Gunung Angsi – walau dikata mudah namun tetap mencabar
“Kalau kumpulan kecil macam ni, 2 jam boleh sampai puncak. Lagipun encik datang awal, orang belum ramai lagi”, begitulah jawapan yang saya terima dari pegawai bertugas di pejabat jabatan perhutanan di kaki Gunung Angsi. Kami tiba di Hutan Lipur Ulu Bendul lebih kurang jam 9 pagi, hari Sabtu, 15 Mei 2010.
Pagi itu kami bersarapan awal di bandar Kuala Pilah. “Jangan risau dengan kalori, semua akan dibakar sekejap lagi”, kata saya kepada kawan-kawan sambil tertawa.Selepas sarapan, kami kembali ke hotel Desa Inn untuk bersiap-siap. Selain Desa Inn, jika anda ke Kuala Pilah, anda boleh juga menginap di Rumah Rehat Kuala Pilah. Sebagai alternatif, anda boleh menginap di Seremban yang juga tidak jauh jaraknya dari Ulu Bendul.
Perjalanan ke sana juga tidak lagi sukar seperti dahulu. Dari Paroi, jalan utama ke Kuala Pilah telah dinaik-taraf, tidak lagi berbelit-belit di Bukit Putus seperti dahulu. Sebenarnya, inilah kali kedua saya melawat bandar itu. Kali pertama saya ke sana ialah pada tahun 1980 dengan menaiki bas menemani kawan menziarah neneknya.
Pendakian bermula
Kami memula mendaki pada jam 9.10 am selepas mengkaji trek yang terpampang di dinding pejabat Jabatan Perhutanan.
Di peringkat awal pendakian, laluannya boleh dikatakan amat mudah. Jadi kami berjalan santai sambil berbual.
Menyeberang Sungai
Selepas lebih kurang 45 minit berjalan menyusuri sungai, dengan diiring desiran air memukul batu-baru jeram yang jernih airnya itu, kami tiba di Tangga Batu (haha.. bukan di Melaka, itu kawasan parlimen kampung saya). Di situ juga ada sebuah pondok. Dari situ, kami merentasi sungai dengan berpijak di atas batu-batu yang tidak tenggelam untuk ke laluan seterusnya.
Ada juga bahagian yang susah
Setelah lebih dari separuh perjalanan ditempuh, trek menjadi semakin sukar. Pendakian yang lebih curam terpaksa dilalui. Pendakian mula memercikkan peluh dengan lebih banyak.
Ada satu tempat di mana pendaki perlu memanjat tebing curam dengan bantuan tali. Oleh kerana tebing itu adalah tanah dan bukan batu, kadang-kala ia boleh runtuh sedikit bila berpaut. Anda perlu berhati-hati terutama jika saiz badan lebih besar dan berat..
Keindahan Alam
Gunung Angsi dipenuhi dengan pokok-pokok rimbun yang hijau. Jadi suasananya redup tetapi kurang berangin. Pokok-pokok bunga juga kurang kelihatan di sepanjang trek, mungkin diganggu pendaki seperti yang terjadi pada papan tanda ini.
Dalam perjalanan, kami juga menjumpai ular. Urrrgh, cantik tapi gerun juga sebab ular ini bisa. Selepas menatapnya beberapa ketika, kami menghalaunya sebelum melintasi trek itu.
Punca Air Terakhir
Selain dari sungai yang diseberangi sebelum ini, ada lagi sebatang anak sungai yang perlu ditempuh. Lokasi ini lebih penting kerana ianya adalah sumber air terakhir. Bagi mereka yang telah kekurangan atau kehabisan bekalan air, botol kosong boleh diisi dengan air sungai yang jernih. mmm… sejuk dan menyegarkan.
Sampai di puncak
Dari puncak, anda boleh melihat beberapa puncak bukit yang membentuk banjaran gunung di situ.
Anda juga boleh melihat kawasan perumahan Senawang.
