Pulau Dayang, Pulau Pemanggil, Tongkol. Bookmark the permalink. 4 Comments.













wah,abah nama adik takda ke?
salam
saya mintak pertolongan boleh bg no tel tekong yg bawa saudara memancing pulau Aur.Saya bercadang akan kepulau Aur pada bulan may 2011
tanya din judi… dia mesti tahu…
spe nak mancing,leh call 0177617312,kat kawasan pulau aur