Perjalanan Turun
Setelah makan nasi lemak bungkus yang dibawa, kami berehat seketika sebelum memulakan perjalanan turun. Tidak lama kemudian, kami terkejut melihat Wijay yang terus mendaki perlahan. “Wow, kuat betul semangat Mamat ni. Jom kita temankan dia ke puncak.”, saya mengajak rakan-rakan yang lain. Sebenarnya Wijay telah mengalami kejang kaki semasa mendaki dan telah mengambil keputusan untuk berehat dan menunggu kami di lokasi tebing curam. Namun dia telah dimotivasikan oleh tindakan seorang pendaki lain yang juga keletihan dan bersaiz badan yang besar. Kami menemaninya sehingga ke puncak dan kemudian turun semula. Jadi hari itu saya sampai ke puncak Angsi sebanyak 2 kali.
Dalam perjalanan turun ketika menuruni tebing bertali, Wijay mengalami kejang kaki sekali lagi. Kami dibantu oleh kumpulan pendaki dari Kurnia Insurance yang lengkap dengan kit pertolongan cemas.
Kami meneruskan perjalanan turun itu dengan perlahan dan banyak berehat, mengambil-kira rakan yang sakit kaki. Ketika sampai ke anak sungai punca air terakhir, saya mengisi air bekalan, berehat dan bersembahyang di atas pasir.
Apabila kami yang sampai di sungai pertama, TATA, Adnan dan 2 anak bujangnya sedang berendam di dalam sungai yang sejuk. Oleh kerana hari sudah petang, kami meneruskan perjalanan turun bersama.Kami sampai di base-camp lebih kurang jam 6 petang. Perjalanan turun dirasakan terlalu lama, tidak seperti biasa. Namun, hati merasa puas dengan peluh membasahi seluruh pakaian. Mana pula selepas ini – Gunung Nuang, Tebu, Irau, Berembun? Haha… akan difikirkan. Yang pasti, ada lagi tahun ini insya Allah.
Setiap hujung minggu, Gunung Angsi sering dikunjung pendaki. Bersama kami minggu lalu terdapat sekumpulan besar dari INSPEN (50 dari HQ- kumpulan baju merah, 30 dari cawangan – kumpulan baju kuning), 70 orang dari Maahad Gemencheh, sekumpulan besar dari Kurnia Insurance, sekumpulan dari Kelab Pelopor (berpejabat di Taman Setiawangsa), dan beberapa kumpulan kecil termasuk kami. Bagi pembaca yang ingin mendaki gunung ini, anggarkan perjalanan naik 3-4 jam dan 2-3 jam untuk turun. Anda juga perlu membawa bekalan air sebanyak 1.5 -2 liter bagi setiap orang, dan bekalan makan tengahari. Jika anda tidak mahu minum air sungai, bekalan air keseluruhan yang diperlukan ialah lebih kurang 3 liter (mungkin lebih jika anda cepat dahaga). Secara keseluruhan, saya masih meletakkan Gunung Angsi pada tahap MUDAH. Ianya bagus untuk membakar kalori dan menghilangkan stress, dan sedia untuk bertugas di pejabat pada hari keesokannya.
Posted on May 18, 2010, in Happening and tagged daki gunung, gunung angsi, kuala pilah, ulu Bendul. Bookmark the permalink. 6 Comments.



















Wow! bestnya kalau jabatan dapat anjurkan program yg macam ni..walaupun ada kumpulan berbaju merah dan banyak ular berbisa namun dengan semangat yg tinggi semua berjaya sampai ke puncak. well done. salute terutama to those whom with big size.
xsgke prof ke kuala pilah. about 5 minutes dh dkt ngan kg saya. … gunung angsi mmg best
nice info!!:D nnt nak try plak..:D huhe..
Tahniah…Anda boleh cuba traxking dari Gopeng ke Bharat Tea Cameron Highland…
boleh juga try. nanti kami find out. Kalau ada tips bagi tau lah…
Insya Allah, boleh explore juga.